Penyerang Wrexham Terpaksa Berehat Di Hospital, Bocor Paru-Paru Dikasari Penjaga Gol Setan Merah

Penyerang sensasi Wrexham Paul Mullin kini terpaksa berada di hospital untuk proses rawatan dan pemulihan selepas mengalami bocor paru-paru selepas dikasari oleh penjaga gol Manchester United.

Mullin rebah di atas padang hanya selepas 12 minit perlawanan berlangsung apabila Wrexham menewaskan skuad muda United dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan persahabatan di San Diego, California akibat rempuhan lewat Nathan Bishop.

Pengurus Wrexham tidak berselindung membidas tindakan Bishop yang dianggap tidak sepatutnya dilakukan dalam perlawanan persahabatan. Penjaga gol berusia 23 tahun itu bagaimanapun hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil.

Pengadil perlawanan Mark Allatin segera menghentikan perlawanan apabila menyedari betapa seriusnya kecederaan yang dialamu Mullin sebelum memanggil pasukan medik untuk membantu.

Bishop turut dicemuh oleh penyokong Wrexham dan mereka yang hadir menyaksikan perlawanan sepanjang babak pertama sebelum penjaga gol itu digantikan oleh Radek Vitek sebelum babak kedua perlawanan bermula.

Man Utd menegaskan pertukaran tersebut sememangnya sudah dirancang walaupun ia dilihat sebagai usaha untuk melindungi Bishop.

Menyedari tindakannya itu, Bishop kemudiannya menuju ke bilik persalinan Wrexham untuk menemui Mullin, tetapi Parkinson jelas tidak senang dengan perbuatan penjaga gol simpanan United itu.

“Saya amat marah, saya perlu jujur dengan anda,” kata Parkinson.

“Ia adalah rempuhan yang kasar dan begitu teruk untuk perlawanan persahabatan dan saya tidak gembira melihatnya.

“Kami baru mendapat perkhabaran daripada pihak hospital terdapat kebocoran kecil di paru-paru [Mullin]. Kami terpaksa menunggu sehingga pagi keesokannya untuk mengetahui keadaan keseluruhan kecederaan.

“Kekasaran sedemikian sepatutnya terus dilayangkan kad merah. Jika ia bukan usaha untuk menafikan jaringan, ia tetap kekasaran yang begitu bahaya.

“Jadi jika kedua-dua senario ini dinilai, dia [Bishop] sepatutnya menerima arahan keluar padang. Ia adalah kekasaran yang begitu bahaya dan jelas Paul Mullin adalah pemain penting kami.”:

Kem United pula dilaporkan tidak gembira dengan kenyataan Parkinson yang dianggap sengaja membesar-besarkan situasi tersebut, dan mencetuskan cemuhan di media sosial terhadap pemain mereka.

Bishop bagaimanapun memohon maaf kepada Mullin melalui media sosial.

BACA:  Harry Kane Masih Berharap Dipinang Man Utd