Penyokong Newcastle Diminta Agar Berhenti Berpakaian Seperti ‘Pak Arab’

Newcastle United telah mengeluarkan satu kenyataan dalam menyatakan hasrat mereka kepada para penyokong, supaya berhenti berpakaian seperti ‘Pak Arab’

Pihak kelab sampai terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi untuk meminta para penyokong mereka agar tidak lagi terlalu obses memakai pakaian tradisi Arab Saudi itu.

Sejak dari awal Syarikat Konsortium Arab Saudi membeli Newcastle dari Mike Ashley, walau mereka sedang bergelut dengan masalah prestasi, namun para penyokong masih tidak henti-henti meraikan hal tersebut.

Selain bergembira dapat pemilik baru yang kaya raya, jelas sekali para penyokong sangat gembira era pemilikan Mike Ashley sebelum ini telah berakhir.

Walau bagaimanapun, dalam pada mereka terlalu bergembira meraikan hal tersebut, terdapat segelintir penyokong yang meraikannya dengan cara yang agak berlebih-lebihan.

Mungkin untuk mencari perhatian, atau mungkin itu memang cara mereka menunjukkan rasa penghargaan atau penghormatan kepada budaya pemilik baru.

Para penyokong ada yang berpakaian seperti ‘Pak Arab’ dengan serban, jubah untuk ke stadium ketika menonton aksi perlawanan Newcastle bertemu Tottenham Hotspur hujung minggu lalu.

Terbaru, pihak kelab telah meminta para penyokong untuk berhenti memakai pakaian tersebut, kerana bimbang akan menyentuh budaya mana-mana pihak.

“Newcastle United berbesar hati meminta para penyokong supaya tidak lagi memakai pakaian tradisi Arab Saudi atau penutup kepala seperti yang diamalkan oleh masyarakat Timur Tengah ketika menonton perlawanan, seandainya mereka tak biasa memakai pakaian itu.”

“Terdapat segelintir penyokong yang hadir ke St James Park baru-baru ini memakai pakaian seperti itu.”

“Tidak ada sesiapa pun dikalangan pemilik baru yang terkesan dengan cara pemakaian peminat yang mahu meraikan hal ini dengan cara seperti itu. Ia dianggap budaya positif dan diterima dengan sangat baik.”

“Walau bagaimanapun, masih tetap ada kebarangkalian yang berpakaian seperti itu mungkin akan mencetuskan isu berkait budaya dan berisiko akan mengguris hati mana-mana pihak.”

“Semua penyokong, seperti biasa dibenarkan untuk memakai apa saja yang mereka suka berkait budaya atau agama mereka.”

Selepas pengambilalihan kelab dari pemilikan Mike Ashley kepada Syarikat Konsortium Arab Saudi, semangat para penyokong juga dilihat sangat berbeza berbanding sebelum ini.

Keraian Newcastle United sepertinya sedikit terencat pada minggu lalu, selepas mereka terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Tottenham Hotspur dalam saingan Premier League.

Selepas kekalahan itu, Steve Bruce yang baru sahaja meraikan perlawanan ke-1000 beliau sepanjang kariernya sebagai pengurus, telah dipecat oleh Newcastle.

Newcastle ketika ini sedang mencari calon pengganti untuk menggantikan Steve Bruce yang sudah mereka pecat kemarin, dalam usaha untuk menyelamatkan kelab dari tersingkir.

The Magpies pada ketika ini berada di kedudukan kedua tercorot, dan mereka sedang berada di zon penyingkiran selepas gagal untuk mencatatkan sebarang kemenangan dalam saingan Premier League musim ini.

Pengurus baru tentunya mempunyai tugas berat dengan beliau tentunya perlu memastikan Newcastle tidak tersingkir, dan akan dipertanggungjawabkan untuk memulakan projek baru Newcastle di bawah pemilikan Syarikat Konsortium Arab Saudi.

Kewangan jelas sekali tidak menjadi masalah untuk Newcastle, namun untuk terus melakukan rombakan pada musim panas ini, ia jelas satu hal yang sangat sukar.

Oleh yang demikian, pengurus baru tentunya perlu memastikan Newcastle tidak tersingkir dan akan terus beraksi dalam saingan Premier League pada musim hadapan.

Seandainya The Magpies sudah layak beraksi di pentas bola sepak Eropah, maka harapan mereka untuk mendapatkan pemain-pemain berprofil tinggi akan semakin mudah.

Oleh yang demikian, tidak akan mengejutkan andai peminat akan melihat Newcastle berada di pentas saingan Champions League, tiga tahun dari sekarang.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Goodison Park Kecoh Selepas Pemain Newcastle Serbu Pickford Secara Berjemaah