Puji Cara Man City Berbelanja, Guardiola Sifatkan City Akan Mati Jika Ikut Cara Chelsea

Manchester City sudah pasti akan berada di dalam tekanan yang anda tidak boleh bayangkan jika berbelanja seperti Chelsea, kata Pep Guardiola.

Chelsea baru saja melengkapkan perpindahan bernilai £53 juta untuk Romoe Lavia dari Southampton, dan ini bermakna kelab London itu kini telah membelanjakan lebih daripada £850 juta sejak diambil alih oleh Todd Boehly.

Dan Guardiola berkata City tidak akan terlepas daripada hukuman sekiranya membelanjakan amaun yang sama.

“Apa yang saya mahu katakan ialah jika kami melakukan perkara yang sama kami akan mati,” kata Guardiola.

“Ia lebih mudah mudah untuk Chelsea berbanding kami. Saya bukan mengkritik, mereka boleh lakukan apa sahaja mereka mahukan. Tetapi jika kami, maka kelab ini akan berada di dalam tekanan yang anda tidak boleh bayangkan.

“Saya tidak akan duduk di sini [dalam sidang media] jika kami berbelanja seperti Chelsea sejak dua jendela perpindahan yang lalu. Anda [media] akan membunuh saya.”

Untuk jendela perpindahan musim panas ini sahaja Chelsea telah membelanjakan £323 juta untuk lapan pemain, dan jumlah tersebut adalah yang tertinggi dibelanjakan berbanding mana-mana kelab Eropah yang lain.

Ia turut memecah jumlah rekod perbelanjaan yang digunakan untuk perpindahan pemain di rantau itu sejak Real Madrid membelanjakan £292 juta pada 2019.

Secara keseluruhan The Blues telah membelanjakan £857.3 juta sejak Boehly mengambil alih kelab itu pada Mei 2022. Sebagai perbandingan untuk tempoh masa yang sama City hanya membelanjakan £232 juta.

Tidak dinafikan perbelanjaan oleh City telah meningkat sejak kelab itu diambil alih oleh Sheikh Mansour pada 2018 dan kelab itu kini turut berhadapan 115 salah laku kewangan oleh Premier League.

City turut berhadapan dakwaan salah laku yang sama oleh UEFA pada 2020 dan digantung selama dua tahun daripada pertandingan Eropah. Tetapi hukuman tersebut kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Timbangtara Antarabangsa (CAS) kerana perkara berkaitan teknikal dakwaan.

Guardiola turut memuji cara City berbelanja mendapatkan pemain sejak beberapa tahun lalu dan berkata kelab itu sentiasa adil dalam membayar gaji pemain.

“Jika kami mampu melakukannya, kami akan lakukan. Kami akan sentiasa melakukan apa yang sepatutnya dengan membayar nilai yang kami percaya dan ia adalah adil.

“Kami juga pernah mahukan [Harry] Maguire, tetapi kelab gagal mencapai persetujuan dan kami tidak meneruskannya.

“Kami juga pernah mahukan [Marc] Cucurella, dan kami tidak membayar nilai yang dituntut. Begitu juga Alexis Sanchez, kami juga tidak sanggup membayar nilai yang dipinta.

“Kami hanya akan membayar nilai yang adil, atau kami akan menggunakan sahaja pemain dari akademi.”

Terbaru City turut dipercayai mengundur diri untuk mendapatkan Harry Kane dan Declan Rice kerana harga yang terlampau tinggi oleh kelab masing-msaing.

“Saya berpendapat kelab ini [City] amat bijak dalam perkara yang mereka lakukan. Kami berada di sini dengan tuntutan untuk menang setiap perlawanan dan bermain dengan baik.

“Strateginya adalah untuk menang tetapi kami tidak akan terdesak untuk melakukan perkara yang kami tidak percaya adil hanya untuk mendapatkan seorang pemain.

“Ada kelab [menghadapi masalah] mahu pemain mereka pergi dan ada kelab di mana pemain mereka kembali dari tempoh pinjaman – kami tidak mempunyai masalah sebegitu dan ia amat sihat di sini.

“Demikianlah strategi yang diamalkan di kelab ini sejak beberapa tahun lalu dan ia berkesan,” tambah Guardiola lagi.

BACA:  Premier League 2021/22: Southampton 0-6 Chelsea