Mourinho Persoal Hati Pemain Manchester United Selepas Seri Menentang Crystal Palace

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mempersoalkan di mana hati pemainnya berada selepas Red Devils mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan menentang Crystal Palace di hadapan penyokong sendiri.

Sambil menyifatkan keputusan tersebut sebagai keputusan yang buruk, Mourinho mendakwa anak buahnya tidak menunjukkan keinginan untuk menang.

Dimanakah hati pemain Manchester United berada ? Danok ?

Manchester United kini tersadai di tangga ke-7 dalam Liga Perdana Inggeris selepas mengharungi 13 perlawanan. Mereka ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Manchester City yang menang selesa 4-0 ke atas West Ham di gelanggang lawan semalam.

Mourinho mungkin sudah boleh melupakan hasratnya untuk bersaing merebut kejuaraan liga musim ini. Sasaran untuk layak bertanding dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan juga dilihat sukar untuk dicapai berdasarkan persembahan United sejak kebelakangan ini.

Ketika bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Mourinho mendakwa pemainnya bermain seperti tidak tahu betapa pentingnya perlawanan tersebut terhadap kempen liga mereka musim ini.

“Tidak cukup intensiti, tidak cukup keinginan, saya rasa mereka bermain seperti mereka masih mempunyai ‘satu lagi perlawanan’. Perlawanan tersebut sepatutnya menjadi perlawanan yang kami wajib menang.”

Jesse Lingard dibentes dari belakang kapten Crystal Palace, Luka Milivojevic

“Hati saya berkata pemain tidak menunjukkan keinginan yang cukup untuk menang. Bola sepak dimainkan dengan menggunakan otak dan hati, tetapi hari ini saya rasa kami tidak menunjukkan hati yang cukup.”

Apabila ditanya apakah penyelesaian terhadap masalah yang sedang dihadapi Manchester United musim ini, Mourinho seperti sudah hilang idea.

“Apakah jalan penyelesaian ? Anda tidak boleh menukar karakter pemain secara drastik. Jalan penyelesaian yang mungkin saya boleh lakukan adalah dengan membuat pilihan berdasarkan hati. Selepas itu, saya mungkin boleh salahkan diri sendiri kerana mempunyai pemain berhati kental sahaja tidak cukup. Mungkin saya kekurangan pemain berkualiti di sini.”

Mengenai persembahan anak buahnya dalam perlawanan tersebut, Mourinho berkata mereka bermain dalam cara yang tidak aggresif.

Walaupun bernilai 100 juta, Pogba gagal bantu pasukannya meraih kememangan ke atas pasukan di tangga ke-15 meskipun beraksi di hadapan puluhan ribu Setan Merah

“Pada separuh masa pertama, saya boleh cakap kami sepatutnya bermain lebih aggresif. Kerana kami tahu ruang yang ada di atas padang berdasarkan sistem taktikal kami. Kami juga tahu ruang mana yang Crystal Palace tidak berikan. Semua tu kami tahu.”

“Tetapi intensiti kami tidak cukup. Dan pada separuh masa kedua, kami gagal menjaringkan gol menerusi peluang keemasan yang kami perolehi.”

“Saya juga ingin memberi kredit kepada Hennessey [penjaga gol Crystal Palace]. Selepas itu kami menukar taktikal. Kualiti permainan jatuh selepas itu tetapi kami tetap cuba untuk masuk ke dalam kawasan berbahaya.”

BACA:  Rory Curtis: Kisah Tragis Penyerang Remaja Man United Yang Akhirnya Menjadi Tukang Gunting