Peminat Kecam Muat Naik Barca Kerana Dianggap Terlalu Hambar

Barcelona dihentam teruk oleh para peminat kerana memuat naik status yang dianggap dungu dan tak bermanfaat.

Barca memuat naik video yang memperlihatkan Memphis Depay melakukan skill untuk memperdaya pemain lawan, sebelum menghantar bola kepada Jordi Alba.

Rakaman tersebut merupakan antara aksi yang dipamerkan oleh Depay ketika beraksi dalam perlawanan bertemu Dynamo Kiev kemarin.

Barcelona akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan pertama mereka dalam saingan Champions League musim ini dengan menewaskan Dynamo Kiev 1-0.

Mereka sebelum ini berdepan dengan dua kekalahan secara berturut-turut bertemu Bayern Munich dan Benfica, dengan keputusan 3-0.

Depay diturunkan untuk bermain di sebelah kiri dan beliau dalam perlawanan itu cuba melakukan skill untuk menghibur para peminat.

Beliau mengacah-acah pemain lawan untuk bergerak masuk ke dalam kotak penalti, sebelum menghantar bola kepada Alba dengan menggunakan kaki kirinya, sementara kaki kanan dihayunkan untuk mengelirukan pemain lawan.

Pasukan media Barca merasakan Depay telah melakukan skill yang sungguh menakjubkan dan memperdaya pemain lawan.

Mereka kemudiannya memuat naik video tersebut dengan menulis “Lihat kanan”, namun ia tidak diterima baik oleh para peminat.

Ramai yang merasakan bahawa skill itu hanya sia-sia kerana pemain lawan langsung tidak terkeliru mahupun tertipu dengan skill tersebut.

Dek kerana itu jugalah para peminat merasakan muat naik itu sebenarnya tak perlu dan sekadar membuang masa sahaja.

Para penyokong seolah-olah langsung tak bagi muka pada admin media sosial Barcelona dengan mereka tak henti-henti menghentam muat naik tersebut.

Video yang dimuat naik oleh Barcelona itu telah menerima 450 retweet (ketika artikel ini ditulis) dengan turun menerima pelbagai komen negatif.

Umpama jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib Barcelona pada ketika ini, dengan mereka serba serbi tidak menjadi dan bermasalah.

Selepas pemergian pemain terhebat sepanjang zaman kelab, Lionel Messi pada musim panas baru-baru ini, Barcelona sepertinya terus menerus dilanda musibah.

Mereka memulakan saingan La Liga musim ini dengan sangat teruk, dengan skuad kendalian Ronald Koeman itu hanya mampu mengutip 15 mata sahaja dari 8 perlawanan awal.

Mereka juga pada ketika ini lima mata di belakang pendahulu saingan La Liga, Real Sociedad dengan gergasi Catalan itu hanya menduduki kedudukan ke-7 sahaja pada ketika ini.

Selain persembahan buruk di atas padang, Barcelona juga turut berdepan masalah kewangan yang sangat teruk, dengan mereka pada ketika ini menanggung beban hutang bernilai lebih $1 billion.

Mereka juga menjadi antara kelab paling dibenci oleh para peminat pada ketika ini, kerana bersekongkol dengan Real Madrid dalam usaha mereka untuk menubuhkan saingan European Super League.

Barcelona akan kembali beraksi dalam saingan La Liga pada hujung minggu ini, dengan mereka akan turun bertemu Real Madrid di Nou Camp.

Ia merupakan El Clasico pertama pada musim ini, dan para peminat tentunya sangat berharap agar kedua-dua pasukan bakal mempamerkan aksi persembahan yang sangat menghiburkan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Champions League 2019/20: Barcelona 3-1 Napoli (Agg.4-2)