Safiq Percaya JDT Mampu Tumpaskan Muangthong United Kali Ini

Kapten Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim percaya pasukan JDT kali ini mampu menewaskan Muangthong United dan mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.

JDT bakal memulakan musim 2018 dengan berkunjung ke Thailand bagi menghadapi cabaran getir dalam pusingan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia menentang Muanthong United.

Maestro tengah JDT yakin dengan peluang yang dimilik pasukannya

Muangthong United bukanlah lawan yang asing buat JDT. Mereka pernah berentap 2 tahun yang lalu dalam peringkat yang sama dan JDT tewas dalam perlawanan tersebut melalui sepakan penalti.

Tahun ini bakal menjadi perlawanan ke-3 JDT menentang lawan dari Liga Thailand dan Safiq Rahim berpendapat pasukannya lebih bersedia kali ini bagi menghadapi cabaran pihak lawan.

Pemenang bagi perlawanan ini akan melalui satu lagi pusingan kelayakan sebelum layak bermain dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia, iaitu menentang pasukan dari J-League, Kashiwa Reysol.

Dalam satu temuramah bersama AFC, Safiq Rahim telah bercakap mengenai persiapan pasukan JDT dan kekuatan pasukan lawan.

Menang dulu baru kita sembang pasal Jepun

“Kami bersedia untuk mengharungi pusingan kelayakan tahun ini menentang Muangthong United. Kami tahu Muangthong adalah pasukan yang hebat kerana kami pernah menentang mereka pada tahun 2016.”

“Tapi tahun 2018 merupakan perkara yang lain. Kami mahu mencipta keputusan yang lebih baik. Pada pendapat saya, semua pemain Muangthong adalah pemain yang bagus. Jika kami bermain pada tahap tertinggi dan mengikut segala arahan yang diberikan, saya percaya JDT akan memperolehi keputusan yang positif.”

JDT sebelum ini telah mengadakan 3 perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Thailand sebagai persediaan pra-musim. Safiq percaya perlawanan persahabatan ini akan banyak membantu pasukannya dalam mengenalpasti kekuatan yang dimiliki Muangthong.

“Kami sudah mengenali budaya Thailand, teknik dan taktik yang digunapakai oleh mereka. Kami juga sudah kenal dengan suasana perlawanan dan corak permainan setiap pasukan dari Thailand.”

Apabila ditanya adakah JDT yakin dapat melepasi halangan Kashiwa Reysol andainya mereka berjaya menewaskan Muangthong, Safiq berkata JDT perlu terlebih dahulu menumpukan perhatian pada perlawanan Muangthong sebelum memikirkan mengenai Kashiwa Reysol.

Safiq mengidam beraksi dalam ACL sebelum pencen dua,tiga tahun lagi

“Perkara paling penting buat kami adalah perlawanan kelayakan menentang Muangthong dan jika kami menang, barulah kami boleh membuat persiapan bagi perlawanan seterusnya. Jika kami kalah, kami tidak akan dapat pergi ke Jepun. Jadi kami perlu menumpukan perhatian kepada Muangthong terlebih dahulu.”

Tahun 2018 bakal menyaksikan Safiq berpeluang mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia, memenangi liga domestik, dan membimbing Malaysia menjuarai Piala AFF. Apabila ditanya pertandingan manakah yang menjadi sasaran utama beliau, Safiq menjawab:

“Saya mahu JDT layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia terlebih dahulu. Pertandingan ini merupakan impian peribadi saya.”

“Saya mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia sebelum saya bersara dari bolasepak 2 atau 3 tahun yang akan datang.”

BACA:  Corbin Ong Dahului Undian Bek Kiri Terbaik AFC Champions League 2022/23