Premier League 2021/22: Wolverhampton 0-1 Manchester United

Wolverhampton melayan kunjungan Manchester United ke Molineux Stadium untuk aksi perlawanan ketiga saingan Premier League musim 2021/22.

Skuad kendalian Bruno Lage itu masih belum mencatat sebarang kemenangan dengan mereka tewas dalam kedua-dua perlawanan awal musim ini.

Sementara setan merah pula, mereka ketika ini sudah berjaya mencatatkan satu kemenangan, dan satu seri ketika aksi bertemu Southampton pada minggu lalu.

United turun dalam perlawanan bertemu Wolves ini selain mahu mendapatkan tiga mata penuh, mereka juga sebenarnya dalam usaha untuk memecah rekod tidak terkalahkan di halaman lawan yang dipegang oleh Arsenal.

Bermula pada April 2003 hingga September 2004, The Gunners berjaya mengharungi aksi bermain di tempat lawan dengan tidak terkalahkan.

Mereka mengharungi 27 perlawanan tanpa kalah di halaman lawan, dengan setan merah turut mencatatkan rekod yang sama dari Februari 2020 hingga ke hari ini.

Wolves tentunya mahu mengelak dari mencatatkan kekalahan ketiga mereka musim ini dan akan beraksi sehabis baik untuk mencuri mata bertemu setan merah.

Perlawanan bermula dengan agak seimbang dengan Wolves dilihat lebih bernafsu dalam memburu gol awal dan melancarkan beberapa siri serangan berbahaya.

Pada minit ke-2 permainan, Wolves berpeluang untuk membuka tirai jaringan selepas Adama Traore berjaya merampas bola dan membawa bola dari kawasan sendiri ke arah kubu United.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu tenang menggelecek dua pemain United dan membawa bola laju menuju ke kotak penalti Manchester United.

Beliau kemudiannya melorongkan bola mencari Jimenez, namun sayangnya percubaan bintang Mexico itu berjaya diselamatkan oleh David De Gea.

Dua minit selepas itu, Wolves sekali lagi memperoleh kesempatan emas untuk merobek gawang United, namun percubaan dari Trincao berjaya diselamatkan oleh Aaron Wan Bissaka.

Masuk minit ke-10 permainan, kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan, namun Wolves jelas lebih dominan.

Sehingga minit ke-30 permainan, Wolves jelas mendominasi perlawanan dengan mereka mempunyai beberapa kesempatan untuk menghasilkan gol awal.

Pada minit ke-37 permainan, Bruno Fernandes berjaya merobek gawang gol Wolves, namun jaringannya dibatalkan kerana beliau berada dalam kedudukan offside.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, dan tidak dinafikan walau Wolves dominan, namun kedua-dua pasukan tetap berjaya menyajikan aksi yang sangat menghiburkan.

Masuk babak kedua, pasukan tuan rumah masih gigih melancarkan beberapa siri serangan namun mereka masih gagal untuk menewaskan David De Gea.

Pada minit ke-67 permainan, hasil dari satu sepakan penjuru, Trincao berjaya melepaskan satu tandukan padu, namun De Gea cemerlang memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Menariknya lagi, Trincao sebenarnya berjaya melakukan dua percubaan satu menerusi tandukan dan satu lagi menerusi rembatan, namun kedua-duanya berjaya diselamatkan oleh De Gea.

Tiga minit selepas itu, giliran Ruben Neves pula menguji gawang United, dengan beliau melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti.

Penjaga gol kebangsaan Sepanyol, David De Gea sekali lagi muncul sebagai wira United dengan beliau berjaya menyelamatkan rembatan dari Ruben Neves itu.

Wolves masih tidak henti-henti melancarkan serangan, namun mereka masih gagal untuk menewaskan De Gea dan kerana kerap dikecewakan oleh penjaga gol United itu, jentera serangan pasukan tuan rumah dilihat semakin tertekan.

Pada minit ke-79, Mason Greenwood berjaya menjadi wira United dengan beliau cemerlang melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti untuk menewaskan Jose Sa.

Gol tersebut merupakan gol ketiga Greenwood, dengan pemain kebangsaan England itu berjaya menjaringkan gol dalam kesemua tiga perlawanan awal musim ini.

Para pemain Wolves membantah gol tersebut kerana mendakwa yang Paul Pogba telah menerjah kaki Ruben Neves ketika build up gol tersebut.

Namun pengadil perlawanan tidak melayan tuntutan dari mereka dan tetap mengesahkan gol tersebut, seterusnya memastikan United mendahului perlawanan dengan keputusan 1-0.

Wisel penamat dibunyikan, Wolves terpaksa akur menghadapi kekalahan ketiga mereka dari tiga perlawanan awal liga, dengan mereka ketika ini berada di kedudukan ke-18 dalam carta liga.

United selain berjaya mengutip tiga mata penuh, mereka juga secara tidak langsung telah berjaya memecahkan rekod tidak terkalahkan di tempat lawan terbanyak dalam sejarah saingan Premier League.

United kini telah mengharungi 28 perlawanan di halaman lawan dalam saingan Premier League dengan tidak merekodkan sebarang kekalahan.

Setan merah juga pada ketika ini berjaya melonjak ke tangga ketiga dalam carta liga, dengan mengumpul 7 mata, sama dengan West Ham, Chelsea, Liverpool dan Everton.

Wolverhampton Wanderers (3-4-3) :Sa 6; Kilman 6, Coady 7 (Gibbs-White 87mins 6), Saiss 6; Semedo 6.5, Neves 6, Moutinho 6.5, Marcal 6; Trincao 6.5 (Podence 70mins 6), Jimenez 6, Traore 8 (Silva 87mins 6)

Pemain simpanan: Ruddy, Hoever, Ait-Nouri, Boly, Dendoncker, Cundle.

Kad kuning: Neves

Manchester United (4-2-3-1): De Gea 8; Wan-Bissaka 7, Varane 6, Maguire 6, Shaw 6; Pogba 5.5, Fred 5; James 5.5 (Cavani 52mins 6), Fernandes 6, Sancho 5.5 (Martial 71mins 6); Greenwood 7 (Dalot 89mins 6)

Pemain simpanan: Heaton, Lindelof, Mata, Lingard, Matic, Van de Beek.

Penjaring gol: Greenwood 79

Kad kuning: Fernandes, Pogba

Pengadil: Mike Dean 7

Pemain Terbaik: Adama Traore

Sumber line up: Daily Mail

BACA:  Senarai Penerima Gaji Tertinggi Premier League Didominasi Pemain Manchester United