Ralf Rangnick Mengabaikan Permintaan Terbaru Dari Cristiano Ronaldo

Cristiano Ronaldo dilaporkan telah meminta Manchester United bermain formasi baru, dalam usaha untuk membenarkan beliau memberikan yang terbaik kepada skuad.

Formasi baru yang beliau cadangkan itu dilaporkan akan memberi ruang kepada Ronaldo untuk pamer aksi terbaiknya, namun malang untuknya permintaan tersebut ditolak oleh Ralf Rangnick.

Jelas sekali Cristiano Ronaldo sedang melalui detik yang tidak menggembirakan pada ketika ini, dengan aksinya di atas padang jelas merosot mendadak.

Pemain berusia 27 tahun itu hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja dari sembilan perlawanan terakhir Manchester United dalam semua pertandingan.

Paling mendukacitakan, beliau gagal untuk mencipta walau satu percubaan sekalipun ketika aksi bertemu Atletico Madrid dalam saingan Champions League baru-baru ini.

Beliau kini bukan hanya kecewa dengan persembahan buruknya di atas padang, namun Ronaldo turut tertekan dengan tekanan serta kecaman dari para penyokong.

Menurut satu undian yang dilakukan di laman twitter, hampir 50% penyokong Manchester United tidak mahu Cristiano Ronaldo kekal di Old Trafford selepas tamat musim ini.

Beliau semakin kecewa pada ketika ini selepas pengurus interim kelab juga tidak menunjukkan tanda sokongan kepadanya.

Ralf Rangnick dilaporkan menolak cadangan dari Cristiano Ronaldo yang mencadangkan agar United bermain formasi baru dalam usaha untuk beri ruang kepadanya dapatkan rentak persembahan terbaiknya.

Formasi baru itu selain berpotensi beri Ronaldo ruang untuk pamer aksi terbaik, ia juga dilaporkan boleh membantu para pemain lain untuk memiliki ruang agar mampu pamer aksi terbaik.

Menurut sumber laporan dari The Athletic, bekas bintang Juventus itu telah meminta Ralf Rangnick agar ubah sistem dan bermain dengan menggunakan dua penyerang.

Beliau meminta untuk digandingkan dengan seorang lagi pemain di posisi penyerang, namun bekas pengurus RB Leipzig itu menolak cadangan tersebut.

Laporan sama turut mendakwa yang Ronaldo bertemu sendiri dengan Ralf Rangnick untuk membincangkan hal tersebut selepas tamat aksi terikat 1-1 bertemu Southampton.

Beliau mungkin merasakan United perlu lakukan sesuatu untuk catatkan kemenangan kerana setan merah ketika itu mengharungi tiga perlawanan tanpa mencatatkan sebarang kemenangan secara berturut-turut.

Setan merah ketika itu mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Southampton dan sebelum itu turut mencatatkan keputusan sama bertemu Burnley dan Middlesbrough (kalah penalti Piala FA).

Masalah utama Man Utd dalam kesemua tiga perlawanan itu adalah ketumpulan jentera serangan mereka yang kerap mensia-siakan kesempatan emas untuk menjaringkan gol.

Ronaldo bersama beberapa pemain senior lain bertemu Ralf Rangnick untuk membincangkan hal tersebut, namun menurut laporan sama, beliau merupakan individu yang paling mahukan pertukaran sistem itu berlaku.

Antara masalah terbesar Ralf Rangnick untuk merealisasikan hasrat Ronaldo itu adalah beliau tidak mempunyai pemain terbaik yang boleh digandingkan bersama pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu.

Edinson Cavani terus bergelut dengan masalah kecergasan, sementara Marcus Rashford pula kerap dimainkan di posisi sayap dan jelas sekali beliau sedang tidak berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini.

Anthony Martial pula telah meninggalkan kelab untuk sertai Sevilla sebagai pemain pinjaman dan Mason Greenwood masih lagi sedang menjalani hukuman penggantungan.

Ketika awal-awal ketibaan Ralf Rangnick, beliau cuba menerapkan corak permainan 4-2-2-2 dan turut menggunakan sistem 4-4-2.

Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya mengubah sistemnya kepada formasi 4-2-3-1 sistem yang mana diguna pakai oleh Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini.

Jadi antara alasan mengapa Ralf Rangnick tak boleh nak ikut permintaan Cristiano Ronaldo adalah kerana beliau tidak ada pemain penyerang lain yang boleh digandingkan bersama legenda kelab itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ronaldo Ugut Kemas Beg Pulang Ke Rumah Selepas Bertekak Dengan Santos?