Pep Anggap Masalah Rumput Tak Sempurna Punca City Keciciran Mata

Pep Guardiola mengeluarkan sisi Jurgen Klopp yang ada dalam dirinya dengan beliau menyalahkan rumput sebagai punca mengapa Manchester City hanya mampu sekadar seri bertemu Crystal Palace.

Ya, rumput telah menjadi mangsa apabila Pep Guardiola mengkambing hitamkan mereka sebagai punca The Citizens keciciran mata di Selhurst Park hari ini.

Juara bertahan saingan Premier League itu mendominasi aksi dalam perlawanan bertemu Palace, namun malangnya mereka gagal untuk menjaringkan sebarang gol.

City turut memiliki begitu banyak kesempatan emas untuk menjaringkan gol namun barisan pertahanan dan penjaga gol Palace terlalu berprestasi untuk ditewaskan.

Keputusan seri itu menyebabkan perebutan gelaran liga semakin terbuka luas antara Manchester City dan Liverpool pada ketika ini.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu kini empat mata mengatasi Liverpool dalam carta saingan liga, namun skuad kendalian Jurgen Klopp itu memiliki kelebihan satu perlawanan yang masih belum dimainkan.

City dan Liverpool bakal beraksi di Etihad pada 10 April nanti dengan perlawanan tersebut dianggap sebagai antara aksi paling dinanti-nantikan oleh para peminat.

Bercakap selepas tamat aksi terikat 0-0 bertemu Palace, Guardiola memuji persembahan anak-anak buahnya dan turut mendedahkan yang beliau percaya City seharusnya menang perlawanan tersebut.

Walau bagaimanapun, pengurus berusia 51 tahun itu turut menyalahkan keadaan rumput sebagai punca Man City sekadar mampu mencatatkan keputusan seri.

“Sudah tentu kami lebih mahukan kemenangan, kami juga bermain dengan sangat baik.”

Jelas Guardiola kepada Sky Sports.

“Kami bermain untuk menang perlawanan itu, kami cipta banyak peluang, statistik membuktikan itu.”

“Cara bagaimana kami bermain di stadium yang sukar sangat menakjubkan, dengan rumput tak sempurna, kami ada di sana sepanjang masa, kami ada permainan yang bagus.”

Para peminat di media sosial menuduh Pep Guardiola meniru gaya Jurgen Klopp dengan menyalahkan segala benda yang ada sebagai punca mereka kehilangan mata.

Jurgen Klopp sememangnya sering menggunakan alasan tak masuk akal ketika Liverpool kehilangan mata dan kerana itulah peminat menganggap Pep Guardiola meniru cara pengurusan The Reds itu.

“Sejak bila Pep Guardiola jadi Jurgen Klopp? Rumput pun jadi masalah? “

“Bila Pep Guardiola dah mula salahkan rumput, ia bermaksud yang beliau sekarang benar-benar terdesak mahu mendapatkan kemenangan.”

“Lepas ni angin dan rumput akan bertemu di Etihad, tak sabar nak tengok apa yang akan dipersalahkan nanti.”

“Selama ni Palace kerap keciciran mata di Selhurst Park tapi mereka tak perasan punca utama mereka keciciran mata adalah kerana rumput.”

“Macam mana pasukan lain boleh jaringkan gol di sana walau rumput di Selhurst Park sangat bermasalah? Adakah mereka bermain dengan rumput berbeza?”

Bintang Manchester City, Bernardo Silva telah mendakwa yang skuadnya merupakan calon kegemaran untuk mempertahankan gelaran Premier League walau mereka terpaksa bertemu Liverpool di Etihad bulan hadapan.

“Ia merupakan perlawanan yang sangat sukar sebenarnya, kami sudah bermain dengan baik, kami kawal permainan kecuali ada satu dua situasi. Kami gagal jaringkan gol dan kami sepatutnya sudah menjaringkan gol.”

Jelas Bernardo Silva lagi.

“Sembilan perlawanan lagi, tapi ia lebih memihak kepada kami berbanding Liverpool, dan mereka perlu bermain di stadium kami dan ia tentunya akan sangat menarik.”

“Ia bukanlah mudah untuk bermain di halaman lawan dalam saingan Premier League. Ia sentiasa lebih baik untuk menang berbanding seri dan kami mahu ada kelebihan enam mata berbanding Liverpool.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Salah Seorang Wartawan Difitnah Jadi Penyokong Liverpool Oleh Pep Guardiola