Premier League 2021/22: Manchester United 1-1 Southampton

Manchester United melayan kunjungan anak-anak buah Ralph Hasenhuttl ke bumi Old Trafford untuk aksi dalam saingan Premier League.

Skuad setan merah sebelum ini hanya mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu pasukan yang sedang berada do kedudukan tercorot liga, Burnley.

Sementara Southampton pula mereka sebelum ini berjaya melakukan comeback dengan menewaskan Tottenham Hotspur 3-2 di halaman lawan.

Man Utd kini berada di kedudukan keenam dalam carta saingan liga, dan hanya kemenangan sahaja yang boleh membantu mereka untuk kembali menduduki kedudukan keempat.

Southampton pula tiada apa yang mahu mereka kejar ketika ini, dengan skuad kendalian Ralph Hasenhuttl itu kini berada di kedudukan ke-10 dalam carta saingan Premier League.

Ralf Rangnick menurunkan Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utamanya pada minggu ini, selepas bintang Portugal itu hanya dimasukkan pada aksi babak kedua sahaja pada aksi sebelum ini.

Seawal minit pertama lagi Southampton sudah mula melancarkan serangan ke kubu Manchester United, namun malangnya serangan mereka gagal untuk menewaskan De Gea.

Lima minit pertama perlawanan nampak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada percubaan bahaya yang berjaya dilakukan.

Minit ke-6 permainan, Cristiano Ronaldo hampir sahaja menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa menjaringkan gol namun sayangnya percubaan beliau berjaya diselamatkan oleh Romain Perraud.

Jadon Sancho melorongkan bola cantik menemui Cristiano Ronaldo yang berada di hadapan kotak penalti, dengan bola percubaan dari bintang Portugal itu sudah melepasi penjaga gol Southampton untuk masuk ke gawang golnya yang sudah terbuka luas.

Namun ketika bola itu bergolek mahu menerjah jaring gawang gol Southampton, Romain Perraud segera melakukan hadangan dan menyelamatkan gawang golnya dari dibolosi.

Beberapa minit selepas itu Southampton berjaya mencipta gerakan yang hampir sahaja menghasilkan jaringan, namun barisan pertahanan United berjaya menyelamatkan keadaan dan segera melakukan serangan balas.

Jadon Sancho menerima bola dari bawah dan segera membawa bola masuk ke kotak penalti lawan, beliau kemudiannya terus melakukan percubaan namun rembatan beliau dinafikan oleh Fraser Forster.

10 minit perlawanan berlangsung, Man Utd nampak sudah berjaya mendominasi perlawanan dengan mereka kerap menguji gawang gol Southampton.

The Saints kemudiannya berjaya menyeimbangkan semula permainan dan kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan.

Minit ke-21 permainan, Manchester United berjaya merobek gawang gol Southampton menerusi gerakan cantik dari Marcus Rashford yang disudahi oleh Jadon Sancho.

Bruno Fernandes menghantar bola cantik mencari Marcus Rashford yang kemudiannya membawa bola masuk ke dalam kotak penalti, dan melorongkan bola cantik mencari Sancho.

Bekas bintang Borussia Dortmund itu tenang melakukan tap-in untuk menewaskan Fraser Forster, seterusnya membantu setan merah untuk mendahului perlawanan 1-0.

Perlawanan kemudiannya kembali seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tiada percubaan merbahaya yang berjaya dihasilkan.

Minit ke-40 permainan, David De Gea berjaya menjadi wira setan merah selepas beliau melakukan aksi penyelamatan berkelas dunia menyelamatkan percubaan dari Armstrong.

Lima minit akhir Southampton dilihat lebih dominan dengan mereka lebih kerap melancarkan serangan dan menguji gawang gol United.

Paul Pogba berjaya menjaringkan gol sebelum tamat aksi babak pertama selepas menerima umpanan cantik dari Cristiano Ronaldo namun gol tersebut dibatalkan kerana bintang Portugal itu berada dalam kedudukan offside.

