Menyarung Jersi Azzuri Dua Tahun Lalu, Kini Bergelar Pelajar Universiti Harvard Sepenuh Masa

Ramai orang mempunyai impian untuk bermain bola sepak secara professional, apatah lagi jika seseorang itu sudahpun berada di landasan yang betul – menimba ilmu bola sepak di akademi yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia. Namun, walaupun sudah berada di jalan yang terang yang akan membawanya ke dunia bola sepak, seorang remaja Itali telah mengubah haluan hidunpnya daripada bermain bola sepak kepada menyambung pengajian di salah satu universiti terbaik di dunia – Universiti Harvard.

Alessandro Arlloti tahu dan maklum bahawa dia telah mengorbankan segala-galanya untuk berada di mana dia berada pada hari ini. “Ramai orang yang cakap lepas akan jadi lebih susah, tapi aku masih muda,” ujarnya kepada sportBIBLE dari rumah barunya di Boston, Amerika Syarikat.

“Aku nak bermimpi sebanyak mungkin. Aku akan buat segala yang termampu untuk menjadikannya kenyataan,” tambahnya lagi.

Pada bulan Februari tahun ini, hanya dua tahun selepas dia mewakili Itali dalam Kejohanan Piala Dunia 2017, remaja ini telah mengambil keputusan yang bakal mengubah hidupnya.

Arlotti telah meninggalkan karier bola sepak professional demi mencapai impiannya yang lain. Satu impian yang hanya mempunyai 3.5 peratus kadar penerimaan dan juga memerlukan sifat dedikasi yang sangat sangat tinggi. Satu impian yang membolehkannya belajar di salah sebuah universiti yang terkemuka di dunia.

Arlotti di depan pagar Harvard. Gambar : SB

Dalam masa beberapa minggu, dia akan memulakan hari pertama daripada program empat tahun di Harvard – universiti yang telah melahirkan ramai individu terkenal di dunia seperti John F. Kennedy, Matt Damon dan juga Mark Zuckerberg.

Tetapi persoalan yang sering dia ditanya adalah, kenapa dia meninggalkan peluang untuk menjadi pemain bola sepak professional yang menjanjikan kemewahan dan juga gaya hidup yang baik.

“Aku rasa ini adalah keputusan yang terbaik aku pernah ambil.”

Dilahirkan di bandar Nice di Perancis oleh pasangan dari Itali, Arlotti membesar dengan cita-cita ingin menjadi seorang pemain bola sepak dan ketika dia berusia tujuh tahun, pasukan Ligue 1, AS Monaco, telah mengesan bakatnya ketika dia bermain bola sepak tempataan di French Riveira.

Arlotti kemudiannya tampil cemerlang di akademi Les Monegasques, menjaringkan banyak gol dan juga menunjukkan peningkatan secara keseluruhan sebagai seorang pemain.

Dia juga muncul sebagai pelajar terbaik di pusat pendidikan akademi tersebut, yang terletak di dalam Kompleks Stadium Louis II.

Mendapat pengiktirafan rasmi daripada Kementerian Pendidikan Perancis, terdapat ramai guru berkelayakan yang menjadi tenaga pengajar akademik di akademi bola sepak tersebut. Ketika dia berada di kelab bekas juara Ligue 1 itu, Arlotti telah mempelajari banyak perkara yang berguna.

Untuk rekod, akademi ini telah melahirkan ramai pemain bintang dunia seperti Emmanuel Petit, Thierry Henry, Yannick Carrasco, Thomas Lemar, Nampalys Mendy dan yang terbaharu, Kylian Mbappe.

Dalam perbualannya bersama sportBIBLE, Arlotti ada berkongsi tentang kepentingan sistem tersebut dalam membangunkan seseorang pemain muda, terutamanya dirinya sendiri.

“Memang tak mudah untuk belajar dan berlatih pada masa yang sama,” katanya.

“Tapi apapun, aku kena berterima kasih kepada Monaco. Mereka adalah salah satu kelab yang paling tersusun di dunia. Meraka ada sekolah sendiri dalam akademi tu yang membantu kami sebagai pemain untuk menyambung pelajaran dan memajukan tahap akademik.

“Aku rasa pengalaman tu sangat mengagumkan dan sangat membantu aku sendiri.”

Selepas sembilan tahun yang cukup produktif di dalam sistem belia Monaco, Arlotti yang mempunyai cita-cita tinggi ingin membuktikan kebolehannya dalam suasana pasukan utama.

