Paolo Bangga Anaknya Daniel Maldini Menjaringkan Gol Pertama Bersama Milan

Legasi Maldini bersama AC Milan sepertinya semakin teguh selepas anak Paolo, Daniel menjaringkan gol pertama beliau dalam saingan Serie A.

Ia merupakan penampilan pertama beliau dalam kesebelasan utama AC Milan dan Daniel berjaya menjaringkan gol seterusnya membantu skuadnya untuk mencatat kemenangan menewaskan Spezia 2-1.

Pemain attacking midfielder yang kini berusia 19 tahun itu membuka tirai jaringan untuk Milan bertemu Spezia dan ia bakal menjadi detik paling beliau ingati sepanjang kariernya.

Beliau turut membuktikan kemampuannya ketika dimasukkan sebagai pemain gantian bertemu Liverpool dalam saingan Champions League sebelum ini.

Maldini kemudiannya mendapat kepercayaan untuk beraksi sebagai kesebelasan utama Milan dan turut mencatat nama sebagai penjaring gol.

Walaupun beliau hanya mempunyai ketinggian 5 kaki 9, Maldini berjaya melompat tinggi untuk menanduk masuk bola hantaran Kalulu, seterusnya menjaringkan gol pertamanya.

Walau bagaimanapun, mereka perlu menunggu gol di minit akhir menerusi bekas bintang Manchester City, Brahim Diaz untuk mengesahkan kemenangan 2-1 menewaskan Spezia.

Terkenal dengan kemampuan memenangi bola di udara ketika kariernya, Paolo Maldini tentu gembira melihat anaknya mampu menjaringkan gol yang sungguh cantik menerusi tandukan seperti itu.

Beliau yang duduk di tempat duduk penonton menyaksikan sendiri anaknya melompat dan menanduk bola tersebut, lalu meraikan gol Daniel dengan penuh kegembiraan.

Selain detik indah dari pemain berusia 19 tahun itu, ia juga merupakan kemenangan yang sangat menarik untuk Milan yang masih belum mencatatkan kekalahan dalam saingan Serie A musim ini.

Ia merupakan kemenangan kelima mereka dari enam perlawanan awal saingan Serie A, dengan Milan turut mencatatkan satu keputusan seri.

Selepas berjaya menjaringkan gol pertamanya, Maldini dijangka bakal mengharungi karier yang gemilang bersama Milan dan mungkin bakal menjadi pengganti ayahnya sebagai legenda kelab.

Bermain sebanyak 901 perlawanan untuk kelab, satu-satunya pasukan yang pernah beliau wakili, Paolo telah berjaya memenangi segalanya yang mampu dimenangi oleh AC Milan.

Tiga gelaran Champions League dan tujuh gelaran liga sudah cukup menunjukkan bagaimana menakjubnya karier beliau di San Siro.

Beliau jelas sekali sangat berharap agar anaknya akan mampu mengikuti jejak langkah beliau untuk membantu kelab memenangi pelbagai kejayaan.

Abang kepada Daniel, Christian turut pernah beraksi bersama akademi Milan namun gagal untuk pergi lebih jauh dan tidak pernah diserap masuk beraksi bersama skuad utama AC Milan.

Sumber: talkSPORT

BACA:Β  Bonucci Kembali Ke Juventus Selepas Semusim, Higuain Sah Sertai AC Milan