Mike Phelan Sindir Rashford Yang Buat Latihan Berat Ketika Bercuti

Penolong jurulatih Manchester United, Mike Phelan dikatakan telah menyatakan sindiran secara halus kepada pemain yang telah membuat latihan berat bagi mengekalkan kecergasan ketika tempoh bercuti dan pemain itu adalah Marcus Rashford.

Tidak dapat dinafikan lagi dalam tempoh bercuti pemain bola sepak profesional tidak akan meninggalkan rutin latihan dan senaman ringkas bagi mengekalkan kecergasan.

Namun dapat dilihat melalui media sosial pemain sendiri yang melakukan latihan tubi dan berat ketika mereka memerlukan rehat yang sepatutnya selepas melalui musim yang panjang.

Lazimnya seorang pemain bola sepak akan mempunyai 52 minggu setahun seperti manusia biasa yang lain dan hampir 48 minggu dihabiskan dengan kelab dan tempoh 4 minggu adalah cuti selepas tamat musim.

Sindiran daripada Mike Phelan ini bukanlah datang dari kenyataan Mike Phelan sendiri tetapi melalui satu ciapan kembali Mike Phelan di Twitternya tanpa sebarang kapsyen.

Lantaran itulah timbul pelbagai persepsi di mana ada yang mengatakan Phelan sindir, kecam, kecewa dan pelbagai lagi akan perbuatan pemain yang giat berlatih seperti tiada hari esok.

Semuanya bermula dari ciapan pengguna Twitter bernama struds1972 yang kembali diciap oleh Mike Phelan seperti bersetuju dengan kenyataan ini:

“Sungguh menggembirakan melihat begitu ramai pemain bola sepak profesional menyiarkan video tentang betapa gigihnya mereka bekerja semasa di luar musim.”

“Mengapa tidak komited 100% 48 minggu yang lain dalam setahun dengan kakitangan sokongan kelab? 🤔 Kemudian dapatkan rehat yang sewajarnya!”

Ramai yang bersetuju dengan pandangan struds1972 yang mempersoalkan kenapa tidak fokus kepada latihan selama 48 minggu bersama kelab dan dibantu barisan kejurulatihan serta pakar-pakar di kelab.

Kerana dikelab kakitangan sokongan akan menentukan pemakanan dan diet serta latihan yang diperlukan pemain mengikut kondisi semasa tubuh pemain.

Marcus Rashford dan Jadon Sancho antara pemain Manchester United yang kerap berkongsi video latihan mereka di media sosial menjelang latihan pra-musim.

Cristiano Ronaldo tidak terkecuali apabila telah menunjukkan susuk tubuh yang semakin tegap dan berketul-ketul namun tiada apa yang pelik dengan Ronaldo yang terkenal dengan diet serta latihan ekstrem selama ini.

Ada yang berpandangan Mike Phelan seperti menyindir Marcus Rashford yang pada musim lepas dapat dilihat betapa longlai dan gemalai aksinya di padang.

Aksi Marcus Rashford merungut di padang lebih banyak dilihat berbanding aksinya bermain bola sepak dengan hantaran kelaut dan teramat malas mengejar selepas kehilangan bola.

Walaupun masuk pada minit ke-75, Marcus Rashford nampak tidak bermaya seperti sudah beraksi 3 hari 3 malam tanpa henti.

Kenyataan struds1972 ini dilihat tepat kepada Marcus Rashford yang kelihatan berusaha keras membuat content latihannya ketika cuti.

Dari sudut positif mungkin Rashford sudah insaf selepas kehilangan tempat bersama pasukan England dan mahu membuktikan kembali kehebatan untuk beraksi di Piala Dunia.

Tambahan pula Manchester United sudah mempunyai pengurus baharu dan mempunyai rancangan besar, sudah pasti Rashford mahu berada dalam rancangan itu selaku pemain utama.

Tapi apa yang pasti usaha dilakukan pemain dengan latihan berat semasa bercuti adalah sesuatu yang bagus untuk menyertai latihan pra-musim dalam kondisi yang terbaik. Piala Dunia kan dah dekat.

Mike Phelan menyertai Setan Merah pada tahun 2000 selepas diberi jawatan di pusat kecemerlangan Manchester United dan menjadi jurulatih pasukan utama pada 2001 selepas Steve McClaren angkat kaki ke Middlesbrough.

Pada 2008, Mike Phelan naik pangkat lagi apabila menjadi pembantu pengurus kepada Sir Alex Ferguson menggantikan Carlos Queiroz yang pergi untuk menjadi pengurus Portugal.

Mike Phelan telah meninggalkan kelab selepas Sir Alex Ferguson bersara dan kembali ke Old Trafford selepas dipanggil semula oleh Ole Gunnar Solskjaer.

Dibawah Erik Ten Hag, Mike Phelan tidak diperlukan lagi untuk tugas kejurulatihan dan mungkin akan memainkan peranan lain dan Phelan dijangka mengangkat kaki sekali lagi.

Ralf Rangnick pernah mengkantoikan Mike Phelan sebagai perkerja yang makan gaji buta.

BACA:  [VIDEO] Rashford Melakukan Perkara Yang Hampir 'Musnahkan' Karier Fred