Pendapat Jujur Martinez Mengenai Insiden Onana vs Maguire

Pemain pertahanan tengah Manchester United, Lisandro Martinez secara terbuka telah memberi satu pandangan serta pendaat yang jujur lagi ikhlas mengenai insiden yang membabitkan Andre Onana dan Harry Maguire.

Andre Onana memberikan amaran kepada Harry Maguire agar sentiasa memberikan fokus sepenuhnya ketika perlawanan setelah kesilapan bekas kapten pasukan United itu hampir dihukum lawan ketika United tewas 2-3 kepada Dortmund dalam perlawanan persahabatan pra-musim.

Penyerang antarabangsa Cameroon itu dilihat berteriak ke arah rakan sepasukannya itu pada minit ke-47 perlawanan setelah hantaran ‘maut’ Maguire kepada Christian Eriksen menyebabkan United hilang bola di tempat sendiri.

Mujurlah Onana tangkas menyelamatkan keadaan apabila serangan balas pantas Dormund yang disudahkan oleh percubaan Sebastian Haller berjaya ditampan penjaga gol itu, sebelum sepakan susulan Karim Adeyemi sekadar tersasar.

Sebaik sahaja bola berada di luar kawasan, Onana kelihatan berang dengan apa yang dilihatnya, dan berlari ke arah Maguire sambil memaki hamun pemain pertahanan termahal dunia itu.

Lisandro Martinez kini telah tampil memberi pandangannya akan pertembungan antara Andre Onana dan Harry Maguire itu dan menyatakan bahawa dia menyukai semangat yang ditunjukkan oleh penjaga gol Cameroon itu.

“Ia lebih baik untuk [itu],” kata pertahanan Argentina itu.”

“Jika anda fokus, anda boleh bertarung dengan rakan sepasukan anda juga.”

“Anda perlu memastikan semua orang benar-benar tajam, tetapi tiada apa yang berlaku. Ia sebahagian daripada bola sepak.”

“Dia mempunyai personaliti yang besar, dia boleh bermain bola sepak, dia boleh menangani tekanan, dia benar-benar positif, dia seorang pemimpin. Itulah gaya Manchester United.”

Martinez juga telah ditanya tentang Maguire dilucutkan jawatan kapten oleh Erik ten Hag. Bruno Fernandes telah dilantik sebagai kapten baharu, dengan pemain berusia 25 tahun itu menyokong dan menghormati keputusan pengurus tidak berambut itu.

“Ia adalah keputusan jurulatih dan kami perlu menghormatinya. Dia bos,” tambahnya.

“Jika dia mengambil keputusan, sebagai pemain kita perlu teruskan. Bruno Fernandes adalah seorang pemimpin yang baik dan juga seorang yang baik. Dia benar-benar positif dalam bilik persalinan dan saya rasa dia layak.”

Andre Onana selepas insiden itu menyatakan situasi itu merupakan satu lumrah dalam bola sepak dan tidak akan meninggalkan dendam di antara mereka.

“Saya cuma mengharapkan lebih banyak daripada dia kerana saya tahu dia adalah pemain yang bagus,” kata Onana kepada MUTV.

“Dia adalah salah seorang pemimpin di dalam pasukan. Dia berbadan besar, sangat mahir dengan kawalan bola, dan sudah tentu saya mengharapkan lebih daripada dia.

“Dia adalah individu yang hebat, dan saya mempunyai hubungan yang baik dengannya.”

“Dia harus sentiasa bersedia kerana apabila bola bersama saya, saya mengharapkan lebih banyak [bantuan] daripada yang lain. Ia harus bermula dengan saya kerana kami berhadapan perkara ini secara bersama.

“Kesilapan itu pasti ada tetapi kami tidak seharusnya takut untuk melakukan kesilapan kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan. Kami belajar daripada kesilapan yang dilakukan.

“Setiap pemain harus sangat ktitikal terhadap diri mereka sendiri. Jika kami mahu memenangi trofi, maka kami harus mengharapkan lebih daripada diri sendiri terlebih dahulu.

“Ia adalah satu penghormatan untuk berada di sini dan saya gembira bekerja dengan rakan sepasukan di sini. Harry [Maguire] adalah pemain yang hebat, dan sekarang semua pihak akan move on.”

Masa depan Maguire terus diselubungi ketidakpastian dan misteri, dengan West Ham United difikirkan akan memantau pemain itu. Isu gaji dan harga Maguire yang tinggi pasti membuatkan kelab lain berfikir panjang ditambah pula dengan aksi kelakar yang tidak ada had.

BACA:  Andriy Yarmolenko Halang Rakan Sepasukannya Bantu Maguire Untuk Bangun