Ronaldo Dihentam Kerana Menyokong Kenyataan Messi Tak Layak Menang Ballon D’or

Cristiano Ronaldo telah dihentam teruk oleh peminat kerana beliau dituduh tidak mempunyai semangat kesukanan yang tinggi, dan ada rasa iri hati terhadap kejayaan Messi.

Beliau dianggap begitu dek kerana Ronaldo telah meninggalkan komen yang menyokong kenyataan yang mengatakan Messi tak layak untuk dinobatkan sebagai penerima anugerah Ballon D’or.

Lionel Messi secara rasminya telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Ballon D’or pada tahun ini, selepas beliau menewaskan Lewandowski dengan perbezaan mata yang sangat tipis.

Walau bagaimanapun, kemenangan beliau itu sepertinya tidak disenangi oleh kebanyakan pihak terutama para penyokong.

Ia kerana ramai yang percaya Lewandowski sepatutnya lebih berhak untuk menerima anugerah tersebut atas apa yang beliau pamerkan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Lewandowski sepatutnya memenangi anugerah tersebut pada tahun lalu, namun ia telah dibatalkan dek kerana dunia sedang dilanda wabak pandemik.

Pada tahun ini, ramai yang percaya bintang Poland itu berhak untuk menang, namun hal itu tidak menjadi kenyataan kerana Messi sudah dinobatkan sebagai penerima anugerah Ballon D’or 2021.

Ronaldo dihentam kerana beliau meninggalkan komen ‘fakta’ pada muat naik yang memuji pencapaian beliau serta menghentam Messi memenangi anugerah Ballon D’or.

Akaun media sosial milik Cristiano Ronaldo, CR7 fan kemudiannya mengeluarkan kenyataan mempertahankan bintang Portugal itu dengan menyatakan yang Ronaldo tidak bermaksud seperti apa yang difikirkan.

Beliau menjelaskan yang Ronaldo sebenarnya sekadar mengetik tanda ‘suka’ dan meninggalkan komen ‘factos’ hanya kerana bersetuju dengan fakta tentang pencapaian beliau sahaja.

Walau bagaimanapun, hujah itu tidak diterima oleh peminat Messi, yang kemudiannya membalas semula kenyataan tersebut dengan menyiarkan semula muat naik Ronaldo di laman instagram miliknya yang menyatakan:

“Saya selalu mengucapkan tahniah kepada sesiapa sahaja yang menang, semangat kesukanan yang tinggi dan fair play merupakan faktor yang membimbing saya dari awal karier saya, dan saya masih kekalkan itu kerana saya tidak pernah menentang sesiapa.”

Pemain berusia 36 tahun itu memuat naik status tersebut kerana beliau menghentam penganjur Ballon D’or dan pengarah France Football, Pascal Ferre yang sebelum itu menyatakan:

“Ronaldo hanya ada satu matlamat, dan ia adalah dia mahu bersara dengan mengumpul lebih banyak Ballon D’or berbanding Messi. Saya tahu itu kerana dia beritahu saya.”

Cristiano Ronaldo walau bagaimanapun menegaskan yang kenyataan dari Pascal Ferre itu adalah tidak benar dan menganggap beliau telah difitnah.

Kerana terkesan dengan fitnah itulah beliau mengeluarkan kenyataan tersebut dan menegaskan yang dirinya tidak pernah iri hati terhadap kejayaan orang lain, dan akan sentiasa menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

Atas alasan sama juga peminat menghentam Ronaldo kerana secara terbuka telah menunjukkan sokongan beliau terhadap muat naik yang menghentam Lionel Messi.

Walau ramai yang bersetuju dengan hal tersebut, namun peminat merasakan Ronaldo tak sepatutnya menyokong hal itu secara terbuka.

Perdebatan antara penyokong Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sudah sememangnya sentiasa panas dengan kedua-dua puak tidak pernah bersetuju dengan pendapat masing-masing.

Tindakan Ronaldo meninggalkan komen pada muat naik tersebut jelas sekali memberi ruang kepada para pengikut Lionel Messi untuk menghentam beliau dan menganggap beliau sekadar iri hati.

Cristiano Ronaldo sudah pernah memenangi lima gelaran Ballon D’or sepanjang kariernya, dengan kali terakhir beliau membawa pulang bola emas itu adalah pada tahun 2017 yang lalu.

Beliau kini kembali beraksi bersama Manchester United dengan Ronaldo berjaya membuktikan ketajaman serta kualiti penyudah yang beliau miliki dengan menjadi penjaring gol utama United.

Walau aksi skuad setan merah sedikit tidak menentu pada ketika ini, namun Ronaldo tetap cemerlang meledak gol untuk membantu United mengelak dari kekalahan.

Beliau sudah dua kali menjadi wira penyelamat United, dengan menjaringkan gol penting di minit akhir permainan dalam aksi saingan Champions League.

Kehebatan Ronaldo berjaya membantu United untuk mara ke aksi kalah mati saingan Champions League pada musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Website Dewasa Tawarkan $10 Juta Kepada Barca Sebagai Dana Tambahan Untuk Kekalkan Messi