Penyokong Man United Diminta Lebih ‘Relax’ Dan Jangan Terlalu Teruja Dengan Ralf Rangnick

Para penyokong Manchester United diminta untuk lebih bertenang dan tidak terlalu teruja dengan Ralf Rangnick selepas melihat impak pengurus dari Jerman itu di Old Trafford pada ketika ini.

Walau Tim Sherwood sangat yakin dengan Ralf Rangnick dan merasakan pengurus dari Jerman itu merupakan individu paling tepat untuk kelab, namun beliau juga mendesak para penyokong supaya lebih bertenang.

Sherwood melakukan komen tersebut ketika bercakap di Sky Sports Gillette Soccer Saturday, dengan bekas pengurus Tottenham Hotspur dan Aston Villa itu percaya masih banyak hal yang perlu Rangnick buktikan.

Walaupun bekas pengurus RB Leipzig itu pada ketika ini sedang bermandikan pujian, namun Sherwood percaya masih banyak hal lagi yang perlu Rangnick buktikan sebagai pengurus interim Man Utd.

“Dia akan jadi Messiah, tapi saya rasa penyokong Manchester United perlu bertenang sedikit. Jika mereka bermain dengan cara yang dia mahukan ketika bertemu pasukan besar, maka kamu perlu beri dia pujian.”

“Dia berhak untuk berada di mana dia berada sekarang, tapi saya rasa dia beruntung kerana menjadi pengurus Manchester United, saya betul yakin tentang itu.”

“Tidak ada orang lain mahukan dia, tidak ada persaingan untuk mendapatkan dia. Dia memang tersedia dan saya rasa dia individu terbaik untuk United. Ya, dia nampak sangat bagus ketika bercakap kepada media, dia boleh pusing semua benda.”

“Saya masih belum kagum, tidak, dan saya rasa tak salah untuk berwaspada. Saya sudah nampak sebelum ini dengan pengurus yang betul-betul pandai bercakap, tapi percakapan itu perlu buktikan sesuatu di atas padang juga, dan perlu ada perubahan dalam skuad Manchester United.”

Walau Tim Sherwood merasakan Ralf Rangnick sebenarnya perlu buktikan sesuatu sebagai pengurus United dan mengharapkan ada perubahan.

Namun Ralf Rangnick sebenarnya sudah membawa Manchester United untuk memulakan permulaan era baru mereka dengan sangat baik dan menakjubkan.

Pengurus dari Jerman itu memulakan tugas beliau sebagai pengurus Interim kelab pada minggu lalu, yang mana beliau ketika itu cemerlang membantu United menewaskan Palace 1-0.

Beliau kemudiannya melakukan uji kaji yang sungguh menakjubkan dalam kesebelasan utama United, ketika beraksi bertemu Young Boys dalam saingan Champions League minggu ini.

Barisan pemain muda Red Devils sama sekali tidak mengecewakan dengan mereka berjaya mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Young Boys.

Pemain-pemain utama dan bintang United kembali diturunkan dalam kesebelasan utama ketika skuad Red Devils berkunjung ke Carrow Road untuk bertemu Norwich City malam semalam.

Ralf Rangnick jelas sekali melalui malam yang agak sukar dan tidak seperti yang beliau gambarkan selepas skuadnya hanya mampu mencatatkan kemenangan sangat tipis bertemu pasukan dasar liga itu.

United hanya mampu mencatatkan kemenangan hasil jaringan dari sudut sepakan penalti yang disempurnakan oleh Cristiano Ronaldo.

Manchester United berjaya naik ke kedudukan ke-5 dalam carta saingan Premier League, dan masih terlalu awal rasanya untuk menilai impak yang ditinggalkan oleh Rangnick dalam skuad utama pada ketika ini.

Bekas pengurus RB Leipzig itu memiliki philosophy dan gaya permainan tersendiri dan ia jelas sekali memerlukan masa untuk hal itu sebati dengan skuad United.

Walau bagaimanapun, Rangnick sudah berjaya melakukan beberapa perubahan besar dalam skuad sejak dari awal beliau mula bertugas di Old Trafford.

Apa yang dimaksudkan oleh Tim Sherwood yang Ralf Rangnick pandai bercakap

Ralf Rangnick merupakan pengurus yang terlalu jujur dan berterus terang, jauh berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh Solskjaer sebelum ini.

Solskjaer tidak keterlaluan untuk dianggap sebagai pengurus yang terlalu bagi muka kepada para pemainnya dan hal itu sebenarnya telah memakan dirinya sendiri.

Beliau terlalu manjakan anak-anak buahnya dan rasa hormat pemain kepadanya juga sedikit terganggu.

Seorang pengurus sepatutnya lebih dihormati dan digeruni agar mudah untuk beliau memutuskan sesuatu dan akan diikuti saja oleh anak-anak buahnya.

Rangnick jelas memiliki philosophy sebagai seorang pengurus yang digeruni oleh pemain selepas menunjukkan sikap tegas serta berterus terang ketika bercakap kepada media.

Ejen Pogba, Mino Raiola baru-baru ini menggunakan helah yang sama dengan menghentam Manchester United secara terbuka kerana masalah kontrak anak buahnya yang masih belum selesai.

Tambahan lagi, ejen kepada Anthony Martial, Philippe Lamboley turut mendedahkan pada minggu lalu yang pemain Perancis itu mahu meninggalkan kelab.

Jawapan Rangnick tentang kedua-dua situasi itu adalah:

“Para pemain perlu ada keinginan untuk bermain dan kekal bersama kelab yang besar seperti Manchester United.”

“Jika pemain tidak mahu bermain untuk kelab seperti Manchester United dalam jangka masa pendek atau panjang, saya tak rasa ia masuk akal untuk saya meyakinkan mereka agar ubah fikiran mereka.”

“Saya tak rasa sesiapa dalam kelab patut cuba dan yakinkan pemain untuk kekal.”

Para penyokong Manchester United begitu kagum dan teruja mendengar jawapan dari Ralf Rangnick dek kerana mereka juga sudah letih untuk menghadap masalah Pogba setiap musim.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Sebab Mengapa Ralf Rangnick Tak Suka Dengan Darren Fletcher