Roy Keane ‘Tibai’ Man Utd Tanpa Belas Selepas Aksi Kekalahan Memalukan Bertemu Man City

Roy Keane tampil untuk menghentam barisan pemain Manchester United dengan kritikan-kritikan yang sungguh luar biasa pedas.

Tidak keterlaluan untuk katakan dari awal beliau mula bicara sehingga akhir kata darinya, ia merupakan sesuatu yang sangat menarik untuk disaksikan.

Skuad kendalian Ralf Rangnick didominasi teruk oleh seteru sebandar mereka, Manchester City dalam aksi Manchester derby awal pagi tadi.

Kevin De Bruyne yang dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini berjaya membuka tirai jaringan untuk The Citizens seawal minit ke-4 permainan.

Bintang Belgium itu juga merupakan masalah terbesar untuk barisan pertahanan Man Utd yang benar-benar bergelut untuk mengawalnya.

Jadon Sancho kemudiannya berjaya menjaringkan gol penyamaan dengan menjaringkan gol yang sangat cantik pada minit ke-22 permainan.

Gol jaringan dari Jadon Sancho itu seolah menghidupkan harapan United untuk kembali bangkit dalam perlawanan ini.

Walau bagaimanapun, barisan pertahanan setan merah sepertinya tidak mahu ada harapan itu dengan mereka kemudiannya membenarkan City menjaringkan gol kedua dalam perlawanan ini.

Kevin De Bruyne sekali lagi meledak gol untuk memastikan Man City mendahului perlawanan dengan keputusan 2-1.

Bermula dari situ, skuad kendalian Pep Guardiola itu tidak henti-henti melancarkan serangan dan mendominasi sepenuhnya perlawanan ini.

Riyad Mahrez turut berjaya meledak dua gol untuk menambah derita United, seterusnya mengesahkan kemenangan 4-1 City menewaskan Man Utd.

Aksi persembahan yang dipersembahkan oleh para pemain Man Utd telah mencetuskan kemarahan para penyokong, termasuk legenda kelab Roy Keane.

Bekas ketua pasukan setan merah itu tampil menghentam skuad Man Utd tanpa belas selepas aksi kekalahan memalukan bertemu City itu.

“Kita semua boleh nampak kelemahan Man Utd hari ini, cara bagaimana United kalah dalam perlawanan ini dengan mereka berhenti berlari.”

Jelas Keane di studio Sky Sports.

“Tak ada larian semula untuk mengejar bola, ia sesuatu yang langsung tak boleh diterima ketika kamu bermain untuk Man United dan aku rasa mereka semua dah campak kain putih.”

“Mereka turun berdepan pasukan hebat, tapi kau perlu lakukan tackle, kau perlu lari, ia merupakan gambaran di mana kedudukan kelab, mereka jauh kebelakang dari pasukan lain.”

“Kita dengar masalah tentang pengurus baru masuk tapi kau ada ego untuk kau jaga kononnya.”

“Aku betul-betul kecewa, aku boleh maafkan kesilapan, tapi kau kena pertaruhkan segalanya.”

“Wan-Bissaka, Fred, Maguire, Rashford tolonglah, menyerah lepas empat gol dan City tak perlu pamerkan aksi terbaik mereka langsung. Memalukan betul.”

“Ketika bola ketiga masuk, perlawanan dah tamat, mereka dah campak kain putih, mereka dah menyerah.”

“Ketika dengar hal tentang Ronaldo sebelum perlawanan, itu merisaukan aku, itu adalah benda yang pengurus letakkan kelab dalam situasi bahaya sekali lagi, buat temu bual sebelum perlawanan, mesti ada sesuatu jadi disebalik semua ni, mereka tak pandai tutup.”

“Ini perlawanan derby, kau perlu berhabis-habisan, tapi De Bruyne boleh lakukan tap in dari jarak tujuh ela dalam tempoh kurang lima minit.”

“United ada tunjukkan detik terbaik, tapi itu tak cukup, gol Sancho memang hebat tapi selepas itu United langsung tak boleh bermain.”

“Ia langsung tak bagus untuk ada moment sendiri dalam satu perlawanan, permainan berjalan selama 90 minit dan kau tak boleh terus macam tu sepanjang masa.”

“Aku tak rasa pengurus boleh buat apa-apa sangat untuk bawa perbezaan tapi bila dia buat pertukaran, semangat juang tu hilang.”

“Aku tak tahu siapa yang kawal bilik persalinan. Tengok Maguire, dia main dengan teruk, adakah dia berbalah dengan Ronaldo? Soal kepimpinan semua ni?”

“Semua tentang ego, kau perlu ketepikan ego kau, diorang ni semua nampak macam, ‘Macam mana rupa aku? Boots aku cantik tak? Rambut aku nampak elok ke tak?’ main je lah bola tu!”

“Kau di Man Utd, kita semua perlu tengok pada penyokong di belakang gol dan mereka tahu, mereka bukan bodoh, pasukan yang mereka sokong ni sedang menyerah.”

“Kita dengar banyak sangat sampah merata sejak beberapa hari kebelakangan ini, kita pernah dengar juga sebelum ini, lepas tu nanti ada kenyataan, ‘Maaf tentang itu, kami akan cuba lagi minggu depan’. Apa yang kau buat di atas padang itu lah apa yang aku minat nak tengok, bukan sampah-sampah lain.”

Kekalahan memalukan Man Utd ini menyebabkan mereka dipintas oleh Arsenal dalam carta saingan liga dengan mereka kini berada di kedudukan kelima.

Man City sementara itu berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di puncak saingan liga dengan mengatasi Liverpool dengan kelebihan enam mata.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Premier League 2020/21: Burnley 0-1 Manchester United