Penyokong Atletico Madrid Lancarkan Kempen Tolak Cristiano Ronaldo

Penyokong Atletico Madrid telah melancarkan kempen khas untuk menghalang pihak kelab dari meneruskan usaha mereka untuk menandatangani Cristiano Ronaldo dari Manchester United.

Para penyokong Atletico sekeras-kerasnya menentang keputusan pihak kelab yang berminat mahu mendapatkan khidmat bintang Portugal itu.

Cristiano Ronaldo yang kini berusia 37 tahun itu sedang dalam usaha beliau mahu mencari jalan keluar dari Old Trafford dengan beliau secara terbuka mendedahkan hasratnya mahu meninggalkan kelab.

Ronaldo telah memberitahu pihak kelab yang beliau mahu meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini seandainya ada kelab lain yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Bintang terhebat dunia yang kini berusia 37 tahun itu mahu beraksi di pentas saingan Champions League dan itu adalah alasan utama mengapa beliau mahu meninggalkan kelab.

Walau baru setahun bersama kelab, Ronaldo sudah mendedahkan yang beliau tidak gembira melihat cara pengurusan United menguruskan kelab.

Beliau bahkan turut tidak menyertai skuad United ketika aksi jelajah mereka pada pra musim ini di Thailand dan Australia.

Beliau masih belum membuat sebarang kemunculan bersama skuad Manchester United di bawah kendalian pengurus baharu, Erik Ten Hag.

Chelsea, Napoli dan Paris Saint Germain kesemuanya telah dikaitkan dengan bintang Portugal itu pada musim panas ini dengan Atletico Madrid turut dikatakan berpotensi untuk menjadi destinasi seterusnya dalam karier Ronaldo.

Mendengar berita yang Ronaldo dikaitkan dengan Atletico Madrid, para penyokong mereka segera meluahkan rasa kecewa mereka terhadap hal tersebut.

Para penyokong tersebut bahkan turut melancarkan kempen untuk menghalang pihak kelab dari menandatangani Cristiano Ronaldo pada jendela perpindahan musim panas ini.

Mereka tidak mahu pemain yang pernah beraksi bersama seteru mereka dari tahun 2009 hingga 2018 itu untuk datang ke Wanda Metropolitano dan menyarung jersi kelab.

Para penyokong bersatu untuk melancarkan kempen #ContraCR7 (TentangCR7) di laman twitter untuk menghalang pihak kelab dari menandatangani Cristiano Ronaldo.

“Seandainya dia datang ke Atletico, saya akan batalkan segala langganan saya… Kita tak terima pemain seperti itu.”

“Ini bukan hanya kerana penyokong Atletico, tapi penyokong setiap kelab memang patut tolak Ronaldo.”

“Badut yang menampilkan segalanya tak layak bersama Atletico. Dia akan rosakkan bilik persalinan, penyokong dan semua yang berkait dengan dia.”

“Dia toksik yang sebenarnya, di hujung kariernya seperti sekarang saya rasa dia hanya akan datang dan merosakkan sesebuah tempat itu dan kemudiannya pergi.”

Ronaldo pada ketika ini masih mempunyai baki kontrak selama satu tahun bersama Manchester United, dan pengurus baharu kelab, Ten Hag menegaskan yang bintang Portugal itu masih ada dalam perancangan beliau.

“Kami mahu bermain di pentas saingan Champions League. Pemain bintang boleh menyumbang dan Ronaldo sememangnya pemain terpenting kami.”

Jelas Erik Ten Hag.

Walau bagaimanapun, pengurus dari Belanda itu mengakui yang beliau tidak pasti sama ada Ronaldo akan kembali atau tidak untuk menyertai aksi perlawanan persahabatan mereka minggu hadapan.

Kebetulan, Manchester United selepas ini akan turun beraksi bertemu Atletico Madrid di Oslo, Norway pada hujung minggu ini.

“Saya tak boleh beritahu kamu. Masih belum.”

Tidak pasti ke mana arah perjalanan karier Ronaldo selepas ini, namun satu hal yang pasti, masih belum ada kelab yang berani mahu mendapatkan khidmatnya.

Faktor gaji beliau yang terlalu tinggi mungkin menjadi punca utama mengapa tiada kelab yang berani untuk mendapatkan khidmatnya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Marcus Rashford Dinasihatkan Supaya Tidak Meniru Cristiano Ronaldo