Salah Tidak Akan Dapat Kontrak Yang Selayaknya Kerana Dia Orang Afrika

Mohamed Salah tidak akan mendapat kontrak yang beliau selayaknya terima kerana Salah merupakan orang Afrika, kenyataan keras itu hadir dari bekas pemain Liverpool, El Hadji Diouf.

Pemain Sayap lincah itu kini masih lagi bermain tarik tali dengan Liverpool sejak awal musim berkenaan kontrak baharu apabila kontraknya kini akan tamat pada musim panas 2023.

Pemain legenda Liverpool, El Hadji Diouf telah memberi amaran kepada pemain bintang berusia 29 tahun itu bahawa Salah tidak akan dapat apa yang diminta kerana tempat kelahirannya.

Bekas penyerang Senegal itu merupakan satu-satunya pemain no.9 dalm sejarah Liverpool yang menghabiskan musim tanpa menjaringkan gol.

Namun begitu El Hadji Diouf telah menggesa Mohamed Salah supaya tidak meninggakan Liverpool walaupun mendapat tawaran dari kelab gergasi Real Madrid dan Barcelona yang menjadi destinasi akhir pemain ketika di puncak karier.

El Hadji Diouf berpendapat Mohamed Salah masih lagi mampu menjana pendapatan yang lebih dan memenangi lebih banyak trofi jika terus kekal bersama Liverpool.

Bekas pemain yang sering terpalit dengan kontroversi itu merasakan Liverpool patut menerima segala permintaan Salah.

Ketika bercakap kepada beIN SPORTS, El Hadji Diouf berkata:

“Sangat jelas bahawa Liverpool patut menerima tuntutan yang dimahukan Salah.”

“Jika aku Salah, aku akan kekal di Liverpool, dia boleh memperoleh lebih banyak wang, dia adalah pemain terbaik di kelab itu bersama-sama dengan [Sadio] Mane dan bersamanya mereka akan memenangi banyak trofi.”

“Dia berusia 29 tahun dan aku minta dia bermain empat tahun lagi bersama The Reds.”

“Perpindahan ke Real Madrid bermakna dia perlu bermula dari awal semula sekali lagi.”

The Reds sedang giat berusaha untuk mengikat Salah dengan kontrak baharu, tetapi tuntutan gaji nampaknya menjadi batu penghalang.

Dipercayai dia mahukan £400,000 seminggu, dengan Diouf mendakwa Salah akan dipandang berbeza kerana latar belakangnya.

Dia menambah:

“Salah mesti sedar bahawa dia adalah orang Afrika, jadi mereka tidak akan melayannya seperti orang Eropah dan mereka tidak akan memberikannya kontrak terbaik seperti yang lain.

“Perkara yang sama berlaku kepada aku semasa aku di Liverpool, mereka memberitahu aku supaya tidak pulang negara aku untuk bermain bersama dengan pasukan kebangsaan aku .”

Salah sangat prolifik sejak kembali ke England, Sejak dibentuk Jurgen Kloop, Salah menjadi pemain sayap yang mampu menjadi mesin gol, setakat ini Salah telah menjaringkan lebih 150 gol untuk Liverpool.

Dia telah membantu pasukannya menjulang Liga Perdana dan Liga Juara-Juara, setelah mencipta nama selaku pemain bola sepak antara yang terbaik di dunia di Anfield.

Beberapa minggu yang lalu, Salah dilaporkan telah menolak kontrak baharu yang ditawarkan Liverpool selepas tidak bersetuju dengan terma yang ditawarkan oleh kelab paling hebat di muka bumi itu.

Sedikit melegakan buat Liverpool adalah Salah mahu terus untuk kekal di Anfield dan berpendirian bahawa segalanya kini terletak ditangan kelab untuk membuat keputusan.

Namun pengurus Salah telah menjalankan tugasnya dengan baik dengan memuat naik status yang menimbulkan keraguan serta spekulasi bagi menekan kelab untuk memenuhi permintaan.

Liverpool tidak mahu memenuhi permintaan gaji Salah yang dilaporkan setinggi £400,000 seminggu dan ada melaporkan Salah mahukan £500,000.

Jika permintaan Salah dipenuhi maka struktur gaji yang diguna pakai Liverpool kini akan musnah dan akan ada pemain yang akan mahukan gaji yang tinggi seperti Salah.

Tidak pasti berapa nilai sebenarnya yang diminta oleh Salah dan tiada kepastian juga berapa yang Liverpool tawarkan kepadanya, namun apa yang pasti bukan kerjasama, tapi Salah telah menolak tawaran Liverpool.

Situasi ini menyebabkan penyokong Liverpool berbelah bahagi ada yang menyokong kelab dan ada yang mahu Salah diberikan apa yang diminta kerana Salah penting untuk pasukan.

BACA:  Al Ittihad Percaya Usaha Dapatkan Salah Hanya Tertangguh Sementara