Reaksi Salah Ketika Ditanya Tentang Kedudukan Beliau Dalam Senarai Pemenang Ballon D’or

Bintang Liverpool, Mohamed Salah ketawa besar sambil menggeleng kepalanya ketika wartawan menyebut tentang kedudukan beliau dalam senarai pemenang anugerah Ballon D’or 2021.

Pemain kebangsaan Mesir yang kini berusia 29 tahun itu mempunyai rekod jaringan yang sungguh menakjubkan sejak dari musim lalu, dengan beliau cemerlang menjaringkan 31 gol dari 52 penampilan untuk Liverpool.

Salah juga turut dianggap sebagai antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak hari ini dengan beliau sepanjang musim ini telah mempamerkan aksi persembahan yang luar biasa dasyat.

Ketua pasukan kebangsaan Egypt itu telah berjaya menjaringkan 19 gol dari 19 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang musim ini untuk Liverpool.

Salah menambah lagi rekod jaringan beliau dalam saingan Premier League pada awal pagi tadi, dengan beliau meledak dua gol membantu The Reds membenam Everton 4-1 di Goodison Park.

Pemain sayap Liverpool itu berjaya menjaringkan 13 gol dari 14 penampilan dalam saingan Premier League sepanjang musim ini.

Beliau telah berjaya menempatkan diri dalam senarai 30 calon pemenang untuk anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

Beliau walau bagaimanapun sekadar berada di kedudukan ketujuh sahaja dalam senarai pemenang, dengan Salah berada di belakang pemain-pemain seperti Cristiano Ronaldo, N’Golo Kante, Karim Benzema dan Jorginho.

Bintang Paris Saint Germain, Lionel Messi berjaya untuk dinobatkan sebagai pemenang, seterusnya mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemain terhebat sepanjang zaman.

Messi memenangi anugerah Ballon D’or ketujuh beliau secara peribadinya dengan menewaskan pesaing terdekatnya, Robert Lewandowski dengan perbezaan mata yang sangat tipis.

Bercakap selepas kejayaan beliau membantu Liverpool menewaskan Everton 4-1, Salah tak mampu tahan ketawa ketika ditanya tentang kedudukan beliau dalam senarai pemenang anugerah Ballon D’or.

Ketika wartawan tanya mengapa, beliau sekadar menggeleng kepada dan menjawab:

“Saya tak ada komen.”

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp turut mempertikaikan tentang kedudukan Salah, dengan beliau merasakan The Egyptian King itu sepatutnya berada di kedudukan yang lebih baik.

Bercakap ketika sidang media sebelum perlawanan, beliau telah mendedahkan bahawa:

“Ia bukan di tangan saya. Ia adalah Ballon D’or yang diundi oleh wartawan? Maka ya, jangan tanya saya, itu salah kamu.”

“Jika kamu rasa dia patut berada di kedudukan lebih baik, maka kamu sepatutnya meyakinkan rakan sekerja kamu.”

“Kamu boleh berikan kepada Lionel Messi atas karier yang dia ada, semua hal seperti ini, tapi kemudian jangan bagi Lewandowski pada kali ini, sebab ia agak susah untuk menang. Mo jelas sekali sepatutnya berada di kedudukan lebih baik.”

Reaksi Salah yang hanya ketawa dengan soalan dan kedudukan beliau dalam senarai pemenang mencuri perhatian peminat.

Ramai yang beranggapan beliau sebenarnya rasa terhibur dengan penilaian dan cara bagaimana pemenang anugerah tersebut ditentukan.

Salah jelas sekali bukanlah pilihan utama untuk memenangi anugerah tersebut kerana Robert Lewandowski paling layak untuk dinobatkan sebagai pemenang anugerah Ballon D’or tahun ini.

Namun begitu, Salah sepatutnya berada di kedudukan yang lebih baik, berbanding berada di kedudukan ketujuh sahaja.

Salah hanya ketawa sahaja tentang Ballon D’or, namun ada pemain lain yang secara terbuka menghentam France Football berkait pemilihan pemenang.

Toni Kroos merupakan antara pemain yang secara terbuka menghentam pemenang anugerah Ballon D’or pada tahun ini, dengan beliau merasakan rakan sepasukannya, Karim Benzema individu paling layak untuk memenangi anugerah tersebut.

Legenda Real Madrid, Iker Casillas juga turut menghentam teruk keputusan untuk pemenang anugerah Ballon D’or pada tahun ini, dengan beliau menganggap anugerah bola sepak sebenarnya suka menyusahkan sesuatu hal yang mudah.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Inilah Sebabnya Kenapa Gavi Beri Reaksi Menyampah Ketika Diumum Pemenang Ballon d'Or