Paul Scholes Hentam Pembelian Sancho dan Varane

Legenda Manchester United Paul Scholes telah menghentam dan mengecam keputusan bekas kelabnya membawa masuk Jadon Sancho dan Raphael Varane ke Old Trafford pada musim panas lalu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Scholes lantang bersuara tentang kebimbangannya terhadap cara bekas kelabnya dikendalikan. Dan dia kini sekali lagi melakukan serangan mengenai cara Setan Merah mendapatkan pemain.

Dalam penampilannya di rancangan The Overlap kendalian Gary Neville, Scholes berkata:

“Jadon Sancho adalah pemain muda yang menyebabkan Manchester United membelanjakan banyak wang yang tidak terbukti hebat dalam liga. Dan kenapa kelab seperti Real Madrid melepaskan Varane?”

“Jika anda melihatnya musim lalu, dia kelihatan tidak betul. Saya tidak fikir ia adalah jendela perpindahan yang hebat. Tiada sesiapa di kelab yang bertanggungjawab untuknya.”

Jadon Sancho hadir dengan reputasi yang besar dari Borussia Dortmund namun gagal mengulangi apa yang dilakukannya di bumi Jerman dengan persembahan yang hambar musim lalu.

Lantaran itu Jadon Sancho telah menjadi bahan troll dan jenaka oleh sebuah stesen Televisyen (TV) di Jerman lantaran prestasinya yang biasa-biasa sejak menyertai Manchester United.

Sancho, diletakkan mas kahwin sebanyak £72.9 juta selepas peminat setan merah berkali-kali disajikan dengan kisah tempoh 48 jam, 48 jam, 48 jam.

Kedua-dua Sancho dan Varane mempunyai permulaan yang sukar dalam karier di Old Trafford selepas pasukan itu mengharungi musim suram 21/22 yang menyaksikan mereka menamatkan dengan kutipan mata paling rendah dalam sejarah Setan Merah di Premier League.

Rapahel Varane pula gagal memberikan yang terbaik pada musim pertamanya selepas dibelenggu kecederaan yang tidak berkesudahan di sepanjang musim.

Paul Scholes mengakui sukar untuk menyaksikan kemerosotan Manchester United di bawah bimbingan bekas rakan sepasukannya, Ole Gunnar Solskjaer dengan nada agak lembut dia berkata:

“Dia telah mencuba.”

“Tetapi ia kelihatan dari luar seolah-olah pemain benar-benar mengambil kesempatan, melakukan apa yang mereka mahu, mereka pergi ke padang bola sepak dan berada dalam dunia mereka sendiri.”

“Melakukan apa yang mereka mahu lakukan daripada apa yang patut mereka lakukan dan apa yang diharapkan daripada mereka atau apa yang pengurus mahu mereka lakukan. Dan persembahan baru sahaja berlalu.”

Peminat United akan mengharapkan persembahan yang lebih baik musim ini selepas sekali lagi berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas di bawah bos baharu Erik ten Hag.

Kelab Old Trafford itu telah membelanjakan lebih daripada £200 juta untuk pemain seperti Antony, Christian Eriksen, Lisandro Martinez dan Casemiro.

Bagaimanapun, Scholes tidak yakin dengan kedatangan bekas pemain tengah Real Madrid itu kerana mendatangkan satu keraguan yang munasabah.

Dia berkata:

“Saya tertanya-tanya sama ada ia adalah pemain yang dimahukan pengurus? Dengan Wang yang banyak, kontrak yang panjang? Saya fikir mereka perlu meletakkan seseorang yang bertanggungjawab untuk pengambilan. Akhirnya, pengurus akan dipersalahkan.”

Di bawah kendalian Ten Hag, United memulakan musim dengan cara yang paling teruk selepas dua kekalahan memalukan menentang Brighton dan Brentford, namun mereka kembali insaf dan bermuhasabah diri dan telah mencatatkan empat kemenangan berturut-turut.

Antara punca keinsafan Manchester United untuk kembali ke jalan yang benar iaitu jalan kemenangan adalah disebabkan oleh gandingan mantap Raphael Varane dan Lisandro Martinez.

Agak terlalu awal untuk memuja gandingan dua pertahanan ini kerana musim masih panjang dan berdasarkan prestasi semasa mereka sememangnya patut dipuji.

Perlawanan seterusnya untuk United ialah derby Manchester menentang City pada petang Ahad yang bakal menjadi medan sebenar kekentalan Setan Merah musim ini.

BACA:  Gareth Southgate Dedah Alasan Mengapa Beliau Ketepikan Jadon Sancho