Man United Akan Gunakan 80% Bajet Yang Ada Untuk Beli De Jong

Bajet untuk membeli pemain yang diterima oleh Erik Ten Hag pada jendela perpindahan musim panas ini sebenarnya tidaklah begitu banyak.

Dan lebih dari separuh bajet yang beliau terima, akan habis digunakan hanya untuk mendapatkan Frenkie de Jong dari Barcelona.

Situasi teruk di Old Trafford pada ketika ini sememangnya tidak boleh diselindung lagi dengan Erik Ten Hag jelas sekali bakal memikul tanggungjawab yang sangat sukar untuk menaikkan semula kelab.

Erik Ten Hag telah dilantik sebagai pengurus kelab yang baharu bermula pada penghujung musim lalu.

Man Utd mengakhiri saingan musim lalu di kedudukan keenam, dengan mereka 13 mata di belakang Tottenham Hotspur yang berada di kedudukan keempat.

Lebih menyedihkan lagi, Manchester United mengakhiri saingan liga dengan ketinggalan 35 mata di belakang seteru sebandar mereka, Manchester City.

Sepertinya Erik Ten Hag tidak melalui permulaan yang baik di Old Trafford dengan beliau masih gagal untuk mendapatkan pemain yang beliau mahukan.

Melihat kelab masih gagal untuk membeli pemain, hal itu sedikit sebanyak membuatkan Cristiano Ronaldo berasa bimbang dan mula mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab.

Para peminat awalnya merasa lega selepas mendengar CEO kelab, Richard Arnold menjelaskan yang duit bukan masalah utama kerana kelab tiada masalah untuk mengeluarkan dana.

Walau bagaimanapun, melihat cara bagaimana kelab menguruskan perpindahan pemain, sepertinya hal yang dimaksudkan oleh Richard Arnold tidak berlaku.

Menurut sumber laporan dari media UK, Ten Hag hanya diberikan dana bernilai £100 juta sahaja untuk digunakan pada jendela perpindahan musim panas ini.

Ia bermaksud, seandainya Manchester United menggunakan £68 juta untuk menandatangani Frenkie de Jong, maka mereka hanya mempunyai baki £32 juta sahaja untuk digunakan.

Pemain midfield Barcelona itu merupakan pemain sasaran utama Erik Ten Hag dengan kedua-dua mereka pernah bekerjasama ketika di Amsterdam sebelum ini.

Dengan Paul Pogba, Jesse Lingard dan Nemanja Matic turut sudah meninggalkan kelab pada musim panas lalu dan ia sepertinya menambah tekanan untuk Ten Hag.

Kerana terlepas Nunez, Ten Hag terpaksa ubah perancangan secara drastik

Erik Ten Hag kini terpaksa mengubah perancangan perpindahan pemain beliau selepas Darwin Nunez menolak untuk menyertai Manchester United pada awal bulan lalu.

Dek kerana ditolak oleh bekas bintang Benfica itu, Man Utd terpaksa mengubah strategi mereka dan perlu mengalihkan perhatian untuk memburu pemain lain.

Pemain kebangsaan Uruguay itu menyertai seteru utama Man Utd, Liverpool dengan yuran perpindahan bernilai £64 juta.

Angka tersebut sebenarnya boleh meningkat sehingga £85 juta dan ia secara tak langsung memecahkan rekod perpindahan termahal kelab.

United dikatakan sangat berminat mahu membawa pemain penyerang itu ke Old Trafford, dan bekas bintang Benfica itu juga sudah hampir pasti mahu menyertai skuad setan merah pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, memandangkan Liverpool mula menunjukkan minat, Darwin Nunez kemudiannya memilih untuk menyertai Liverpool berbanding ke Old Man.

Manchester United sebenarnya sanggup membelanjakan lebih dari separuh dana perpindahan mereka pada musim panas ini untuk Nunez, namun sayangnya hal itu tidak berlaku.

United terpaksa akur yang Liverpool lebih menarik hingga berjaya memastikan pemain sasaran mereka itu memilih untuk ke Anfield.

Nunez yang kini sudah berusia 23 tahun itu merupakan pemain yang mahu Man Utd tandatangani sebagai pengganti jangka masa panjang kepada Cristiano Ronaldo.

Selepas gagal untuk mendapatkan pemain penyerang itu, Ten Hag dikatakan terpaksa mengubah perancangan beliau menghadapi jendela perpindahan musim panas ini.

Menurut sumber laporan ESPN, pengurus terbaru Man United itu kini mencari pemain penyerang yang lebih versatile berbanding pemain penyerang tunggal yang semakin sukar untuk ditemui dalam pasaran pemain.

Antara pemain yang betul-betul Manchester United mahukan adalah pemain sayap Ajax, Anthony dengan Ten Hag sendiri turut pernah berpengalaman bekerjasama dengannya ketika di Amsterdam sebelum ini.

Juara saingan Eredivisie itu dilaporkan meletakkan tanda harga bernilai £68 juta untuk pemain sayap itu, dan nilai tersebut sebenarnya jauh lebih tinggi dari apa yang United mampu untuk bayar.

United juga dikatakan sangat-sangat berminat mahu mendapatkan semula seorang lagi bekas anak buah Ten Hag ketika bersama Ajax, Frenkie de Jong.

Laporan dari pelbagai sumber mendedahkan yang Manchester United sudah hampir pasti untuk melengkapkan pembelian pemain midfield itu.

Skuad setan merah juga sangat berharap agar mereka akan mampu mendapatkan khidmat pemain bebas ejen, Christian Eriksen pada musim panas ini.

Walaupun Eriksen sendiri pernah menolak United baru-baru ini, namun itu tidak menghalang Manchester United dari terus berusaha untuk mendapatkan khidmatnya.

Selain Manchester United, Brentford dan Tottenham Hotspur juga sebenarnya turut memiliki hasrat mahu mendapatkan tandatangan Christian Eriksen pada musim panas ini.

Erik Ten Hag juga dilaporkan merancang untuk membeli seorang pemain centre-back, namun posisi itu bukan keutamaan untuk pengurus dari Belanda itu.

Ten Hag sangat berminat mahu mendapatkan seorang lagi bintang Ajax, Jurrien Timber namun hal itu sepertinya tidak akan berlaku pada musim panas ini.

Bekas pengurus Manchester United, Louis Van Gaal telah memberi amaran kepada Jurrien Timber supaya tidak meneruskan hasratnya mahu ke Old Trafford.

Dengan Man Utd bakal kembali meneruskan latihan pra musim mereka pada Isnin ini, masa sepertinya semakin mencemburui skuad setan merah untuk mendapatkan pemain menjelang bermulanya musim baru ini.

Ten Hag berpotensi untuk menghadapi musim baharu ini dengan tidak ada penambahan pemain baru dalam skuadnya nanti.

Agak sukar sebenarnya untuk Ten Hag bawa United bersaing merebut kedudukan empat teratas, andai United tidak membuat sebarang pembelian pada musim panas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Atletico Madrid 1-0 Manchester United