Pep Anggap Kelebihan 14 Mata City Miliki Sebelum Ini Sebenarnya Palsu

Pep Guardiola menegaskan yang kelebihan 14 mata dimiliki oleh Manchester City berbanding Liverpool sebelum ini hanyalah palsu semata-mata.

Beliau mengeluarkan dakwaan itu selepas melihat Liverpool yang sebelum ini berada 14 mata di belakang, kini hanya satu mata sahaja di belakang mereka.

Man City pada awal musim hingga pertengahan musim ini dianggap sebagai calon kegemaran untuk muncul Juara kerana melihat mereka jauh mendahului.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu bahkan turut pernah mendahului Liverpool dengan kelebihan 14 mata di puncak saingan Premier League.

Walau bagaimanapun, Liverpool ketika itu memiliki kelebihan dua perlawanan yang masih belum dimainkan dan mereka berjaya mengutip enam mata penuh dari kedua-dua perlawanan tersebut.

Manchester City pula sementara itu keciciran mata ketika beraksi bertemu Tottenham Hotspur dan Crystal Palace sepanjang tempoh tersebut.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu bahkan turut sempat berada di puncak saingan liga selepas kejayaan mereka menewaskan Watford pada hujung minggu lalu.

Manchester City walau bagaimanapun kembali memintas Liverpool untuk berada di puncak saingan liga selepas kejayaan mereka menewaskan Burnley.

Kedua-dua pasukan yang sedang mendahului carta saingan liga itu bakal bertemu satu sama lain pada hujung minggu ini di Etihad.

Ia jelas sekali bakal menjadi perlawanan yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat, dengan pemenang dalam perlawanan tersebut bakal berpotensi untuk menjuarai saingan musim ini.

Guardiola merasakan yang Liverpool sememangnya akan sentiasa memberi saingan kepada anak-anak buahnya untuk memburu gelaran liga musim ini.

“Apa yang pasti tentang Liverpool dan City pada tahun lalu, kami menaikkan bar dan menaikkan sasaran dalam saingan Premier League berbanding sebelum ini.”

Jelas Pep Guardiola.

“Pasukan lain juga sedar yang mereka perlu berusaha lebih gigih andai mereka mahu mengejar kami.”

“Sejak lima ke enam tahun kebelakangan ini, satu tahun kami sedikit mundur, tahun lalu mereka ada masalah kecederaan dan United ada di sana. Kedua-dua pasukan sejak 5-6 tahun ini kami sentiasa ada dan bersaing.”

“Saya mahu beritahu kamu sesuatu, 14 mata, itu palsu. Kamu sebenarnya salah. Kami bermain dua perlawanan lebih banyak (berbanding Liverpool). Palsu. Itu bukan satu kesilapan.”

Guardiola turut menghamburkan pujian menggunung kepada Liverpool atas konsistensi yang mereka tunjukkan sejak kebelakangan ini.

Beliau turut membandingkan perseteruan antara Liverpool dan Man City sekarang dengan Barcelona dan Real Madrid seperti ketika kariernya di Nou Camp sebelum ini.

“Ketika kami sedang mendahului 14 mata di hadapan Liverpool, bahkan saya sendiri ketika itu macam tak percaya lihat itu kerana saya tahu betapa hebatnya lawan yang perlu kami hadapi. Antara pasukan terhebat di Eropah.”

Tambah Guardiola lagi.

“Kebenarannya adalah satu mata sekarang, ini adalah realiti. Menjadi satu kebanggaan untuk kami ada di sini berjuang mahu memenangi gelaran Premier League.”

“Saya pernah hadapi situasi ini ketika saya bersama Barcelona, sentiasa ada Real Madrid, kadang kala Atletico, tapi kebiasaannya memang Barcelona dan Real Madrid.”

“Di sini sememangnya sentiasa lima/enam pasukan, tapi dalam tempoh lima tahun ini, hanya dua… Ini adalah realiti dalam saingan Premier League. Ia menunjukkan konsistensi dan struktur yang ada pada kedua-dua pasukan.”

“Saya faham orang bercakap tentang Liverpool. Saya sangat yakin semua orang akan tonton perlawanan itu. Ia bakal menemukan dua pasukan terhebat liga yang akan bertemu untuk memenangi gelaran Premier League.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Peristiwa Buat Pep Mula Sedar Arteta Akan Menjadi Pengurus Arsenal