Mourinho Ambil Tindakan Nekad Tinggalkan Badan UEFA

Pengurus Roma, Jose Mourinho bertindak nekad meninggalkan peranannya bersama badan khas UEFA. Perkara itu disahkan oleh badan bola sepak Eropah itu sendiri kepada ESPN.

Badan tersebut terdiri daripada jurulatih-jurulatih elit bola sepak Eropah dan berperanan untuk memberi nasihat dan pandangan kepada UEFA.

Tindakan daripada Mourinho itu tiba hanya selepas dua hari dia digantung empat perlawanan oleh UEFA selepas didapati bersalah memaki pengadil Anthony Taylor selepas perlawanan akhir Piala Europa pada bilan lalu.

Dalam perlawanan tersebut Roma tewas kepada Sevilla melalui penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Rakaman video yang tular selepas itu menunjukkan Mourinho mendekati Taylor di luar stadium sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

Seperti yang didedahkan oleh The Athletic sebelum ini, Mourinho dikatakan menulis sepucuk surat kepada UEFA untuk tujuan tersebut.

“Walaupun saya berterima kasih atas jemputan yang dipanjangkan kepada saya untuk menjadi salah seorang anggota badan khas UEFA sebelum ini, saya dengan rasa kesal ingin memaklumkan berkuatkuasa serta merta akan menarik diri.

“Ini kerana saya sudah hilang kepercayaan dengan pendirian [oleh UEFA] yang sebelum ini saya yakini, dan ia adalah tanggungjawab saya untuk membuat keputusan ini.

“Saya memohon agar komunikasi mengenai keputusan saya ini disampaikan kepada Presiden, Encik Aleksander Ceferin.”

Mourinho dijangka akan menjalani pergantungan 4 perlawanan di pusingan peringkat kumpulan Liga Europa pada musim hadapan selepas didapati bersalah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai perlawanan.

Hukuman gantung itu sebenarnya adalah dua kali ganda daripada hukuman minimum yang ditetapkan ileh UEFA sebelum ini.

Sehari selepas perlawanan akhir Liga Europa, Taylor mendakwa dia dan keluarganya telah dimalukan oleh sekumpulan penyokong Roma di lapangan terbang.

UEFA turut menjatuhkan denda sebanyak €50,000 keopada Roma dan tidak membenarkan kelab itu menjual tiket untuk perlawanan di tempat lawan di pertandingan sama pada musim depan.

Hukuman dan denda itu adalah untuk kesalahan penyokong Roma yang menyalakan bahan letupan, membaling objek, merosakkan harta benda dan mencetuskan kontroversi.

BACA:  Mourinho: Saya Hormat Pencapaian Wenger Dan Tidak Mahu Beliau Bersara