Pogba: Kami Mahu Menang Piala

Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba mengakui beliau masih lagi terluka kerana gagal memenangi sebarang piala di peringkat kelab musim lepas.

Pogba turut menambah Manchester United amat dahagakan kejayaan musim ini dan mahu memenangi sesuatu sebelum musim ini berakhir.

Pogba tersenyum, Kante merana

Pogba sebelum ini menerima kad merah dalam perlawanan kalah mati menentang Paris Saint-Germain pertengahan minggu lalu di halaman sendiri. Kekalahan 2-0 di tangan PSG merupakan kekalahan pertama Ole Gunnar Solskjaer sejak bergelar pengurus Manchester United.

Pogba akan menjalani penggantungan satu perlawanan di peringkat Eropah dan tidak akan beraksi apabila United berkunjung ke Paris awal bulan hadapan.

Walau bagaimanapun, Pogba berjaya menebus kekecewaan tersebut apabila beraksi cemerlang untuk membantu Red Devils menenewaskan Chelsea di Stamford Bridge dalam pusingan ke-5 Piala FA awal pagi tadi.

Pogba dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan satu gol dan mencipta satu gol untuk Ander Herrera. Ia merupakan jaringan ke-14 buat Pogba musim ini dalam semua pertandingan.

Tandukan padu Pogba meletakkan United selesa di hadapan

Dengan kejayaan menyingkirkan juara bertahan, Manchester United berjaya membalas dendam kalah di tangan Chelsea dalam perlawanan akhir Piala FA musim lepas. United akan meneruskan kempen Piala FA dengan menentang Wolves dalam saingan suku akhir.

Ketika bercakap kepada MUTV selepas tamat perlawanan, Pogba mengakui hatinya masih lagi terluka kerana tewas di tangan PSG.

“Untuk mengalami kekalahan selepas mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah merupakan pengalaman yang amat melukakan dan agak sedih. Jadi saya tidak mahu melalui pengalaman itu lagi.”

“Semua pertandingan adalah penting buat kami. Kami mahu memenangi sesuatu musim ini.”

“Tahun lepas kami gagal memenangi sebarang piala. Saya masih ingat lagi. Tahun ini kami mahu memenangi sesuatu.”

Pogba bermain cemerlang ketika menentang Chelsea awal pagi tadi dimana beliau berjaya menjaringkan gol ke-2 perlawanan menerusi satu tandukan.

“Kami tahu bagaimana untuk melukai Chelsea, iaitu dengan membuat larian di belakang pemain tengah mereka. Dua larian ke dalam kotak penalti, dua gol berjaya dihasilkan !”

“Tugas saya sebagai seorang pemain tengah bukanlah untuk menjaringkan gol, ia lebih kepada mencipta assist. Tetapi apabila saya mendapat peluang untuk menjaringkan gol, ia merupakan perasaan yang sangat hebat.”

Pogba cepat move on walaupun baru mengalami mimpi ngeri menerima kad merah menentang PSG. Liverpool mangsa seterusnya

Perlawanan Setan Merah yang seterusnya adalah menentang pendahulu liga, Liverpool dalam saingan liga. Walaupun menang, Pogba percaya United sepatutnya mampu bermain dengan lebih baik.

“Kami meraih keputusan yang hebat, tapi kami sepatutnya bermain dengan lebih baik. Kami patut bertindak balas dengan lebih baik.”

“Kami menjadikan keadaan lebih sukar untuk diri sendiri. Kami boleh mengawal perlawanan dengan lebih baik, dan menghukum Chelsea apabila  memiliki bola.”

BACA:  Mourinho: Saya Pengurus Paling Berdisiplin Musim Ini