Rakaman Audio Bocor Presiden Real Madrid Kutuk Iker Casillas dan Raul Gonzalez Penipu Besar

Satu ribut kencang telah bertiup di ibu kota Sepanyol selepas satu rakaman audio presiden Real Madrid, Florentino Perez, yang mengatakan Iker Casillas dan Raul sebagai penipu besar.

Secara totalnya, Raul dan Casillas mempunyai jumlah 43 tahun mereka bersama kelab tersebut, membantu Real Madrid memenangi La Liga sebanyak tujuh kali.

Raul berpindah ke Schalke pada tahun 2010, selepas musim terakhirnya di ibu kota Sepanyol tersebut dibelenggu dengan kecederaan. Sepanjang bersama Real Madrid, dia telah menjaringkan 300 gol – penjaring terbanyak kelab sebelum kedatangan Cristiano Rolando.

Penjaga gol Casillas pula meninggalkan kelab selepas tidak menjadi pilihan Jose Mourinho dan dipaksa keluar oleh pengurus berbangsa Portugis tersebut selepas beraksi lebih 700 kali buat Real Madrid.

Dengan rekod menakjubkan sebegitu, kedua-dua pemain ini diangkat sebagai lagenda kelab oleh para penyokong.

Namun begitu, satu rakaman audio yang dirakam pada tahun 2006 telah timbul dan disebarkan di mana Perez mengecam kedua-dua pemain ini.

Difahamkan, rakaman tersebut dibuat kira-kira enam bulan selepas dia meletakkan jawatan sebagai presiden kelab buat kali pertama selepas dikritik bahawa dia terlalu meletakkan fokus kepada jenama berbanding kejayaan bola sepak.

“Dia bukan seorang penjaga gol buat Real Madrid. Memang bukan dan dia tak pernah jadi pun.

“Dia tu dah jadi satu kegagalan yang kita duk bela,” Perez berkata tentang Casillas.

“Apa yang jadi adalah diorang tu (penyokong) suka sangat dengan dia, diorang sayang dia, diorang sembang dengan dia. Aku tak tahu lah kenapa diorang tu duk pertahan sangat dia tu.

“Jadi, itu sorang daripada penipuan besar, sorang lagi adalah Raul. Dua penipuan terbesar dalam Real Madrid adalah mula-mula Raul, dan kedua Casillas.”

Menurut rekod, Perez memang marah terhadap Raul, yang dituduhnya ingin menghancurkan kelab, dan meletakkan penyerang tersebut sebagai punca dia meninggalkan kerusi presiden kelab.

“Zinedine Zidane adalah seorang yang bagus. Dan David Bekcham dan Ronado…tapi lepas tu ada orang lain yang cakap.. apanama… Raul adalah seorang yang teruk,” ujar si Perez lagi.

“Dia rasa Madrid ni dia punya dan dia gunakan segala yang ada di Madrid, buat semua untuk kepentingan diri sendiri. Dia dengan ejen dia.

“Diorang tu lah punca kenapa Real Madrid main tak bagus [pada waktu itu].

“Weh, aku blah, antara sebabnya, dia lah. Dia tu seorang yang negatif, dia musnahkan Real Madrid.”

Selain itu, Perez turut menyatakan bahawa ada ramai lagi penjaga gol yang lagi bagus daripada Casillas.

“Kau boleh nampak yang ramai lagi penjaga gol yang lagi bagus daripada Raul.

“Kau memang boleh agak bila bila dia dengan makwe dia tak berapa nak elok, akal dia hilang.

“Dia tu maca budak..macam anjing kecil, boneka, macam budak-budak.”

Tersebarnya rakaman tersebut ternyata memalukan Perez memandangkan status Raul dan Casillas sebagai lagenda kelab dan negara.

Raul kini merupakan ketua jurulatih pasukan pelapis Real Madrid, Castilla, dan dia dikatakan antara calon untuk mengisi kekosongan kerusi pengurus pasukan utama selepas Zidane meletakkan jawatan. Walaubagaimanapun, jawatan tersebut diberikan kepada bekas pengurus, Carlo Ancelotti.

Selepas tular rakaman tersebut, Perez membalas semula, menyatakan rakaman tersebut disebarkan untuk memalukannya selepas kegagalan merealisasikan Liga Super Eropah.

“Dengan tersebarnya berita di El Confidencial, di mana ada percakapan yang merujuk kepada aku, aku rasa patut untuk aku beri penjelasan,” kenyataan tersebut berbunyi.

“Perbualan tersebut dirakam secara diam-diam oleh Encik Jose Antonio Abellan, yang telah cuba menjual rakaman tersebut sejak bertahun lalu tanpa berjaya.

“Mengejutkan la juga sekarang ni yang walaupun benda tu dah lama berlalu, akhbar El Confidencial, laporkan pula hari ini.”

Perez juga mengatakan bahawa perbualan tersebut hanyalah secebis kecil daripada perbualan yang panjang dan mempunyai konteks yang lebih besar.

Sumber : Mirror

BACA:  Media Sepanyol Dedah Man Utd Diam-Diam Risik Ancelotti Ganti Ten Hag