Pada musim panas 2020, dia telah mengambil keputusan untuk menyertai kelab Serie B, Pescara – satu keputusan yang boleh dikatakan sebagai tindakan yang betul.

Pada masa yang sama, dia juga mendapat gred yang cemerlang di dalam akademik ketika dia menyertai pasukan itu, selain telah beraksi bersama pasukan bawah-17 Itali dalam Piala Dunia Belia.

“Bermain untuk negara kau adalah satu perasaan yang paling seronok di dalam dunia ni,” ujarnyna lagi.

“Aku akan sentiasa ingat sewaktu perlawanan debut aku dengan pasukan kebangsaan. Aku sedang menyanyikan lagu kebangsaan dan ayah aku berada di tempat duduk penyokong.

“Aku nampak dia menangis dengan bangga, dengan tangannya diletakkan di dada. Aku tak akan lupakan detik tu.”

Walaubagaimanapun perancangannya di Serie B tidak menjadi seperti yang diharapkan.

“Aku cuma nak tahu adakah aku ni boleh bermain secara professional. Di Monaco, aku memang jauh daripada pasukan utama. Jadi aku pergi ke Pescara untuk cuba nasib sama ada aku ni boleh bermain tak di tahap yang paling tinggi.

“Tapi malangnya, pasukan tu tak berada dalam posisi yang baik dan ada ramai sangat pemain. Jurulatih pula betukar sebanyak tiga kali masa aku kat situ.

“Aku faham yang diorang tak akan guna pemain muda ketika pasukan sedang berada di situasi sukar. Jadi, benda tak jadi seperti apa yang aku harapkan.”

Selepas itu dia berada di persimpangan hidup di mana dia ingin meneruskan pengajian tanpa meninggalkan sukan yang cukup disayanginya. Lalu dia mengambila langkah yang berani dengan meninggalkan Pescara dan belajar di Amerika Syarikat.

Sebelum mendapat tempat di Harvard, Arlotti perlu melalui beberapa ujian terlebih dahulu kerana pusat pengajian tersebut sangat memilih dalam memberikan tawaran.

Tidak mahu mengalah, Arlotti akhirnya berjaya mendapat keputusan SAT yang cemerlang, sekaligus membolehkannya berada di kalangan pelajar elit dari seluruh dunia.

“Aku rasa ini adalah keputusan yang terbaik aku boleh buat,” katanya lagi.

“Datang ke sini dan belajar sambil bermain bola sepak di Harvard adalah sangat menakjubkan. Tahap permainan juga agak tinggi di sini.”

Keputusan besar ini pastinya mengundang pertanyaan daripada mereka yang dekat dengannnya, dan ini diakui sendiri oleh Arlotti.

“Aku tahu cerita aku ni agak unik. Sebab tu aku terima banyak mesej daripada orang yang kata dia tak boleh nak hadam dengan keputusan aku ni.

“Aku boleh cakap 50 peratus orang tak faham pilihan aku, dan separuh lagi ternyata gembira unutk aku. Mereka nampak yang aku ni adalah seorang insan yang mempunyai cita-cita yang tinggi.

“Aku cuba terangkan yang keputusan aku ni kepada mereka yang tak faham.

“Aku tahu yang mewakili pasukan kebangsaan Itali dan bermain di Serie B untuk Pescara ni bukan hal yang kaleng-kaleng. Mereka akan cakap ‘tapi kau sikittttt je lagi’.

“Memang susah nak bagi orang faham tapi diorang tak faham betapa besarnya peluang ni untuk aku. Kebanyakannya faham juga lepas tu.”

Dalam Arlotti merealisasikan cita-citanya untuk mendapatkan segulung ijazah di univerisiti yang ditabalkan pusat pengajian terbaik dunia kali kesepuluh berturut-turut, dia sedar dia perlu meninggalkan keselesaan di belakang dan bakal menempuh cabaran dan dugaan yang besar. Begitupun, jauh di dasar hatinya, dia masih mahu bergelar seorang pemain bola sepak professional pada suatu hari nanti.

“Aku sayangkan bola sepak. Aku serahkan seluruh hidup aku untuk bermain. Aku perlu fokus kepada Harvard sekarang ni dan aku ingat nak main bola balik [selepas tamat pengajian].

“Mungkin aku akan kembali bermain bola sepak di Eropah. Aku rasa itulah impian aku.”

Sumber : sportBIBLE

BACA:  EURO 2020 Suku Akhir: Belgium 1-2 Itali