Pep Sifatkan Masalah Bola Sepak Adalah Orang Yang Menilai Pemain Berdasarkan Statistik

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya bahawa mereka yang obses dalam menilai pemain dipadang hanya berdasarkan kepada statistik sahaja merupakan satu masalah besar dalam bola sepak.

Dalam satu sidang akhbar baru-baru ini, Pep Guardiola telah bercakap mengenai pemain bintang sensasi England, Jack Grealish dan Guardiola telah mengemukan isu bahawa pemain terlalu dianalisis berkisar kepada jumlah assist dan gol sahaja.

Jack Grealish, yang menyertai The Citizens dari Aston Villa pada musim panas lalu dalam perjanjian memecahkan rekod Britain £100 juta, telah menjaringkan tiga gol dalam 25 perlawanan untuk pasukan Manchester City musim ini.

Jika hanya berpandukan kepada jaringan gol Jack Grealish dibandingkan dengan nilai setinggi £100 juta maka pembelian ini adalah sesuatu yang tidak berbaloi.

Itu semua di mata kasar, namun di mata dan hati Pep Guardiola, beliau sangan bahagia dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Jack Grealish dan menyarankan Grealish terus fokus dengan aksi di padang dan tidak perlu melayan kecaman serta kritikan.

“Mungkin dia (Jack Grealish) terlalu banyak mendengar kritikan orang ramai yang ternyata salah.” Ujar Pep Guardiola.

“Kita sentiasa bercakap mengenai statistik, pemain hari ini bermain untuk statistik tapi ini adalah kesilapan terbesar yang mereka lakukan.”

Kerana ramai yang obses menilai pemain berdasarkan statistik turut memberi kesan kepada pemain yang menilai prestasi sendiri hanya kepada statistik untuk memenuhi jangkaan ramai dan itu satu masalah di mata Pep Guardiola.

“Statistik hanyalah secebis informasi yang kita ada tapi ada pemain yang membuatkan pasukan bermain dengan baik dan ini tiada dalam statistik.”

“Pemain berkata:’Berapa banyak gol aku jaringan atau berapa banyak bantuan gol aku cipta?’ Ini merupakan satu masalah.”

“Statistik sebegini tidak pernah wujud sebelum ini. Ini berkisar kepada bagaimana kau beraksi, jika kau beraksi di tahap maksimum, tahap terbaik, bantu rakan sepasukan ketika dalam proses bertahan dan menyerang supaya lebih baik. Itu sudah cukup. Berterima kasihlah kepada aksi itu kerana kita akan menang.”

Pep Guardiola juga melahirkan keyakinan bahawa Jack Grealish akan kembali mendapatkan sentuhan jaringan di masa hadapan dan Jack Grealish dibeli bukan untuk menjadi mesin gol.

“Dia bermain sangat mirip seperti di Aston Villa dalam aspek sentuhan bola.”

“Dia mempunyai peluang ketika menentang Crystal Palace. Dalam tempoh 20 minit dia berpeluang jaringkan tiga gol. Tapi itu tidak terjadi namun ia bakal terjadi.”

“Kami tidak membeli Grealish untuk menjaringkan 45 gol. Dia tiada kualiti tersebut tetapi dia mempunyai kualiti yang lain. Dia bermain dengan bagus. Aku tidak akan memberitahu korang kalau dia tidak bermain dengan bagus.”

Pada Disember lalu, Jack Grealish mengakui kepada The Telegraph bahawa beliau sedang berusaha untuk beradaptasi dengan kaedah Pep Guardiola yang nyata lebih sukar dari jangakaannya.

“Ia menjadi sangat sukar berbanding apa yang aku jangkakan.”

“Pada awalnya aku percaya aku akan menyentuh lebih banyak bola, lebih banyak assist dan lebih banyak gol tapi itu tidak terjadi. Tersangat kurang aku mendapat bola jika nak dibandingkan ketika di Aston Villa.”

“Aku tidak akan cakap aku bergelut tapi aku rasa sangat sukar untuk beradaptasi pada awalnya. Aku tidak dapat assist dan gol seperti musim lalu tapi aku tidak pernah meragui diri sendiri.”

Mungkin satu kejutan budaya dialami Jack Grealish yang datang dari kelab kerdil seperti Aston Villa ke kelab besar seperti Manchester City yang mempunyai barisan pemain bintang yang berkualiti tinggi.

Di Aston Villa permainan hanya berkisar kepada Jack Grealish sebagai tonggak utama, tanpa gol, assist atau gerakan dari Grealish maka susahlah untuk menang.

Bersama Manchester City yang bermain sebagai satu unit dengan mana-mana pemain dari pelbagai posisi mampu menghasilkan gol, Jack Grealish salah seorang pemain yang akan melengkapkan percaturan Pep Guardiola.

Statistik boleh dijadikan sebagai penanda aras tapi jika pengurus seperti Pep Guardiola menyatakan Jack Grealish melakukan tugas dan mempamerkan prestasi yang baik maka statistik itu boleh dipersetankan saja.

BACA:  Guardiola Dakwa Ditawarkan Peluang Untuk Menandatangani Pogba Januari Lalu