Pemain Jepun Sempat Lawan ‘Gunting-Batu-Kertas’ Sebelum Sempurnakan Freekick Tewaskan Iran

Apabila ada mencabar rakan sepasukan bermain ‘gunting-batu-kertas’ untuk menentukan siapa lebih berhak mengambil sepakan percuma, sudah tentu ia amat ideal untuk menyempurnakan sepakan tersebut.

Itulah yang berlaku kepada pemain Jepun, Ryunosuke Sato apabila beliau menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-74 perlawanan untuk membantu Jepun menewaskan Iran 3-0 do separuh akhir Piala AFC B-17 di Stadium Thammasat semalam.

Sebelum itu pemain tengah menyerang itu terlepas beberapa peluang keemasan untuk menghasilkan jaringan.

Melihat peluang untuk turut berada di dalam senarai penjaring melalui sepakan percuma tersebut, Sato kemudiannya mencabar Gaku Nawata – rakan sepasukan yang diberi tanggungjawab untuk sepakan percuma – bermain ‘gunting-batu-kertas’ yang biasa kita semua main zaman kanak-kanak.

“Kami memutuskan untuk berbuat demikian untuk menentukan siapa yang akan mengambil sepakan,” kata Sato yang kemudiannya melakukan sepakan rendah ke penjuru kiri gawang.

“Saya mempunyau banyak peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini, semoga saya menjaringkan lebih banyak gol pada masa hadapan.

“Kami melakukan persediaan rapi untuk perlawanan ini, sama seperti ketika berhadapan Australia di suku akhir, dan semua itu memberikan hasil seperti hari ini.”

Jaringan menentang Iran itu adalah gol kedua Sato di kejohanan ini, selain dua assist yang dihasilkannya.

Sato dianggap sebagai antara bakat baru dari Jepun dan memiliki potensi besar untuk pergi jauh. Berketinggian 1.68 meter, Sato mempunyai sentuhan dan kawalan baik ketika memiliki bola sekali gus membenarkannya melepasi kawalan ketat pemain lawan.

Merupakan pemain skuad B-18 FC Tokyo dan akan mencecah usia 17 tahun pada Oktober hadapan, Sato sudah pun melakukan debut kompetitif bersama skuad senior pasukannya apabila diturunkan beraksi menentang Cerezo Osaka di pertandingan Piala J-League pada Mac lalu.

“Saya suka menggelecek melepasi ramai pemain, dan kemudian sama ada merembat atau mengumpan bola kepada rakan sepasukan,” kata Sato.

Selepas kejayaan di separuh akhir, Sato kini mengimpikan untuk membantu negaranya menjuarai Piala AFC B-17 pada Ahad depan.

“Berjaya layak ke perlawanan akhir adalah pencapaian yang bagus untuk pasukan dan juga untuk diri saya secara peribadi. Selepas ini saya mahu melakukan persiapan lebih rapi untuk itu.

“Saya tidak rasa tertekan kerana akan beraksi di final. Saya cuma mahu menikmati perlawanan tersebut dengan hati yang besar. Saya akan bermain sehabis baik untuk perlawanan seterusnya.”

BACA:  Piala Dunia 2022: Jepun 1-1 Croatia (Penalti 1-3)