Real Madrid Siapkan Dana RM997.61 Juta Untuk Dapatkan Mbappe

Walaupun kontrak bersama PSG berbaki setahun, Real Madrid dikatakan sanggup membelanjakan €200 juta (bersamaan RM997.61) untuk mendapatkan Kylian Mbappe.

Menurut laporan oleh L’Equipe, Real Madrid kini memberikan komitmen untuk mendapatkan penyerang antarabangsa Perancis itu pada jendela perpindahan musim panas ini walaupun ia bermakna mereka perlu berbelanja besar untuk merealisasikan perpindahan tersebut.

Perkhabaran terbaru ini tiba beberapa jam selepas Mbappe menafikan spekukasi beliau memaksa perpindahan dan mendakwa dakwaan sedemikian hanyalah penipuan.

Mbappe dalam kenyataan tersebut berkata beliau memberikan komitmen penuh untuk terus bersama PSG sehingga kontraknya tamat pada 2024.

Walaupun demikian sekiranya Real Madrid benar-benar berminat dan sanggup melabur sedemikian, maka perpindahan Mbappe ke Estadio Santiago Bernabeu dilihat sebagai satu kemungkinan besar pada musim panas ini.

Kenyataan terbaru daripada Mbappe tidak akan menjejaskan pendirian PSG di dalam hal ini yang enggan pemain itu pergi secara percuma.

Ini selepas Mbappe dikatakan enggan menyambung kontrak beliau bersama kelab Parisian itu melangkaui musim panas ini.

Situasi tersebut juga bermakna ini adalah peluang terakhir untuk PSG mendapatkan sedikit pulangan dan tidak membenarkan Mbappe pergi secara percuma.

Selepas permergian Karim Benzema ke Arab Saudi, Real Madrid sememangnya sedang mencari seorang penyerang baharu sebagai pengganti.

Tiada keraguan tumpuan Los Blancos akan terarah kepada Mbappe selepas kelab itu menghentikan pemburuan terhadap penyerang Tottenham, Harry Kane.

Walaupun Real Madrid kini bersungguh untuk mendapatkan Mbappe, L’Equipe turut melaporkan kini terpulang kepada PSG untuk membuat keputusan melepaskan pemain itu.

PSG pula hanya memiliki dua pilihan iaitu untuk menerima tawaran daripada Real Madrid atau membenarkan Mbappe pergi secara percuma pada musim panas akan datang.

BACA:  El Clasico 2020/21: Barcelona 1-3 Real Madrid