Mesej Berbunga Ronaldo Kepada Penyokong Juventus Selepas Menjaringkan Gol ‘Overhead Kick’

Penyerang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo merakamkan ucapan terima kasihnya kepada peminat Juventus yang telah memberikan tepukan penghargaan kepadanya selepas menjaringkan gol ‘Overhead Kick’.

Ronaldo berjaya membantu Los Blancos mencatatkan kemenangan selesa 3-0 di gelanggang lawan dengan meledak dua gol cantik. Gol ketiga Real Madrid dijaringkan oleh pemain pertahanan Brazil, Marcelo yang meluru masuk ke kotak penalti selepas bertukar hantaran dengan Ronaldo.

Buoh lipatt dari CR7 mengejutkan peminat bola yang mengantuk di mamak

Pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak 5 kali itu berkata perlawanan pada malam tadi tidak akan dilupakannya dan menyifatkan ia sebagai pengalaman yang amat menakjubkan.

Juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah meletakkan kaki mereka selangkah ke pusingan separuh akhir dengan membawa bekal 3 gol di tempat lawan. Juventus pula memerlukan keajaiban untuk berlaku sekiranya mereka mahu mengejutkan Real Madrid di stadium keramat mereka, Santiago Bernabeu minggu hadapan.

Ronaldo berjaya membuka akaun jaringannya dalam perlawaan tersebut seawal minit ke-3 bagi mencemaskan pemain dan peminat Juventus. Babak pertama berakhir dengan kedudukan 1-0 berpihak kepada Real Madrid.

“Saya minta maaf”. Mulia sungguh hati beliau

Separuh masa kedua bermula dengan rancak dengan dua pasukan bertukar-tukar serangan. Ronaldo mengejutkan peminat tuan rumah sekali lagi apabila menjaringkan gol berstatus Puskar apabila melompat tinggi untuk menjaringkan gol ‘Overhead Kick’.

Bagaikan terpukau dengan gol Ronaldo, penyokong Juventus bangun dan menepuk tangan sebagai tanda penghargaan mereka kepada Ronaldo yang menjaringkan gol ‘Overhead kick’ buat kali pertama dalam kariernya.

Ronaldo sempat memberikan temuramah kepada UEFA.COM selepas tamat perlawanan tersebut dan beliau menggunakan kesempatan itu untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong Juventus yang berada di stadium.

“Ia merupakan detik yang saya tidak akan dapat lupakan. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong Juventus. Apa yang mereka lakukan kepada saya tadi adalah sangat menakjubkan.”

“Perkara sebegini tidak pernah berlaku sepanjang karier saya dan saya berasa sangat gembira.”

“Ia merupakan gol yang sangat cantik. Fantastik. Saya tidak sangka mampu menjaringkan gol seperti itu.”

“Tetapi lupakan dulu gol tersebut, kita bercakap mengenai perlawanan. Ia merupakan perlawanan yang menakjubkan. Kami berjaya menjaringkan 3 gol menentang pasukan Juventus yang kuat. Kami bermain amat baik dan saya gembira dengan pasukan saya. Saya berjaya membantu pasukan dengan menjaringkan dua gol. Ia malam yang hebat buat kami.”

Bekas pemain Manchester United itu muncul pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam 10 perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Beliau juga telah mengumpul 39 gol musim ini buat Real Madrid dalam semua pertandingan.

BACA:  Klopp: Liga Juara-Juara Eropah Ada Dalam DNA Liverpool