PSG Didakwa Sengaja Sensasikan Berita Mbappe Ke Barcelona Untuk Buat Real Madrid Cuak

Paris Saint-Germain (PSG) didakwa sengaja mensensasikan berita Kylian Mbappe bakal menyertai Barcelona kerana terdesak untuk menjual pemain itu.

Taktik tersebut turut dikhabarkan sengaja dilakukan oleh PSG untuk memberi tekanan kepada Real Madrid yang dikaitkan dengan Mbappe.

Barcelona adalah antara lima kelab yang dikaitkan dengan Mbappe selain Manchester United, Chelsea, Tottenham dan Inter Milan – selain minat daripada kelab Arab Saudi.

Laporan Mbappe bakal menyertai Barcelona sememangnya dilihat tidak masuk akal kerana situasi kewangan kelab itu.

Bagaimanapun laporan oleh L’Equipe yang bersetongkol dengan PSG mengatakan kelab Catalan itu sanggup membenarkan sehingga 7 pemain sebagai pertukaran untuk mendapatkan Mbappe.

Di sebalik semua laporan palsu itu kelab La Liga itu sebenarnya tidak pernah menghubungi PSG untuk mendapatkan Mbappe. Sumber daripada Barcelona pula berkata ia hanya khabar angin yang sengaja disensasikan.

Wartawan Sepanyol, Ferran Correas kemudiannya mendedahkan PSG sengaja menggunakan Barcelona untuk memberikan tekanan kepada Real Madrid yang dipercayai sangat yakin akan mendapatkan pemain itu secara percuma pada musim panas akan datang.

Sepanjang jendela perpindahan musim panas ini, Barcelona sudah mendapatkan tiga pemain dan semuanya adalah perpindahan secara percuma.

Barcelona setakat ini telah mengumumkan Ilkay Gundogan, Inigo Martinez dan Oriol Romeu sebagai rekrut baharu kelab itu yang didatangkan tanpa membayar walau sesen pun yuran perpindahan.

Perkembangan terbaru mendedahkan Mbappe menolak tawaran untuk menyertai Al Hilal di Saudi Pro League.

Ini bermakna PSG kini lebih terdesak untuk mencari alternatif lain untuk menjual Mbappe dan mengelak kehilangan pemain bintang mereka itu secara percuma pada Jun 2024.

BACA:  Berapakah Kerugian Barcelona Jika Tersingkir Dari UCL?