Presiden Kelab Dedah Bagaimana Apple Bantu Bayar Gaji Messi Di Inter Miami

Presiden bersama Inter Miami, Jorge Mas mendedahkan bagaimana kerjasama dengan syarikat gergasi bidang teknologi dunia, Apple membantu kelab itu menjana pendapatan untuk membayar gaji Lionel Messi.

Gaji Messi di Inter Miami didedahkan oleh Jorge Mas kepada media baru-baru ini, dan jumlah yang diterima pemain itu mungkin lebih besar daripada yang disangka ramai.

Messi memilih untuk berhijrah ke Amerika Syarikat pada bulan lalu selepas kontrak pemain itu bersama Paris Saint-Germain (PSG) tamat pada penghujung Jun lalu.

Pada masa yang sama Messi menolak untuk kembali ke Barcelona dan tawaran lumayan kelab Saudi Pro League, Al Hilal untuk merealisasikan perpindahan tersebut.

Kapten skuad kebangsaan Argentina itu belum lagi melakukan penampilan kompetitif bersama Inter Miami sejak berakhirnya musim bola sepak di Eropah.

Sejak daripada itu Messi tampil untuk negaranya dalam perlawanan persahabatan menentang Australia di China dan perlawanan testimonial di stadium Newell’s Old Boys dan Boca Juniors sepanjang Jun lalu.

Mas yang juga merupakan seorang pemilik syarikat kejuruteraan MassTee dan jutawan, selain menjadi pemilik bersama Inter Miami bersama David Beckham mendedahkan jumlah yang perlu dibelanjakan kelab untuk membiayai Messi.

Walaupun tidak mendedahkan jumlah yang tepat, Mas berkata Messi menerima sekitar $50 juta sehingga $60 juta semusim di kelab MSL itu.

“Saya menghabiskan masa tiga tahun [projek memikat Messi], dan setahun setengah daripada tempoh itu secara bersungguh-sungguh,” jelas Mas.

“Ada banyak perbincangan dilakukan bersama ayah Messi, Jorge [juga ejen kepada pemain itu]. David [Beckham] juga bercakap kepada Leo, tetapi ia hanya berkaitan perkara bola sepak kerana dia adalah bekas pemain.

“Semuanya sebenarnya selesai pada Mei lalu. Saya tidak mahu dia [Messi} rasa tertekan. Perbincangan diadakan banyak kali di Barcelona, Miami, Rosario, Doha…. dan saya meluangkan masa sepanjang Piala Dunia di Qatar mengikuti perkembangan pasukan Argentina.

“Kontrak tajaan bersama Apple sangat pentin dan memainkan peranan besar untuk melengkapkan perpindahan [Messi].”

Pada Februari lalu, Inter Miami berjaya mengikat kontrak berjumlah $2.5 billion selama 10 tahun.

Sebelum ini terdapat pertanyaan bagaimana Inter Miami mampu menewaskan tawaran €500 juta oleh Al Hilal untuk mendapatkan Messi yang berada di dalam senarai atlet dengan bayaran tertinggi menurut Forbes.

Segalanya kini terjawab apabila Mas mendedahkan kerjasama bersama Apple turut membantu Inter Miami membiayai projek membawa Messi ke kelab itu.

Messi berada di dalam senarai Forbes sebagai antara atlet dengan pendapatan tertinggi dunia dengan jumlah perolehan $130 juta setahun.

BACA:  Lepas Teruk Kena Boo, Messi Kini Dikaitkan Bakal Kembali Ke Nou Camp