Peminat Teruja Melihat Penjaga Gol Milan Naik Tram Pulang Ke Rumah Lepas Tamat Perlawanan

Penjaga gol muda AC Milan, Lapo Nava yang kini baru berusia 17 tahun telah disenaraikan buat pertama kalinya dalam senarai skuad utama ketika bertemu Roma.

Ia merupakan kenangan dan detik terindah untuk bintang muda itu untuk melihat namanya ada dalam senarai skuad AC Milan ketika beraksi bertemu Roma dalam saingan Serie A.

Apa yang paling mencuri tumpuan peminat adalah ketika melihat beliau pulang ke rumah menaikki pengangkutan awam selepas tamat perlawanan yang dilangsungkan di San Siro itu.

The Rossoneri berjaya menewaskan AS Roma 3-1 dengan penjaga gol utama Mike Maignan diturunkan dalam kesebelasan utama mereka dalam perlawanan tersebut.

Walau bagaimanapun, penjaga gol kedua mereka, Ciprian Tatarusanu tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini kerana beliau terpaksa menjalani sesi kuarantin wajib selepas disahkan positif C0V-19.

Lebih teruk lagi, penjaga gol ketiga Milan, Alessandro Plizzari turut tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini, selepas beliau terpaksa diketepikan kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Maka dengan itu, penjaga gol keempat Milan, Antonio Mirante telah diumumkan sebagai penjaga gol kedua dalam perlawanan ini.

Stefano Pioli juga turut memanggil penjaga gol dari skuad bawah 18 tahun Milan, Nava untuk disenaraikan dalam senarai skuad utama, dan berada di bangku simpanan bersama Mirante.

Nava tidak dapat beraksi dalam perlawanan ini dengan beliau sepanjang perlawanan sekadar duduk sahaja di bangku simpanan.

Walau bagaimanapun, beliau tetap menganggap yang hal itu merupakan satu pengalaman indah untuknya dan ia juga bakal menjadi hari yang sukar untuk beliau lupakan.

Apa yang lebih menarik lagi, para peminat mendapati yang Nava selepas tamat perlawanan, telah memilih untuk menggunakan pengangkutan awam sahaja untuk pulang ke rumah.

Tidak ubah seperti para penyokong yang lain, selepas tamat perlawanan beliau bersama ramai pagi penyokong pulang ke kediaman masing-masing dengan menaikki tram.

Wartawan Itali, Nicola Schira telah memuat naik gambar Nava sedang berdiri di dalam tram, sambil bermain telefon bimbit, dengan beliau dilihat memakai pakaian latihan Milan dan sama sekali tak nampak seperti seorang pemain bola sepak.

Para peminat di media sosial begitu teruja melihat sikap merendah diri pemain muda itu, dan berharap agar beliau bakal menjadi bintang besar dalam dunia bola sepak.

“Pengalaman yang sangat bernilai untuk dia, walau tak main tapi dia dapat duduk di bangku simpanan dan berdiri sebaris dengan barisan pemain-pemain terhebat dunia.”

“Lihat raut wajah dia saya yakin dia masih sedang menikmati kebahagiaan dapat berada dalam skuad utama. Ini hari dia, sudah tentu dia akan menikmati hari ini.”

“Saya macam lihat penyokong Milan yang baru balik dari menonton perlawanan. Dia ada jiwa yang besar dan saya yakin dia ada masa depan yang cerah.”

“Saya rasa dia masih belum tandatangani kontrak professional kan? Ini bakal jadi pengalaman yang sangat berguna untuk dia.”

Seandainya beliau benar-benar menandatangani kontrak profesional dan melakukan debut bersama kelab, beliau bakal menjadi generasi kedua dalam keluarganya yang beraksi bersama Milan.

Ayah Nava, Stefano pernah membuat 70 penampilan bersama Milan dan turut dianggap sebagai salah seorang legenda kelab.

Walau belum menandatangani kontrak profesional, Nava sudah membuat sembilan penampilan dari semua pertandingan bersama skuad remaja Milan.

Di usia 17 tahun, perjalanan Nava jelas masih terlalu jauh dan beliau diharapkan bakal konsisten dan akan diberi kesempatan untuk beraksi bersama skuad utama satu hari nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Europa League 2020/21: AC Milan 0-1 Manchester United (Agg. 3-2)