Mason Greenwood Menganggap Messi Berada di Tahap Lebih Tinggi Berbanding Ronaldo

Manchester United sememangnya dikenali sebagai satu pasukan yang telah melahirkan banyak bakat muda dan baharu menerusi akademi mereka yang boleh diangkat sebagai kelas dunia.

Ramai nama besar telah muncul daripada akademi ini, terutamanya dalam era Liga Perdana Inggeris bermula dengan adik beradik Neville, David Beckham, Paul Scholes, Ryan Giggs, Wes Brown, Darren Fletcher, sehinggalah pemain di era 2010-an seperti Adnan Januzaj, Marcus Rashford dan terbaharu Mason Greenwood.

Sebagai seorang pemain yang lahir pada tahun 2001, Greenwood boleh dikatakan membesar dengan suasana bola sepak yang menyaksikan dominasi dua pemain serangan yang bertaraf dunia – Leo Messi dan juga rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo.

Pencapaian kedua-dua pemain ini dari segi jaringan dan juga jumlah piala sememangnya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pemain sepanjang zaman.

Pada musim panas lalu, dalam satu temu bual bersama laman sesawang United, Greenwood ditanya siapakah pilihannya di antara kedua-dua legenda bola sepak tersebut dan pemain yang dilahirkan di Bradford tersebut menjawab;

“Bagi aku, sememangnya Messi menjadi pilihan.

“Pada pendapat aku, dia macam datang dari planet lain.

“Ronaldo memang padu, dari segi fizikal dan merupakan seorang pemain yang sangat mantap. Tapi untuk melakukan apa yang Messi buat dengan saiz dia, apa yang dia dah buat untuk Barcelona serta memenangi piala buat Argentina, dia memang berada di tahap yang lebih tinggi.”

Selain itu, pengaruh Amerika Latin dalam pembentukan gaya permainan pemain muda United ini tidak terhenti di Messi, dia juga sangat meminati bekas penyerang Brazil, Ronaldo Fenomenon.

“Skill yang paling aku suka adalah stepover (kaki silang-silang) dan aku masih mengamalkannya sampai ke hari ini,” jawab Greenwood ketika ditanya tentang skill yang paling disukainya dengan merujuk kepada gerakan yang sering dilakukan oleh legenda Brazil terebut.

“Memang itu skill kegemaran aku. Aku pernah tengok Ronaldo BRazil, di mana dia selalu buat macam tu bila berdepan penjaga gol dan juga pertahanan. Aku pernah berlatih di taman-taman dan selalu cuba buat macam tu dalam sesi latihan, lepas tu amalkannya dalam perlawanan.

“Sekarang ni, skill tu dah melekat dengan aku – satu skill yang mudah yang aku selalu berlatih.”

Sejak mula muncul di atas padang ketika Ole Gunnar Solskjaer menjadi pengurus, Greenwood sememangnya dikenali sebagai seorang penyerang yang cukup klinikal dan tajam di hadapan gol.

Pada musim ini, dia telah beberapa kali menjaringkan gol penting dan memberikan tiga mata kepada pasukannya.

Walaubagaimanapun, ketajamannya di hadapan gol seringkali disulami dengan sifatnya yang dianggap sebagai tamak dan kedekut di hadapan gol di mana dia seringkali dilihat memilih untuk melakukan cubaan ke arah gol meskipun mempunyai ruang dan peluang untuk menghantar bola kepada rakan sepasukan yang lebih selesa untuk menjaringkan gol.

Terbaharu, Greenwood dikecam oleh ramai penyokong United selepas dia sekali lagi dianggap bersikap tamak haloba dalam perlawanan menentang West Ham United di Old Trafford.

United berpeluang untuk mendahului lawan seawal minit keempat menerusi satu gerakan serangan balas yang sangat pantas dan telah mencipta satu situasi tiga lawan tiga di antara pemain kedua-dua pasukan. Fernandes berjaya mengawal bola dengan baik meskipun dicabar pertahanan lawan, sebelum melorongkan bola kepada Mason Greenwood yang melakukan larian di sebelah kanannya.

Akan tetapi, ketika bola berada di kaki Mason Greenwood, dia memilih untuk melakukan cubaan ke arah gol meskipun di hadapannya terdapat dua pertahanan West Ham yang sedia menghalang, berbanding melorongkan bola kepada Ronaldo yang dilihat tidak dikawal di sebelah kirinya.

Ronaldo dilhat jelas kecewa dengan tingakan penyerang muda United tersebut kerana dia dilihat lebih mementingkan rekod jaringannya berbanding kemenangan pasukan. Selepas aksi tersebut, Ronaldo dengan jelas menunjukkan rasa tidak puas hatinya sambil melakukan aksi seperti bintang TikTok, Khaby Lame.

Dalam perlawanan tersebut, United terpaksa menunggu sehingga ke minit terakhir untuk mengutip tiga mata apabila Marcus Rashford menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Pada hujung perlawanan, Alex Telles menghantar bola ke depan dari kawasan United, sebelum bola ditanduk sipi-sipi oleh Federicks, dan menyebabkan bola singgah ke kaki Ronaldo.

Dengan tenang Ronaldo mengawal bola ke depan dan sebaik sahaja dua pemain West Ham cuba menerjah bola, Ronaldo sempat membuat hantaran kepada Martial di sebelah kirinya.

Martial kemudiannya bertindak menolak bola kepada Cavani dan menewaskan perangkap ofsaid West Ham, sebelum pemain Uruguay itu menyepak leret ke hadapan gol lawan lalu bola ditolak masuk ke dalam gol oleh Rashford.

Sumber berita batu api ini dipetik dari laman sesawang United, manutd.com.

BACA:  Cavani Dedah Sebab Kenapa Beliau Pantas Datang Melindungi Greenwood