Messi Ditawarkan RM4.4 Juta Untuk Jubah Hitam

Lionel Messi telah ditawarkan RM4.4 juta ($1 juta) untuk jubah hitam bersepuh emas atau bisht yang dipakainya ketika menjulang Piala Dunia 2022 yang penuh ikonik itu.

Sebelum upacara julangan Piala Dunia, Lionel Messi telah dipakaikan jubah hitam itu terlebih dahulu kemudian trofi keagungan itu diserahkan.

Bisht melambangkan status, kekayaan dan Diraja di negara-negara Arab dengan Qatar mahu menambah kejayaan kepada julangan trofi sebagai negara Islam pertama yang menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Seorang peguam dari Oman tidak mahu Messi menyimpan jubah itu. Ahmed Al Barwani, yang juga ahli parlimen di Oman, telah menawarkan sejumlah wang tunai yang besar kepada pemain berusia 35 tahun itu untuk memastikan ia kekal di Timur Tengah.

Dia menulis di Twitter:

“Dari Kesultanan Oman saya mengucapkan tahniah kepada anda kerana memenangi Piala Dunia Qatar 2022…”

“Putera Tamim Bin Hamad mempesonakan saya ketika dia memakaikan awak bisht.”

“Bisht Arab, simbol kemurahan hati dan kebijaksanaan. Saya menawarkan anda satu juta dolar (£829,000) sebagai balasan untuk bisht itu.”

Ahmed Al Barwani telah menjelaskan niat sebenarnya kenapa dia sangat berminat dengan jubah itu sehingga sanggup menawarkan harga jutaan dolar semasa wawancara dengan The National.

Dia berada di dalam Stadium Lusail ketika Lionel Messi dan rakan sepasukannya meraikan kemenangan dramatik, menekankan kepentingan ‘memperingati’ detik kebanggaan itu.

Dia berkata: “Saya berada di stadium menonton detik itu secara langsung apabila Emir Qatar memberi Messi bisht.”

“Saat ini memberitahu dunia bahawa kita berada di sini dan ini adalah budaya kita, sila ketahui dengan baik.”

“Ia akan dipaparkan untuk memperingati detik kebanggaan itu, dan untuk membantu kami menghidupkannya semula dan juga untuk mengingatkan kami bahawa kami boleh (melakukan apa sahaja).”

Messi yang memakai bisht menerima kritikan kerana ia menutup jersi Argentinanya. Bekas pertahanan Argentina, Pablo Zabaleta membuat liputan untuk BBC Sport yang lantang mengutuk Qatar dan tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.

Dia berkata: “Kenapa? Tidak ada sebab untuk berbuat demikian.”

Pegawai Qatar telah mempertahankan keputusan itu, menegaskan ia adalah ‘perayaan serantau’ dan bukannya satu untuk Qatar.

Seorang pempengaruh media sosial dari Turki, Dr. Abdallah Marouf telah menempelak komen yang jelek kerana Messi telah dipakaikan jubah itu dan mencadangkan media bara yang jahil supaya belajar tentang budaya.

“Dari segi budaya, memakaikan seseorang “Bisht” (jubah) adalah tindakan ihsan & penghargaan tinggi di #Qatar. Oleh itu, #Messi sangat dihormati oleh Emir Qatar dengan memakaikan beliau sebagai Bisht.”

“Media Barat yang jahil akan belajar tentang budaya dan bukannya merengek seperti biasa! #FIFAWorldCupFinal”

Apa itu Bisht?

Jubah hitam dengan jaluran dan kemasan emas yang dikenakan oleh Lionel Messi itu digelar ‘Bisht‘ merupakan simbol dan identiti orang Arab yang telah dipakai sejak beribu tahun lalu.

Bisht adalah pakaian yang melambangkan status yang biasanya dikaitkan dengan keluarga Diraja, kedudukan agama, kekayaan dan majlis istiadat seperti pemakaian tuksedo dengan bow tie di Barat.

Ia biasanya dipakai untuk majlis-majlis khas yang berprestij seperti perkahwinan, atau perayaan seperti hari raya, atau untuk Ṣalāt jemaah atau Solat Jenazah.

Imej Messi dengan julangan piala akan tersemat dalam sejarah bola sepak, tetapi yang paling menonjol dan unik, kerana dia memakai jubah hitam yang telah dipakaikan kepadanya oleh Gianni Infantino, presiden FIFA, dan Emir Qatar, Tamim bin Hamad.

BACA:  Presiden Kelab Dedah Bagaimana Apple Bantu Bayar Gaji Messi Di Inter Miami