Manchester United Disarankan Agar Berusaha Dapatkan Thomas Tuchel

Legenda Liverpool, Jamie Carragher percaya yang Manchester United sepatutnya berusaha untuk mendapatkan Thomas Tuchel dari Chelsea.

Melihat kepada keadaan huru-hara dalam kem Chelsea pada ketika ini, terutama selepas kelab mereka dibekukan oleh kerajaan UK, Carragher merasakan United perlu berusaha mendapatkan Tuchel.

pihak kerajaan UK mengumumkan yang mereka kini sudah membekukan segala assets milik Roman Abramovich, dan ia secara tak langsung menggagalkan usaha billionaire dari Rusia itu untuk menjual Chelsea.

Roman Abramovich sebelum ini sudah mengumumkan yang beliau akan menjual Chelsea dan hasil keuntungan dari penjualan kelab itu akan didermakan kepada mangsa perang di Ukraine.

Beliau juga turut tidak akan menuntut semula semua hutang Chelsea yang dilaporkan bernilai £1.5 juta.

Roman Abramovich memutuskan untuk menjual Chelsea kerana beliau bimbang kelab akan diganggu oleh kerajaan UK dan malang untuk kem The Blues, kini hal yang mereka takuti telah pun berlaku.

Pihak kerajaan UK sudah mengumumkan yang mereka akan membekukan segala asset milik Roman Abramovich termasuk Chelsea FC.

Carragher yakin hal ini akan memberi impak kepada pengurus kelab, Thomas Tuchel dan kerana itulah beliau mencadangkan kepada setan merah supaya menghubungi pengurus dari Jerman itu.

“Manchester United kini diberi ruang untuk mendapatkan pengurus yang sepatutnya menjadi sasaran utama mereka, Thomas Tuchel.”

Tulis Jamie Carragher di kolum miliknya di The Telegraph.

“Melihat kepada situasi Chelsea, keputusan United untuk menunggu sehingga akhir musim ini bagi mencari pengurus baru telah memberi mereka ruang untuk mendapatkan pengurus yang tak siapa jangka. Salah seorang pengurus terhebat dunia, pengurus terbaik FIFA tahun ini, dia perlu ada dalam senarai.”

“Tuchel, dan juga semua orang di Stamford Bridge, jelas sekali tidak tahu masa depan yang menanti mereka bersama kelab sekarang.”

“Tidak ada sesiapa boleh beri jaminan kepada dia tentang bagaimana skuad dia pada permulaan musim baru nanti, apa lagi selepas Chelsea masih belum boleh dijual.”

“Tidak ada pengurus yang mahu bekerja jika masa depan mereka dalam keadaan tak jelas. Jika dia dapat kesempatan untuk pergi ke kelab yang kukuh seperti Man Utd, dia tentu akan pergi.”

“United boleh tawarkan jaminan untuk dia dan beri sokongan kepada semua jurulatih. Ya ia akan nampak seperti langkah kejam kerana memanfaatkan krisis Chelsea.”

“Tapi dari sudut pandangan United dan Tuchel pula, semakin kamu pertimbangkan itu maka ia akan jadi semakin tak masuk akal.”

United pada ketika ini sedang memburu untuk mendapatkan pengurus tetap bagi menggantikan Ole Gunnar Solskjaer yang sudah dipecat pada November lalu.

Ralf Rangnick pada ketika ini menguruskan kelab sebagai pengurus interim sehingga penghujung musim ini nanti.

Oleh yang demikian, Man Utd perlu untuk mendapatkan pengurus baru pada musim panas ini untuk mengendalikan kelab.

Chelsea sementara itu akan tetap dibenarkan untuk terus beraksi walaupun kelab mereka sedang dibekukan namun ada beberapa perkara yang akan menjejaskan kewangan kelab.

Mereka tidak dibenarkan menjual tiket untuk mana-mana perlawanan home atau away selepas ini kecuali untuk pemegang pas bermusim.

Chelsea juga tidak dibenarkan untuk membeli pemain baru atau menawarkan kontrak baru kepada mana-mana pemain mereka.

Pemain seperti Andreas Christensen, Antonio Rudiger dan Cesar Azpilicueta jelas sekali akan meninggalkan kelab pada musim panas ini selepas kontrak mereka tamat.

Chelsea masih boleh dijual kepada pemilik baru, asalkan saja Roman Abramovich tidak menerima satu sen pun dari penjualan kelab.

Lebih menyedihkan lagi, penaja utama Chelsea, Three kini sudah mengesahkan yang mereka bakal menggantung tajaan kepada kelab dari London itu.

Three gantung tajaan kepada Chelsea

Syarikat telekomunikasi, Three yang juga merupakan penaja jersi Chelsea FC telah mengesahkan yang mereka akan menggantung tajaan bersama The Blues sehingga tarikh diberitahu kelak.

Syarikat tersebut mengesahkan yang logo mereka tidak akan lagi ada pada mana-mana jersi Chelsea serta tidak akan dipamerkan lagi di sekitar Stamford Bridge.

Wakil jurucakap Three dalam kenyataannya ada menyatakan bahawa:

“Memandangkan ada sekatan dari pihak kerajaan baru-baru ini, kami memutuskan untuk menggantung sementara tajaan kami kepada kelab bola sepak Chelsea, termasuk menarik balik logo kami pada jersi dan sekitar stadium sehingga tempoh diberitahu kelak.”

“Kami sedar yang keputusan ini akan memberi impak kepada ramai penyokong Chelsea yang menyokong mereka dengan penuh semangat. Walau bagaimanapun, kami rasa, melihat kepada keadaan semasa dan keputusan kerajaan membekukan kelab, kami sebenarnya sudah melakukan hal yang betul.”

“Sebagai syarikat telekomunikasi, cara terbaik untuk kami menunjukkan sokongan kepada Ukraine adalah memastikan pelarian yang tiba ke UK dari sana dan pelanggan yang masih di UKraine akan terus kekal berhubung.”

“Oleh yang demikian, kami menawarkan pakej perhubungan antara semua pelarian Ukraine di UK dengan mereka yang masih kekal di Ukraine.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Levy Tekad Kikis Bayern Munich Sampai Berdarah Kerana Cubaan Cilok Kane Guna Pintu Belakang