Presiden PSG Anggap Super Bowl Lebih Berprestij Berbanding Champions League

Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi tampil membuat dakwaan yang menyatakan bahawa perlawanan Super Bowl anjuran NFL merupakan pertandingan yang jauh lebih besar berbanding Champions League.

Beliau turut menegaskan yang kejohanan besar Eropah sepatutnya mengadakan acara pembukaan besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Super Bowl.

Al-Khelaifi yang juga kini merupakan Chairman persatuan kelab bola sepak Eropah jelas sekali sangat terdesak mahu melihat kelab miliknya, Paris Saint Germain menjuarai saingan Champions League.

Ahli perniagaan dari Qatar itu mahu melihat kelabnya menang sambil berharap agar Champions League menyediakan acara pembukaan besar-besaran seperti acara separuh masa ketika di Super Bowl.

Beliau menganggap acara tahunan di Amerika Syarikat itu jauh lebih besar berbanding kejohanan utama di benua Eropah itu.

“Perlawanan akhir sepatutnya dibuat lebih besar.”

Jelas Al-Khelaifi kepada The Athletic sambil beliau terlupa yang lebih dari 400 juta orang menonton perlawanan akhir Champions League di kaca TV setiap tahun.

“Saya tak faham bagaimana Super Bowl boleh disambut lebih besar berbanding Champions League.”

“Super Bowl, dan secara amnya Amerika Syarikat sendiri ada mindset itu (Super Bowl lagi besar dari Champions League), kreativiti dan hiburan.”

“Itulah apa yang mahu saya cadangkan, untuk ada majlis pembukaan di Champions League, kita adakan perlawanan yang mana Juara akan bertemu dengan pasukan besar, mungkin ia bukan cadangan yang bagus, tapi setidaknya mari kita cuba lakukan itu.”

“Setiap perlawanan perlu ada acara khas dan hiburan tersendiri.”

Peminat bola sepak sebelum ini sememangnya menolak cadangan untuk melihat konsert besar-besaran sebelum sepak mula perlawanan akhir saingan Champions League.

Peminat terdahulu merasakan yang bola sepak itu sendiri sudah dianggap sebagai satu hiburan dan tak perlu ada hiburan lain menjadi selingan untuk menambah baik.

Berbeza dengan NFL, dengan mereka memerlukan hiburan khas dan hal itu sememangnya dituntut oleh para peminat sukan tersebut sendiri.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, NFL berjaya mencuri perhatian luar Amerika kerana memiliki acara persembahan menakjubkan ketika halftime.

Untuk acara halftime itu sahaja sudah boleh menarik jutaan tontonan kerana mereka kerap menggunakan artis terkenal untuk membuat persembahan.

Tahun ini bolehlah dianggap sebagai yang paling berjaya memandangkan mereka memanggil artis seperti Eminem, Snoop Dogg, Dr Dre, Mary J Blige dam Kendrick Lamar.

Barisan artis legenda itu bukan hanya memukau peminat di SoFi Stadium, bahkan peminat dari luar turut berpusu-pusu menonton acara tersebut di laman YouTube.

Video yang dimuat naik oleh NFL itu mendapat lebih 74 juta tontonan dan ia merupakan antara angka paling tinggi berbanding halftime show yang lain.

Ini bukanlah kali pertama Champions League dicadangkan supaya mengadakan acara besar-besaran dan mahu menarik penonton dari Amerika Syarikat.

Sebelum ini turut ada cadangan yang mencadangkan agar perlawanan terbesar Eropah itu dimainkan di luar benua Eropah dan New York dikatakan destinasi terbaik untuk menjadi venue.

Walau bagaimanapun, jelas sekali cadangan itu akan ditolak mentah-mentah kerana para peminat Eropah sudah tentu tidak mahu melihat hal itu berlaku.

Amerika Syarikat walau bagaimanapun bakal menjadi tuan rumah untuk acara Piala Dunia 2026 nanti bersama Mexico dan Canada.

Ia bakal menjadi kejohanan Piala Dunia kedua yang akan dilangsungkan di Amerika dengan yang pertama merupakan edisi pada tahun 1994.

Adakah mereka akan lakukan hal yang sama seperti Super Bowl di kempen Piala Dunia nanti? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Thibaut Courtois Terlalu Handal Untuk Liverpool