Ronaldo Palau Townsend Yang Meniru Keraiannya

Cristiano Ronaldo menunjukkan reaksi tidak gembira selepas tamat aksi seri 1-1 bertemu Everton di Old Trafford malam semalam.

Sebaik wisel penamat dibunyikan, bintang Portugal itu dengan segera meninggalkan padang sambil mulutnya tak henti membebel (apa dia bebel masih belum diketahui).

Pada masa sama juga, Andros Townsend cuba mendekati pemain terhebat dunia itu untuk berbual, ucap tahniah, bagi semangat, minta maaf atau apa sahaja yang mahu beliau lakukan.

Namun Ronaldo jelas tidak berminat untuk beramah mesra dengan beliau terus sahaja masuk ke terowong untuk meninggalkan padang sambil mulutnya masih tak henti-henti membebel.

Ramai yang percaya Ronaldo sebenarnya bengang dengan Townsend kerana meniru gaya keraian beliau di Old Trafford ketika menjaringkan gol penyamaan untuk Everton ikat setan merah 1-1.

Gol penyamaan Everton itu berpunca dari satu serangan balas yang dimulakan oleh Demarai Gray yang mudah merampas bola dengan kekuatan badan membuatkan Fred terhuyung-hayang.

Demarai Gray kemudian menolak bola kepada Abdoulaye Doucoure yang berjaya lepas dari asakan tiga pemain Setan Merah sebelum melorongkan bola kepada Andros Townsend.

Andros Townsend yang tidak dikawal mempunyai masa dan ruang yang secukupnya untuk membuat satu percubaan yang dijelmakan sebagai gol penyamaan.

Lebih padu lagi apabila gol itu telah diraikan Andros Townsend dengan keraian Siu yang menjadi cap dagang Cristiano Ronaldo di hadapan peminat Setan Merah di Old Trafford.

Ia merupakan gol kelima untuk Andros Townsend sepanjang musim ini bersama Everton dalam semua pertandingan.

Townsend bukan hanya menjaringkan gol untuk mencuri satu mata, beliau bahkan mencuri keraian siu di hadapan penyokong setan merah dan disaksikan sendiri oleh pemilik keraian tersebut.

Walau bagaimanapun, Ronaldo sebenarnya bukanlah bengang dengan Townsend kerana hal itu, beliau hanya kecewa kerana United gagal untuk mengutip tiga mata penuh.

Walau beliau palau Townsend di atas padang, namun ketika masuk ke bilik persalinan, Ronaldo tetap menghargai bintang Everton itu dengan menyerahkan jersinya.

Bekas bintang Crystal Palace itu mengakui yang beliau tiada niat jahat berkait keraiannya itu melainkan hanya menunjukkan rasa hormat pada idolanya Cristiano Ronaldo.

“Kamu tahu, ia bukanlah tak menghormati, tapi dia merupakan idola saya. Saya membesar menyaksikan dia, habiskan berjam-jam di atas padang untuk berlatih memahirkan teknik dia, mungkin saya perlu ambil masa lebih lama untuk berlatih keraian. Itu semua tanda saya menghormati Cristiano Ronaldo.”

Setan Merah terlebih dahulu mendahului perlawanan pada separuh masa pertama menerusi Anthony Martial hasil umpanan Bruno Fernandes.

Walau sering dimaki, Martial akhirnya berjaya juga menjaringkan gol pertamanya sejak Februari lalu, dan lebih manis lagi, ia merupakan gol yang sangat padu.

Tolakan Bruno Fernandes terus dirembat deras oleh Anthony Martial yang gagal diselamatkan Jordan Pickford selepas bola ada sedikit terbias terkena pemain Everton.

Pada minit ke-85 pemain pertahanan Everton, Yerry Mina berjaya menggandakan kedudukan melalui satu tolakan mudah dari jarak dekat.

Namun Video Assistant Referee (VAR) menjadi penyelamat Setan Merah, melalui penilaian semula VAR jelas Yerry Mina berada dalam kedudukan offside.

Buang masa menari berjoget sakan sambil isap ibu jari, sekali gol batal, dah tak pasal-pasal kena ejek balik dengan penyokong setan merah. Padan muka.

Perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1 seterusnya menjadikan United kini hilang lima mata dari dua perlawanan terakhir mereka dalam saingan Premier League di Old Trafford.

Selepas kekalahan 1-0 bertemu Villa, mereka kini hilang dua lagi mata kerana hanya mampu mencatatkan keputusan seri sahaja.

Perjalanan United untuk mencabar kejuaraan liga semakin terjejas selepas mereka beberapa kali keciciran mata pada musim ini.

Walau dibanjiri pemain bintang, namun mereka tetap gagal untuk mempamerkan aksi persembahan terbaik sebagai satu pasukan.

Manchester United selepas ini akan berkunjung ke King Power Stadium untuk beraksi bertemu Leicester City dalam aksi saingan Premier League.

Sumber: ESPN

BACA:  Rekod Milik Soh Chin Ann Antara 11 Rekod Yang Ronaldo Bakal Pecahkan