Man Utd Optimis Onana Akan Ke Old Trafford Ganti De Gea

Manchester United dilaporkan telah menaikkan nilai bidaan untuk mendapatkan penjaga gol Andre Onana dengan nilai menghampiri angka £43 juta.

Bidaan kedua itu dilakukan selepas tawaran pertama bernilai £38.5 juta ditolak oleh Inter Milan.

United enggan berputus asa dan kemudiannya kembali dengan nilai bidaan untuk memastikan penjaga gol antarabangsa Cameroon itu akhirnya akan ke Old Trafford pada musim panas ini.

Daily Mail melaporkan United telah menambah £4 juta untuk bidaan kedua, namun ia masih tidak cukup untuk meyakinkan Inter melepaskan penjaga gol berusia 27 tahun itu.

Inter sebelum ini bertegas magukan £45 juta. Dan walaupun kelab Manchester itu tidak menawarkan harga yang dikehendaki kelab Itali itu, terdapat keyakinan kedua-dua pihak akan mencapai persetujuan dalam masa terdekat.

Jika berjaya mendapatkan persetujuan dengan Inter, ini bermakna Onana akan kembali bekerja bersama Erik ten Hag seperti ketika kedua-duanya bersama Ajax.

Posisi penjaga gol United kini masih lagi samar setelah kelab itu membenarkan David de Gea pergi sebagai ejen bebas pada penghujung Jun lalu.

Sebelum ini United dilaporkan membatalkan tawaran kontrak kepada penjaga gol dari Sepanyol itu – walaupun De Gea sudah bersetuju menerima pemotongan gaji daripada nilai asal £375,000.

Situasi tersebut menyebabkan De Gea kini tidak mempunyai kelab, dan United terpaksa menilai pilihan lain yang mereka ada.

Dean Henderson kini telah kembali ke Carrington untuk latihan pra musim bersama skuad kendalian Ten Hag setelah semusim dipinjamkan ke Nottingham Forest – berakhir lebih awal kerana kecederaan.

Dan selepas Henderson pulih daripada kecederaan yang dialaminya, penjaga gol itu dijangka akan kembali ke Nottingham secara tetap jika diberikan lampu hijau untuk berbuat demikian oleh United.

United dilaporkan turut mempertimbangkan pilihan yang lebih murah berbanding Onana. Antara penjaga gol lain yang dikaitkan akan ke Manchester United adalah Justin Bijlow (Feyenoord) dan Kevin Trapp (Eintract Franfurt).

Di sebalik laporan itu, United kini memberikan keutamaan untuk mendapatkan penjaga gol pilihan utama yang dimahukan Erik ten Hag setelah berjaya melengkapkan perpindahan Mason Mount bernilai £60 juta daripada Chelsea pada minggu ini.

BACA:  Benzema Boleh Ambil Alih Peranan Ronaldo Dan Jadi Mentor Hojlund Di Old Trafford