Mino Raiola Letih Dan Sakit Hati Kerana Kerap Difitnah Dah Mati

Siapa saja yang tak kecewa andai dirinya difitnah sudah meninggal dunia sedangkan hakikatnya beliau masih hidup dan sedang berjuang melawan kesakitan.

Mino Raiola hari ini sekali lagi difitnah telah meninggal dunia sedangkan beliau sebenarnya masih lagi hidup dan sedang menjalani rawatan di hospital di Milan.

Menurut Mino Raiola, dalam tempoh empat bulan ini sahaja, beliau sudah dua kali dituduh meninggal dunia dan sepertinya kali ini beliau merasakan ia sudah keterlaluan.

Petang tadi, seluruh dunia dikejutkan dengan berita yang menyatakan bahawa Mino Raiola sudah meninggal dunia kerana penyakit yang beliau hidapi.

Sebaik melihat berita itu tular di media sosial, ramai peminat yang terkejut dan pelbagai reaksi yang boleh dilihat dari kesemua mereka yang mendengar berita tersebut.

Ada yang terkejut, ada yang sedih, ada yang berdua dan agak mengejutkan juga untuk melihat ada peminat yang meraikan berita pemergian super ejen itu.

Lebih menyedihkan lagi, Mino Raiola sendiri sebenarnya boleh membaca semua komen-komen tersebut dan tentunya beliau akan menangis kerana pemergian beliau diraikan oleh komuniti bola sepak.

Wakil dari agensi beliau merupakan antara pihak pertama yang tampil menafikan dakwaan tersebut dengan mereka menyatakan:

“Berita itu palsu. Dia (Mino Raiola) masih belum mati.”

Tidak lama selepas itu, orang kanan Raiola, Fortes Rodriguez pula tampil menjelaskan situasi terkini tentang keadaan Mino Raiola kepada media Belanda.

“Dia berada dalam keadaan yang agak teruk, tapi dia masih belum mati.”

Seperti yang dinyatakan di atas, ini bukanlah kali pertama Mino Raiola difitnah sudah mati dengan beliau sebelum ini turut pernah melalui hal yang sama.

Bengang dengan fitnah yang dilemparkan kepadanya, Mino Raiola menulis di laman twitter miliknya dengan menyatakan:

“Keadaan kesihatan terkini untuk mereka yang tertanya-tanya: Menjengkelkan buat kali kedua dalam tempoh 4 bulan mereka bunuh saya. Nampaknya masih lagi boleh dihidupkan semula.”

Jika kenyataan sendiri dari Mino Raiola tak cukup untuk meyakinkan peminat yang beliau masih hidup, para peminat sepertinya perlu bagi muka pada manusia paling jujur dalam dunia bola sepak, Fabrizio Romano kerana beliau turut mengeluarkan kenyataan berkait situasi Super ejen itu.

“Dr. Alberto Zangrillo dari San Raffaele Hospital di Milan telah memberitahu Ansa berkait keadaan Mino Raiola: ‘Saya bengang dengan panggilan telefon dari media yang membuat spekulasi tentang nyawa seorang lelaki yang sedang berjuang untuk selamat.”

Tidak dinafikan lagi yang Mino Raiola sememangnya sering mendapatkan rawatan di hospital sejak awal tahun lalu kerana tahap kesihatannya yang tak begitu baik.

Walau bagaimanapun, untuk beliau difitnah sudah meninggal sepertinya ia bukanlah satu hal yang patut dilakukan apa lagi memikirkan yang beliau sedang berjuang melawan penyakitnya.

Keluarga beliau tentunya antara golongan paling terkesan dengan fitnah tersebut kerana mereka tahu keadaan Mino Raiola yang tidak sihat.

Hal ini tidak sepatutnya diteruskan dan mereka yang menularkan fitnah tersebut perlu dihukum.

Lebih menyedihkan lagi, andai beliau benar-benar meninggal dunia, sepertinya komen-komen negatif itu tak sepatutnya ditulis pada berita yang sensitif seperti itu.

Walau beliau sering dianggap sebagai seorang ejen yang kejam, tamak dan turut dianggap sebagai tokoh paling dibenci, namun soal kematian tak sepatutnya dijadikan bahan ketawa.

Mino Raiola sememangnya dikenali sebagai seorang Super ejen kerana beliau memiliki barisan pemain yang sungguh menakjubkan di bawah agensi beliau.

Beliau yang satu ketika dahulu hanya mengenali industri pembuatan pizza hari ini telah berjaya menjadi jutawan paling berjaya dalam dunia bola sepak.

Bermula dari zaman Pavel Nedved, Mario Balotelli dan Zlatan Ibrahimovic, Mino Raiola sudah mula mencipta nama sebagai seorang ejen yang sangat disegani.

Ramai bintang-bintang besar yang mahu bekerjasama dengan beliau dek kerana profil dan reputasi baik yang beliau miliki.

Dalam dunia bola sepak hari ini, sebenarnya ramai lagi bintang handalan yang berada di bawah agensi beliau seperti Paul Pogba, Matthijs de Ligt, Erling Haaland dan ramai lagi.

Walau beliau dianggap tokoh yang paling dibenci, namun harus diakui juga yang beliau turut mempunyai sejarah yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam dunia bola sepak.

BACA:  Mino Raiola Dedah Pemainnya Mungkin Akan Sertai Pasukan Dari Premier League Musim Panas Nanti