Perbezaan Ronaldo Dan Messi Dari Kaca Mata Joao Cancelo

Seperti semua sedia maklum, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo merupakan pemain terbaik dunia ketika ini dan turut dianggap antara pemain bola sepak  terbaik sepanjang zaman.

Namakan apa sahaja rekod dalam bola sepak, hampir kesemuanya telah dipecahkan oleh Messi dan Ronaldo secara membabi buta. Duo ini telah mendominasi arena bola sepak lebih sedekat lamanya dengan masing-masing kini mempunyai 5 Ballon d’Or.

Joao Cancelo dan Ronaldo ketika beraksi untuk Portugal

Akan tetapi, setiap hari akan ada sahaja soalan dari mereka yang tidak reti bahasa yang cuba membuktikan pemain mana lebih bagus. Perbalahan mengenai siapa yang lebih hebat antara Ronaldo dan Messi tidak akan habis kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Karier pemain bola sepak akan ada pasang surutnya tetapi tidak bagi Messi dan Ronaldo. Pada usia yang sudah melebihi 30 tahun, Ronaldo dan Messi masih lagi merupakan pemain paling berpengaruh dalam pasukan yang mereka wakili.

Jika anda bertanya kepada peminat Barcelona, sudah tentu Messi merupakan pemain yang lebih baik daripada Ronaldo. Tidak mengejutkan jika kita melihat sebilangan besar peminat bola sepak memilih Messi berbanding Ronaldo.

Kemana sahaja Ronaldo pergi, secara automatik pasukan itu jadi yang terbaik. Benar bossku

Tetapi Ronaldo masih mempunyai pengikut beliau sendiri yang sedia berjuang di papan kekunci setiap kali topik ini muncul di laman sosial. Antara mereka yang teguh berdiri di belakang Ronaldo adalah rakan sepasukan dan juga rakan senegara Ronaldo, Joao Cancelo.

Pemain pertahanan Juventus berusia 24 tahun itu percaya Ronaldo lebih bagus daripada Messi selepas melihat keputusan El-Clasico hujung minggu lalu yang berakhir dengan Real Madrid tumpas 5-1 di tangan Barcelona.

Cancelo percaya Ronaldo membawa pengaruh yang lebih besar kepada pasukan berbanding apa yang dibawa Messi kepada Barcelona.

“Saya sedang bercakap mengenai pemain yang mencipta perbezaan kemana sahaja beliau [Ronaldo] pergi kerana beliau lain dari pemain yang lain.”

“Ketika Ronaldo tiba di Juventus, bukan sahaja beliau menaikkan tahap pasukan ini, beliau juga menaikkan tahap individu setiap pemain yang lain.”

“Juventus merupakan pasukan yang hebat sejak sekian lama tetapi dengan ketibaan Ronaldo, pasukan ini telah bertukar menjadi calon utama untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah dimata pihak luar.”

Tanyalah Ramos apa yang terjadi di Nou Camp tanpa Ronaldo dalam pasukan.

“Ronaldo dilahirkan untuk menang dan membantu rakan sepasukannya untuk menang.”

“Ketika Real Madrid memeanangi Liga Juara-Juara Eropah, beliau merupakan watak utama selepas menjaringkan 15 gol. Apabila Ronaldo beraksi untuk sesuatu pasukan, secara automatik pasukan itu akan bertukar menjadi pasukan paling bagus.”

“Keputusan El-Clasico yang terbaru ini merupakan bukti paling kukuh. Barcelona tanpa kehadiran Messi menang 5-1, manakala Real Madrid tanpa kehadiran Ronaldo tewas 5-1. Itu perbezaan paling utama.”

BACA:  Cancelo Sertai Bayern Munich Selepas Bergaduh Dengan Pep Guardiola