Para Pemain Cambridge Kena Marah Sebab Guna Keraian ‘Siuuu’

Para pemain Cambridge United teruk dihentam di media sosial selepas mereka meniru keraian Cristiano Ronaldo ketika meraikan kemenangan menewaskan Newcastle malam semalam.

Keraian ‘Siuuu’ merupakan gaya keraian milik Cristiano Ronaldo dan boleh dikatakan rata-rata pemain yang mengidolakan beliau akan gunakan keraian tersebut.

Bukan niat mahu menganjing, namun kebiasaannya mereka menggunakan keraian itu kerana menghormati idola mereka.

Pasukan dari saingan League One, Cambridge yang kini hanya empat mata sahaja dipisahkan dari zon penyingkiran berjaya mengejutkan para peminat dunia bola sepak dengan menewaskan kelab terkaya di dunia, Newcastle.

Bukan sekadar mengaibkan Newcastle di St James Park, bahkan kemenangan mereka turut menyebabkan The Magpies tersingkir dari saingan Piala FA tahun ini.

Joe Ironside menjadi wira Cambridge United selepas beliau menjaringkan gol kemenangan untuk skuadnya pada minit ke-56 dalam perlawanan tersebut.

Skuad kendalian Eddie Howe itu telah menurunkan barisan pemain terbaik mereka termasuk penandatanganan terbaru kelab, Kieran Trippier.

Walau sudah menurunkan skuad terbaik, namun Newcastle masih gagal untuk mencatatkan kemenangan dan mereka sepanjang musim ini masih gagal memperoleh walau satu kemenangan dalam semua pertandingan.

Kekalahan di tangan Cambridge jelas sekali merupakan kekalahan paling memalukan untuk skuad Newcastle pada ketika ini.

Para pemain Cambridge meraikan kemenangan mereka dengan menggunakan keraian ‘Siuuu’ namun ia sepertinya tidak disenangi oleh para peminat.

Pihak kelab memuat naik video para pemain meraikan kemenangan mereka dengan keraian Cristiano Ronaldo itu di hadapan para penyokong selepas tamat perlawanan.

Video tersebut sepertinya tidak mendapat sambutan yang baik dari para peminat dengan ramai yang menganggap ia tindakan memalukan.

“Keraian ‘Siuuu’ sepatutnya dilakukan dengan cara lebih terhormat, tengok macam mana Ronaldo lakukan di Old Trafford. Bukan sepi seperti ini.”

“Lebih baik mereka meraikan kemenangan dengan cara biasa-biasa saja, kenapa perlu guna keraian Ronaldo di St James Park.”

“Memalukan, tapi lebih memalukan untuk penyokong Newcastle melihat mereka meraikan kemenangan dengan cara seperti ini.”

“Mereka sekadar merosakkan keindahan ‘Siuuu’. Tolonglah jangan rosakkan keraian ikonik itu.”

Para penyokong di Old Trafford kebiasaannya akan turut sama menjerit ‘Siuuu’ ketika Ronaldo meraikan gol jaringannya dan ia sentiasa menghasilkan detik yang cukup indah dalam perlawanan tersebut.

Namun mereka merasakan agak merimaskan untuk melihat para pemain Cambridge United melakukan hal yang sama kerana keindahan keraian ‘Siuuu’ itu seolah-olah sudah tiada.

Para pemain Cambridge mungkin merupakan penggemar setia Cristiano Ronaldo dan memandangkan mereka juga sekadar beraksi dalam saingan League One, maka tidak hairanlah mengapa mereka begitu teruja meraikan kemenangan menewaskan Newcastle.

Bagi mereka menggunakan keraian tersebut sekadar kerana mereka sangat mengidolakan Cristiano Ronaldo dan tidak lebih dari itu.

Tidak pasti sama ada para penyokong benar-benar marah atau berpura-pura marah melihat para pemain Cambridge menggunakan keraian ‘Siuuu’ tersebut, satu hal yang pasti, Ronaldo sendiri tidak akan ada masalah tentang hal ini.

Para pemain pertahanan Cambridge United jelas sekali telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan dalam perlawanan ini dengan mereka berjaya mengawal gawang mereka dengan sangat sempurna.

Newcastle memiliki banyak kesempatan untuk menjaringkan gol namun semuanya berjaya dinafikan oleh barisan pertahanan serta penjaga gol Cambridge United.

Trippier jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaiknya dalam perlawanan ini, dan ia berkemungkinan kerana beliau baru sahaja tiba di England dan belum mendapat rehat yang cukup.

Beliau sanggup meninggalkan Atletico Madrid demi untuk beraksi bersama Newcastle kerana mahukan cabaran.

Kekalahan bertemu Cambridge United jelas sekali menunjukkan kepada Trippier cabaran apa yang sedang beliau hadapi pada ketika ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Seedorf Sifatkan Kehilangan Zidane Punca Kejatuhan Real Madrid, Bukan Ronaldo