Real Madrid Tolak Tawaran Tidak Masuk Akal Kelab Premier League £21 Juta Untuk Hazard

Real Madrid telah menolak satu tawaran yang tidak masuk akal dari sebuah kelab Premier League bagi mendapatkan pemain bermasalah prestasi, Eden Hazard dengan harga hanya £21 juta sahaja.

Menurut laporan dari media Sepanyol, kelab Premier League yang dimaksudkan itu adalah West Ham United dan tawaran ini walaupun agak gila namun satu cubaan yang baik dari The Hammer.

Pengurus pasukan West Ham United, David Moyes sangat berminat untuk mengikat pemain Belgium tersebut yang gagal memberi impak sejak menyertai Real Madrid dari Chelsea dengan nilai perpindahan £130 juta pada tahun 2019.

Eden Hazard yang kini berusia 30 tahun bergelut dengan kecederaan sejak mula menjejakkan kaki di Bernabeu dan hanya menjaringkan lima gol dalam 55 penampilan sepanjang tempoh dua musim setengah.

Akhbar Sepanyol, El Nacional telah mendakwa presiden Real Madrid, Florentino Perez telah hilang sabar dengan Eden Hazard dan terdesak untuk menjual pemain tersebut di jendela perpindahan bulan Januari.

Namun Florention Perez mungkin sekali lagi hilang sabar dan mungkin juga hilang akal mendengar jumlah tawaran yang dikemukakan oleh West Ham United itu.

Berdasarkan laporan tersebut, Perez mahu melepaskan Hazard namun harga yang akan membuatkan beliau setuju berbuat demikian adalah tidak kurang dari £43 juta.

El Nacional juga menyatakan bahawa Eden Hazard telah menolak sebarang potensi dan peluang untuk beliau berhijrah ke kelab jutawan segera, Newcastle United walaupun dihidangkan dengan kontrak lumayan.

Pemilik baharu Newcastle United dilaporkan sangat berminat untuk mendapatkan Eden Hazard sebagai major signing pertama sejak mengambil alih kelab tersebut.

Pemain Belgium itu tidak mahu ke Newcastle United kerana sedar akan risiko Newcastle akan terhumban ke liga bawahan dan lebih berminat ke Kota London.

Walaupun berada dalam kemerosotan prestasi yang panjang lagi teruk, Hazard tidak rela terhumban ke liga bawahan dan tanpa aksi Eropah.

Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti juga telah menyatakan bahawa beliau tidak akan menjadi batu penghalang jika Eden Hazard mahu pergi.

Bercakap pada bulan Oktober yang lalu, Ancelotti telah menyatakan pendirian beliau:

“Tidak pernah dalam karier aku sebagai jurulatih aku memaksa mana-mana pemain untuk kekal apabila mereka mahu pergi.”

“Hazard sudah bersedia tapi masalahnya sekarang adalah dia mempunyai jurulatih yang lebih cenderung menggunakan pemain lain. Ini boleh terjadi dalam pasukan seperti ini.”

Jelas disini, Hazard tidak berada dalam perancangan Ancelotti dan hanya akan digunakan jika perlu.

Penjaga gol Real Madrid dan juga rakan senegara Hazard, Thibaut Courtois mengakui bahawa ‘amat memalukan’ dengan apa yang terjadi kepada Hazard di La Liga.

“Saya sudah lama mengenali Eden dan tahu impiannya adalah untuk bermain untuk Real Madrid. Sayang sekali ia masih belum berjaya kerana semua orang mahukannya,”

“Saya dapat melihat bahawa dia telah mendapatkan semula keinginan, kegembiraan dan dia mahu membantu pasukan. Dia sedang mencari jalan untuk menjadi lebih baik.”

“Bukan mudah untuk mengembalikan prestasi terbaik anda apabila anda tidak bermain selama dua setengah tahun.”

“Dia telah menunjukkan sepanjang kariernya dia adalah salah seorang pemain terbaik di dunia. Dia tidak dapat menunjukkannya sejak kebelakangan ini, tetapi bakat itu tidak hilang dan saya pasti dia akan kembali, jadi kami tidak boleh membunuhnya kerana percaya dia adalah pemain biasa kerana dia tidak.”

Thibaut Courtois juga ketika mula menyertai Real Madrid dari Chelsea telah membuat beberapa aksi kelakar yang tidak masuk akal namun cepat memperkemaskan prestasinya untuk terus menjadi salah seorang penjaga gol terbaik dunia.

Kelab Divisyen Dua Belgium Mahukan Hazard

Sebuah kelab divisyen dua dari Belgium telah membuat kerja gila dengan membuat tawaran berani mati bagi mendapatkan Eden Hazard dari Real Madrid yang semakin hari semakin sendu.

Bekas pemain Chelsea itu telah diberikan tawaran oleh kelab KVC Westerlo yang beraksi di liga divisyen dua Belgium yang kini berada dipuncak liga dengan kelebihan 10 mata.

KVC Westerlo dilihat berpotensi besar untuk ke liga teratas Belgium, Belgian Pro League jika terus mengekalkan rentak mereka ketika ini sehingga ke akhir musim.

Pengarah sukan KVC Westerlo ialah Hasan Cetinkaya dilaporkan mempunyai hubungan secara peribadi yang baik dengan Eden Hazard menjadi punca kepada khabar angin perpindahan yang sangat aneh ini.

Dalam satu temuramah bersama Het Nieuwsblad, Hasan Cetinkaya telah berkata:

“Aku rasa aku boleh menganggap Eden Hazard ni sebagai kawan, pertama kali aku jumpa Hazard masa di dekat Lille. Dia berjanji dengan aku satu hari nanti dia akan bermain untuk Fernerbahce.”

“Untuk membolehkan Hazard datang ke KVC Westerlo pasti sangat sukar. Tapi kita tak tahu la kan? Hazard mungkin datang dan menamatkan kariernya disini.”

Lantaran kenyataan inilah yang telah diketahui media besar lalu menjadikannya suatu berita hangat tentang rumours perpindahan Hazard ke liga divisyen dua Belgium.

Ini merupakan satu impian besar yang penuh harapan yang lebih mendekati kepada sebuah fantasi daripada Hasan Cetinkaya. Angan-angan yang mungkin jadi kenyataan.

BACA:  Hazard Tidak Risau Dengan Statistik Buruk Beliau Musim Ini