Ronaldo Persoal Anugerah Puskas Yang Diterima Salah, Dakwa Gol Beliau Lebih Cantik

Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo percaya gol ‘bicycle kick’ beliau musim lepas sepatutnya memenangi anugerah Puskas dan mendakwa gol tersebut sebagai gol paling cantik antara semua gol yang dicalonkan untuk anugerah tersebut.

Ronaldo menjaringkan gol lipatan gunting itu ketika bersama Real Madrid menentang Juventus musim lepas dalam peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah. Ronaldo melompat tinggi untuk melibas bola dari belakang seterusnya menewaskan Gianluigi Buffon yang hanya mampu melihat. Gol tersebut juga menyaksikan peminat Juventus bangun untuk memberikan tepukan penghargaan kepada Ronaldo.

Kembang bontot rakyat Egypt dan peminat Liverpool melihat Salah merangkul anugerah Puskas

Dalam anugerah FIFA yang berlangsung minggu lalu, Mohamed Salah merangkul anugerah Puskas selepas menerima undian tertinggi dari peminat seluruh dunia. Beliau menjaringkan gol tersebut ketika menentang Everton musim lepas dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Banyak pihak tidak berpuas hati dengan penganugerahan tersebut sambil menyifatkan Ronaldo sebenarnya lebih layak untuk mememangi anugerah tersebut. Sama seperti ketika Faiz Subri memenangi anugerah Puskas dua tahun yang lalu, kali ini jutaan rakyat Egypt menggembleng tenaga mengundi Salah untuk memenangi anugerah Puskas.

Ditambah pula peminat Liverpool seluruh dunia yang terdesak untuk melihat Salah tidak pulang dengan tangan kosong dari majlis FIFA tersebut.

Jangan menipu, gol aku sebenarnya paling cantik. Bukan Salah

Ia merupakan malam yang mengecewakan buat Ronaldo kerana beliau gagal memenangi sebarang anugerah walaupun disenarai pendek untuk anugerah ‘Men’s Best Prize’ dan Puskas. Bagi anugerah pemain lelaki terbaik, Ronaldo terpaksa akur kepada bekas rakan sepasukannya, Luka Modric yang muncul pemain pertama memecahkan dominasi Ronaldo dan Messi selepas 10 tahun.

Mujurlah Ronaldo tidak hadir dalam majlis tersebut kerana komitmennya terhadap Juventus. Namun demikian, dalam satu sesi ‘Q & A’ di Instagram beliau, Ronaldo memberi komen mengenai kegagalan beliau memenangi anugerah Puskas.

“Salah berhak memenangi anugerah Puskas kerana beliau menjaringkan gol yang cantik.”

“Tetapi secara jujurnya, gol saya adalah gol yang paling cantik. Saya berasa agak kecewa tetapi itu lumrah kehidupan. Kadang kala anda menang, kadang kala anda kalah.”

Gol Bale ketika final UCL musim lepas juga tercalon

“Apa yang lebih menggembirakan saya adalah sepanjang 15 tahun karier bola sepak, saya berjaya mengekalkan tahap prestasi yang sama.”

Selain Ronaldo dan Salah, gol jaringan Gareth Bale ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu menentang Liverpool turut tercalon. Ia hampir sama seperti Ronaldo kerana kedua-duanya merupakan ‘bicycle kick’.

Tetapi Ronaldo melakukan jaringan tersebut terhadap Buffon, salah seorang penjaga gol terbaik sepanjang zaman. Manakala Bale melakukannya terhadap Loris Karius, penjaga gol Liverpool yang telah ditendang keluar musim ini kerana tidak cukup bagus untuk Liverpool.

BACA:  Salah Tidak Akan Dapat Kontrak Yang Selayaknya Kerana Dia Orang Afrika