Messi Akhirnya Membuka Akaun Gol Ligue 1 Dengan Gol Menakjubkan

Lionel Messi akhirnya berjaya melepasi ranjau penuh berduri apabila berjaya membuka akaun gol di Ligue 1 dengan satu jaringan gol yang penuh bergaya lagi menakjubkan seperti biasa.

Menentang Nantes di gelanggang sendiri, Parc Des Princes, Paris Saint Germain sedar bahawa kemenangan dan tiga mata akan membawa mereka terus kekal di puncak Ligue 1 dengan selesa.

Lionel Messi hadir dengan reputasi gah bukan sekadar pemain terbaik dunia tetapi antara pemain terbaik sepanjang zaman yang pernah ada dalam sejarah bola sepak dunia.

Namun Lionel Messi agak bergelut untuk mencari gol pertama di Ligue 1 bersama Paris Saint Germain sehingga terpaksa menunggu di perlawanan yang ke-14.

Agak padu buat Paris Saint Germain apabila berjaya mencatatkan 12 kemenangan dalam 14 perlawanan Ligue 1 tanpa Lionel Messi menjaringkan gol atau mencipta assit.

Dasar liga petani?

Dengan permainan berbaki tiga minit ketika PSG mendahului Nantes 2-1, lionel Messi hadir dengan gol ketiga untuk terus memadamkan semangat kebangkitan lawan.

Kylian Mbappe telah menolak bola kepada Messi disebelah kanan dan Messi segera mengacah-ngacah pemain pertahanan Nantes yang fokus melayan.

Mendapat ruang dan peluang yang secukupnya Messi segera melakukan satu rembatan lencong ke kiri gawang dan sudah terlambat untuk pemain pertahanan Nantes yang segera melayangkan badan melakukan hadangan.

Kau tengok sendiri la.

Gol pembukaan PSG dalam perlawanan ini telah dijaringkan oleh Kylian Mbappe seawal minit kedua perlawanan dan kedudukan ini kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada minit ke-65, PSG terpaksa bermain 10 orang selepas penjaga gol mereke, Keylor Navas dilayangkan kad merah kerana menerajang Ludovic Blas ketika keluar dari kotak.

Tindakan tidak masuk akal Keylor Navas itu tidak memberi pilihan lain kepada pengadil selain melayangkan kad merah.

Kelebihan ini digunakan sepenuhnya Nantes untuk menyamakan kedudukan melalui Randal Kolo Muani dengan satu jaringan no look back heel.

Sergio Rico telah menolak keluar bola yang sudah melepasi garisan dan Goal Line Tenchnology kemudian mengesahkan jaringan jahat Randal Kolo Muani itu.

Beraksi di liga petani dengan barisan terbaik dunia, PSG kembali di depan pada minit ke-82 hasil gol sendiri Dennis Appiah.

Gol sendiri ini berpunca dari lorongan Messi mencari rakan namun cuba dipotong Dennis Appiah. Malangnya bola telah melambung tinggi menuju ke gawang sendiri.

Penjaga gol Nantes, Alban Lafont yang berada agak jauh dari gawang hanya mampu melihat kelemasan bola melepasi kepalanya.

Lionel Messi menjaringkan gol ketiga untuk memastikan kemenangan dan tiga mata diraih PSG untuk terus menjarakkan kedudukan kepada 12 mata.

Gol ini adalah satu peringatan tepat pada masanya tentang posisi di mana Messi berfungsi dengan baik di atas padang.

Setakat ini, Pochettino lebih suka untuk meletakkan pemain berusia 34 tahun ini bermain di bahagian sayap dan bukannya tengah sistem serangan bertiga.

Mauricio Pochettino lebih gemar meletakkan Kylian Mbappe di bahagian tengah.

Ketika rehat untuk perlawanan antarabangsa Paris Saint Germain dilaporkan bengang dengan Lionel Messi selepas bintang Argentina itu turun beraksi bersama skuad kebangsaan..

Messi diturunkan untuk beraksi bertemu Uruguay dalam aksi kelayakan Piala Dunia, walaupun beliau sebelum itu bergelut dengan masalah kecederaan dan tidak dapat beraksi bersama PSG.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu telah terlepas dua perlawanan terakhir bersama Paris Saint Germain kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Messi terlepas untuk beraksi bersama PSG ketika bertemu RB Leipzig dalam saingan Champions League dan beliau turut terlepas aksi bertemu Bordeaux dalam saingan Ligue 1.

Namun isu itu tidak diperbesarkan dan telah diselesaikan secara baik dan Messi kini kembali beraksi untuk PSG.

BACA:  Copa America: Messi Melakukan Nutmeg Yang Menakjubkan Ke Atas Pemain Paraguay