Ronaldo Bakal Ambil Alih Tugas Fernandes Sebagai Pengambil Sepakan Penalti United

Bruno Fernandes 100 peratus tentunya akan menarik diri dari mengambil sepakan penalti untuk Manchester United selepas ini, bagi memberi ruang kepada Cristiano Ronaldo untuk melakukannya.

Ronaldo secara rasminya kini merupakan bintang Manchester United selepas ditandatangani dari Juventus, dan beliau tentunya bakal menjadi nadi utama dalam jentera serangan United.

Pemain berusia 36 tahun itu merupakan pengambil sepakan percuma dan penalti ketika tiga tahun kariernya bersama Juventus sebelum ini.

Namun legenda Manchester United, Rio Ferdinand percaya yang Ronaldo akan membenarkan Bruno Fernandes untuk mengambil sepakan percuma di Old Trafford.

Beliau ketika bercakap di podcast miliknya, telah menyatakan bahawa:

“Saya rasa Bruno akan mengalah untuk mengambil sepakan penalti, namun beliau mungkin akan tetap mengambil sepakan percuma dan sepakan penjuru.”

“Sepakan percuma yang berhampiran dengan kotak penalti akan jadi milik dia saya rasa. Saya juga yakin yang rekod dia akan mendesak dia untuk melakukan hal itu.”

Fernandes telah terlibat dengan lebih banyak gol untuk setan merah berbanding mana-mana pemain lain sejak beliau ditandatangani pada Januari 2020 yang lalu.

Kebanyakan gol yang dijaringkan oleh bintang Portugal itu datangnya dari situasi bola mati seperti sepakan percuma dan sepakan penalti.

Ferdinand kemudiannya menyambung lagi dengan menyatakan:

“Dia (Ronaldo) akan ambil sepakan penalti, 100 peratus saya jamin. Mereka juga akan bersetuju untuk benarkan dia ambil penalti, tapi sepakan percuma di sekitar kotak penalti akan diambil oleh Bruno Fernandes.”

Kedua-dua pemain tersebut merupakan bintang Portugal dan Ronaldo sememangnya bertanggungjawab ketika melibatkan sepakan penalti.

Ramai yang tertanya-tanya tentang bagaimana Ole Gunnar Solskjaer mahu mengimbangi jentera serangan dengan beliau kini memiliki ramai pemain berbakat.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or, Cristiano Ronaldo tentunya bakal menjadi tumpuan utama, sementara Fernandes pula telah memikul United di atas bahunya sejak 18 bulan kebelakangan ini.

Ferdinand fikir yang Fernandes akan dapat lihat gambaran yang lebih besar selepas ini dengan United sedang memburu gelaran Premier League pertama mereka dalam tempoh lapan tahun terakhir ini.

“Saya rasa Bruno nampak gambar jelas, yang Ronaldo akan bawa kita ke arah untuk memenangi Piala.”

Tambah Ferdinand lagi.

“Oleh yang demikian, peratusan untuk dia menjaringkan gol akan semakin berkurangan, namun harapan untuk beliau menjulang Piala akan semakin tinggi, jadi tentunya beliau akan sanggup untuk lakukan apa saja untuk itu.”

Ronaldo sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan yang cukup beremosi, yang mana beliau meluahkan tentang kegembiraannya kembali ke England selepas 12 tahun.

“Semua orang yang mengenali saya, tahu tentang kisah cinta mati saya terhadap Manchester United.”

Tulis Ronaldo di laman instagram miliknya.

“Tahun-tahun yang pernah saya lalui bersama kelab ini sungguh menakjubkan dan laluan yang kita lalui bersama ditulis dengan tulisan emas dalam sejarah yang hebat dan menakjubkan.”

“Saya bahkan tak mampu memulakan untuk menjelaskan tentang perasaan saya sekarang, dengan saya nampak berita kepulangan semula saya mencuri tumpuan dunia. Ia seolah impian jadi kenyataan, selepas segalanya yang berlaku, saya kembali beraksi bersama Man United, dan bahkan walau sebagai pemain pasukan lawan, saya selalu dapat rasa penghormatan dan kasih sayang dari para penyokong di stadium.”

“Ini merupakan 100% impian yang jadi kenyataan.”

“Liga domestik pertama saya, Piala pertama saya, kali pertama saya dipanggil sertai skuad kebangsaan Portugal, Champions League pertama, kasut emas pertama dan Ballon d’or pertama saya, semuanya lahir dari perhubungan istimewa antara saya dengan setan merah.”

“Sejarah telah ditulis pada masa lalu, dan sejarah baru akan sekali lagi ditulis! Pegang kata-kata saya.”

“Saya di sini! Saya kembali ke tempat selayaknya! Mari kita jadikan semuanya kenyataan sekali lagi!”

“PS- Sir Alex, ini semua untuk kamu…”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mark Goldbrige Mencuri Perhatian Peminat Kerana Tampil Pertahankan Ronaldo Dengan Penuh Bersemangat