Aksi babak pertama tamat dengan Manchester United mendahului Southampton dengan keputusan 1-0.

Sebaik bermula aksi babak kedua, Southampton dilihat lebih aggressive sementara setan merah seperti kebiasaannya sejak kebelakangan ini mereka mula hilang arah dan mudah didominasi.

Dua minit sahaja bermula aksi babak kedua Southampton sudah berjaya memadam gol pendahuluan yang diperoleh United hasil jaringan Che Adams.

Mohamed Elyounoussi mengumpan bola cantik mencari Che Adams yang kemudiannya melepaskan rembatan padu untuk menewaskan David De Gea.

Pada minit ke-56, hasil dari sudut sepakan percuma yang diambil oleh Bruno Fernandes, pemain kesayangan ramai, Harry Maguire hampir sahaja meledak gol menewaskan Fraser Forster.

Mujur saja penjaga gol Southampton itu berjaya menyelamatkan keadaan dengan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Minit ke-61 permainan, Fraser Forster dua kali menyelamatkan gawang golnya selepas beliau cemerlang menafikan percubaan berganda dari Cristiano Ronaldo dan Diogo Dalot.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu kemudiannya berjaya menjaringkan gol namun dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana lima ke enam pemain setan merah berada dalam kedudukan offside.

Tak pasti apa yang merasuk Ronaldo, beliau bersama Bruno Fernandes kemudiannya memaksa pengadil supaya merujuk VAR kerana percaya dirinya tidak offside.

Pengadil memeriksa VAR namun tidak mengubah keputusannya dengan gol tersebut tetap dibatalkan kerana sudah terlalu jelas pemain-pemain United berada dalam kedudukan offside sebelum Ronaldo meledak gol.

Perlawanan kemudiannya nampak kembali seimbang namun masih tiada tambahan jaringan yang berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan.

Maguire atau lebih dikenali sebagai kepala besi sekali lagi hampir meledak gol selepas beliau berjaya menanduk bola sepakan percuma dari Luke Shaw, namun sayangnya percubaan beliau dinafikan oleh Fraser Forster.

Perlawanan tamat dengan kedua-dua pasukan terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 namun setan merah tentunya kecewa dengan keputusan ini.

Keputusan seri ini membantu United untuk memintas Arsenal dan berada di kedudukan kelima dalam carta saingan liga, namun jelas sekali kedudukan mereka sangat goyah.

Southampton sementara itu kekal di kedudukan ke-10 dalam carta saingan liga dan satu mata yang mereka peroleh di Old Trafford sebenarnya sudah sangat bermakna untuk anak-anak buah Ralph Hasenhuttl itu.

Manchester United (4-2-3-1): De Gea 6.5; Dalot 6, Varane 6, Maguire 5, Shaw 5.5; McTominay 6 (Elanga 75, 6), Pogba 6.5; Rashford 5.5 (Lingard 82, 6), Fernandes 6.5, Sancho 7; Ronaldo 4.5

Pemain simpanan: Henderson (GK); Jones, Lindelof, Mata, Wan-Bissaka, Mejbri

Pengurus: Ralf Rangnick 6

Penjaring: Sancho 21

Kad Kuning: Rashford, McTominay, Pogba, Lingard

Southampton (4-4-2): Forster 7.5; Walker-Peters 7, Bednarek 6, Salisu 6, Perraud 7; S Armstrong 6, Ward-Prowse 6, Romeu 7 (Diallo 90+5), Elyounoussi 6..5 (Livramento 71, 6); Broja 6.5, Adams 8

Pemain simpanan: Caballero (GK); A. Armstrong, Long, Djenepo, Valery, Smallbone

Pengurus: Ralph Hasenhuttl 7

Penjaring: Adams 48

Pengadil: Stuart Attwell 6
Kehadiran penyokong: 73,084

BACA:  Mourinho: Manchester United Tidak 'Selembik' Seperti Yang Didakwa Sesetengah Pihak