Nama Pemenang Pemain Terbaik Eropah Telah Bocor Awal Sebelum Majlis Hari Ini

Setiap tahun anugerah Pemain Terbaik Eropah akan diberikan kepada seorang pemain yang telah berjaya tampil cemerlang membantu pasukannya pada musim sebelumnya.

Selalunya, kriteria yang dilihat adalah prestasi pemain tersebut secara keseluruhan dan juga sejauh  mana pasukan yang diwakilinya mara dalam pertandingan tempatan dan juga di peringkat benua.

Pada tahun ini, tiga pemain yang masuk dalam senarai akhir datangnya dari Liga Perdana Inggeris, dengan dua daripadanya adalah daripada pasukan yang sama.

Kevin De Bruyne muncul sebagai wakil Manchester City  selepas membantu pasukannya memenangi Liga Perdana Inggeris dan juga layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada bulan Mei. Dalam kempen EURO 2020, De Bruyne telah membantu pasukan kebangsaan Belgium mara sehingga ke peringkat suku akhir sebelum ditewaskan oleh Itali.

Buat pertama kali, dua pemain Chelsea telah masuk dalam senarai pendek tiga pemain ini.

N’Golo Kante yang seperti biasa mencuri tumpuan dengan aksi bertenaga tanpa penat di atas padang dalam membantu pasukannya membawa pulang trofi UCL ke Stamford Bridge selepas menunggu selama sembilan tahun.

Pemain Itali, Jorginho, dilihat sebagai calon kegemaran untuk memenangi anugerah ini selepas dia cemerlang bersama kelab dan juga negara di mana dia telah menjulang dua kejuaraan dalam satu musim panas – UCL dan EURO 2020.

Menjelang majlis penganugerahan yang akan dilangsungkan serentak dengan undian peringat kumpulan kesemua kejohanan yang dianjurkan UEFA pada musim ini – Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Liga Konferens – nama pemenang anugerah pemain terbaik ini dikatakan telah bocor dan diketahui ramai.

Sebuah portal Itali, Tuttomercatoweb, telah mendakwa bahawa terdapat sumber yang mengatakan bahawa UEFA telah memberitahu mereka Jorginho bakal membawa pulang anugerah ini.

Jika pemain ini benar-benar berjaya menggongol anugerah ini, maka dia akan menjadi calon utama untuk memenangi anugerah pemain terbaik dunia – Ballon d’Or dan Pemain Terbaik FIFA.

Dilahirkan di Imbituba, sebuah bandar pesisir pantai di negeri Santa Carina, Brazil pada tahun 1991, Jorginho berpindah ke Itali ketika usianya  baeru menjengah 15 tahun. Memandangkan moyangnya berasal dari Veneto – wilayah dalam Itali, Jorginho mudah mendapat kerakyatan negara Julius Caesar tersebut.

Ketika ejen pemain ini, Joao Santos, ditemuramah portal sukan Football Italia sebelum bermulanya Euro, dia menyatakan bahawa pasukan kebangsaan Brazil ada menghubungi pemain ini ketika dia bergelar pemain Hellas Verona beberapa tahun dahulu, menawarkannya bermain untuk pasukan Selecao tersebut walaupun tidak dapat memberi jaminan tempat di kesebelasan utama. Kalaulah perbincangan itu diadakan pada hari ini, Santos akui situasi kesebelasan utama tersebut pasti berbeza.

Pada tahun 2006, selepas mendarat di bumi Itali, pemain ini menyertai akademi pasukan Hellas Verona dan sejak dari awal dia telah mempamerkan kualiti yang bakal menjadikannya sebagai salah seorang pemain tengah, atau lebih tepatnya, regista terbaik dunia.

Ketika bermain untuk pasukan belia Verona, Jorginho pernah hampir berundur daripada bola sepak dan pulang ke Brazil, selepas kecewa dengan ejennya yang makan duit yang sepatutnya dimiliki oleh pemain ini. Namun niatnya tersebut dibatalkan selepas dia berborak panjang melalui panggilan telefon dengan ibunya, yang juga merupakan insan yang paling banyak memberi galakan kepada Jorginho dalam menzahirkan rasa cintanya kepada bola sepak.

Pada tahun 2010 ketika dia berusia 19 tahun, Jorginho dihantar ke kelab Serie C, Sambonifacese, untuk menimba pengalaman bermain bola sepak berdepan orang dewasa yang sebenar. Hasilnya, dia telah menjaringkan satu gol dalam 31 perlawanan, tetapi rekod 10 assist daripadanya membuatkan dia terus mendapat tempat dalam skuad senior Verona pada musim berikutnya.

Selepas kagum dengan aksi tenang dan bersahaja Jorginho, Napoli menyambar pemain ini pada tahun 2014 dengan kontrak selama empat tahun setengah. Pada mulanya dia sukar untuk mendapat tempat ketika pasukan dilatih oleh Rafel Benitez, namun selepas kemasukan Maurizio Sarri dari Empoli, Jorginho muncul sebagai pemain dan nadi utama pasukan.

Dengan sistem permainan yang dipanggil Sarri-ball, Joriginho menjadi pemudah cara dan penghubung kepada pertahanan dan penyerang. Ketika Sarri ditawarkan menjadi pengurus Chelsea, Jorginho muncul antara pemain pertama yang dibawa masuk oleh bekas pegawai bank tersebut ke Stamford Bridge.

Selain Jorginho, De Bruyne dan Kante, berikut adalah pencalonan untuk anugerah yang lain.

Pemain Terbaik Wanita UEFA :

Lieke Martens – Belanda & Barcelona
Alexia Putellas – Sepanyol & Barcelona
Jennifer Hermoso – Sepanyol & Barcelona

Jurulatih Pasukan Lelaki Terbaik UEFA :

Pep Guardiola – Manchester City
Roberto Mancini – Itali
Thomas Tuchel – Chelsea

Jurulatih Pasukan Wanita Terbaik UEFA : 

Lluis Cortes – Barcelona
Peter Gerhardsson – Sweden
Emma Hayes – Chelsea

Sumber : UEFA dan SB

BACA:  Harimau Malaya Pintas Tiga Negara Anggota Gabungan UEFA Selepas Tewaskan Republik Kyrgyz