Patricio Boleh Selamatkan Penalti Benzema Jika Ikut Nasihat Pepe

Telah tular di media sosial satu video yang menunjukkan bagaimana Pepe cuba menunjukkan kepada Rui Patricio ke mana arah bola yang bakal ditendang oleh Karim Benzema.

Patricio berdepan dengan Benzema ketika Perancis dihadiahkan sepakan penalti yang agak kontroversi ketika aksi babak pertama perlawanan awal pagi tadi.

Perancis turun berdepan dengan Portugal untuk aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan F awal pagi tadi dalam usaha mereka untuk melayakan diri ke pusingan 16 terbaik saingan Euro 2020.

Kedua-dua pasukan telah menunjukkan semangat juang yang sungguh luar biasa menakjubkan dengan masing-masing berjaya menjaringkan dua gol seterusnya mencatatkan keputusan seri 2-2.

Apa yang lebih menakjubkan lagi, keputusan seri itu berjaya membantu Portugal untuk mara ke pusingan kalah mati walau sekadar mengakhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga.

Cristiano Ronaldo berjaya meledak dua gol menerusi sepakan penalti untuk Portugal sementara sahabatnya, Benzema berjaya menjaringkan satu gol padang dan satu gol penalti untuk bantu Perancis mengikat Portugal 2-2.

Karim Benzema berjaya menyempurnakan sepakan penalti di penghujung aksi babak pertama permainan, walaupun bekas rakan sepasukannya, Pepe sudah memberitahu Patricio arah yang sepatutnya beliau awasi.

Ketika Benzema sedang bersedia untuk mengambil sepakan penalti, Pepe dari belakang sudah memberi isyarat kepada Patricio supaya melayangkan badan ke sebelah kiri (kanan penjaga gol).

Walau bagaimanapun, dek kerana penjaga gol Wolves itu degil dan keras kepala, beliau memilih untuk melayangkan badan ke arah bertentangan.

Hasilnya, Benzema betul-betul mengarahkan rembatan beliau ke sudut sebelah kiri seperti yang dimaksudkan oleh Pepe, sementara Patricio tersembam tanpa arah tuju ke sebelah kanan.

Sebaik Benzema berjaya menjaringkan gol dan meraikan jaringan tersebut, bintang berusia 38 tahun itu terus memarahi Patricio kerana tidak mahu mendengar katanya.

Segelintir peminat merasakan Patricio mungkin tidak akan berjaya menyelamatkan sepakan penalti itu walau beliau melayangkan badan ke arah yang betul.

Walau bagaimanapun, jika Patricio mendengar kata dan nasihat Pepe, peratusan untuk beliau menyelamatkan sepakan penalti itu lebih tinggi.

Ramai peminat yang membantai Rui Patricio kerana degil tidak mahu mengengar nasihat dari The Animal, Pepe.

“Dia sepatutnya tahu Pepe banyak pengalaman, apa lagi Benzema bekas rakan sepasukan dia. Kenapa tak ikut je tips dari Pepe.”

“Pepe sepatutnya jerit dekat telinga Patricio supaya lebih mendengar kata dan jangan biadap.”

“Portugal mungkin boleh menang perlawanan ini dan lebih bersemangat untuk beraksi pada babak kedua jika Patricio berjaya selamatkan penalti tersebut.”

Gol jaringan Karim Benzema itu berjaya memadam gol pendahuluan Portugal yang dijaringkan oleh Cristiano Ronaldo, sebelum meledak gol kedua pada minit ke-47 permainan.

Ketua pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 permainan, juga menerus sudut sepakan penalti untuk mengikat Perancis 2-2.

Walau bagaimanapun, penalti yang dihadiahkan kepada Perancis itu telah menimbulkan kontroversi dengan ramai yang beranggapan Mbappe sengaja berlakon berlebih-lebihan.

Perancis dihadiahkan sepakan penalti di penghujung aksi babak pertama permainan, selepas Kylian Mbappe dijatuhkan oleh Nelson Semedo di dalam kotak penalti.

Sebaik melihat Mbappe cium rumput, pengadil perlawanan dengan segera meniupkan wiselnya sambil memberi isyarat penalti.

Selepas menerima bantahan dari para pemain Portugal, pengadil perlawanan kemudiannya merujuk VAR, seterusnya mengesahkan penalti tersebut untuk Perancis.

Walau bagaimanapun, keputusan pengadil perlawanan menghadiahkan Perancis sepakan penalti itu tidak diterima dengan baik oleh pelbagai pihak.

Jermaine Jenas yang bertugas sebagai pengulas di BBC Sport antara yang paling lantang dalam membantah dan mengkritik keputusan kontroversi itu.

“Itu bukan penalti.”

Jelas Jermaine Jenas.

“Sebagai pemain full-back, itu memang kerja kamu.”

“Kamu mengesan orang yang berlari masuk dan kamu dibenarkan untuk menghalang dia.”

“Kamu boleh nampak mengapa Portugal tidak gembira. Itu tak cukup untuk berikan mereka penalti bagi saya.”

“Saya tak pasti apa yang Semedo seharusnya buat di situ tadi.”

Penyampai BBC, Rio Ferdinand turut menentang keputusan tersebut dengan menyatakan:

“Ini merupakan keputusan yang sangat teruk. Itu merupakan teknik bertahan yang cukup baik dari Semedo. Dia hanya mengarahkan badannya di antara dia dan Mbappe.”

“Sebagai seorang pertahanan, kedudukan itu membantu kamu untuk menghalang orang dari membuat larian masuk.”

“Bahkan saya rasa sentuhan itu langsung tak cukup kuat untuk dia jatuh sampai macam itu.”

Kedua-dua pasukan berjaya mara ke pusingan 16 terbaik dengan Portugal selepas ini akan berdepan dengan Belgium, sementara Perancis pula akan berdepan dengan Switzerland.

BACA:  Pepe Terinzal Sebentar Selepas Dilayangkan Kad Kuning