Saiz Martinez Bukan Ukuran, Jaap Stam Pertahan Lisandro Martinez

saiz martinez

Bekas pemain pertahanan Manchester United, Jaap Stam telah tampil mempertahankan Lisandro Martinez yang dikecam hebat kerana saiz Martinez yang menjadi ukuran bagi seorang pemain pertahanan.

Kehadiran Lisandro Martinez di Premier League yang rata-ratanya dibarisi pemain tegap tinggi lampai telah dipandang enteng apatah lagi dengan persembahannya pada dua perlawanan awal.

Lisandro Martinez yang berusia 24 tahun mempunyai ketinggian 5 kaki 9 inci kini merupakan pemain pertahanan tengah paling rendah dan comel di Premier League.

Pengulas bola sepak telah melabel Lisandro Martinez sebagai lubuk apabila dengan mudah telah dibuli oleh Danny Welbeck dan Ivan Toney ketika dua perlawanan awal Manchester United menentang Brighton & Hove Albion dan Brentford.

Persoalan terus tercetus samada Lisandro Martinez akan berjaya meneruskan kelansungan karier di Premier League yang penuh fizikal itu.

Selepas dua kekalahan awal, Manchester United kembali bangkit dengan mencatatkan 4 kemenangan berturut-turut selepas Raphael Varane digandingkan bersama Lisandro Martinez.

Secara statistiknya, Martinez telah memenangi 8 perebutan bola di udara dan hanya tewas 3 kali. Martinez juga telah melakukan 11 clearance melalui tandukan dan mencatatkan 2 clean sheets dalam 6 perlawanan.

Lantaran itu Martinez secara tidak langsung telah menutup mulut pengkritik dan membuktikan dia bukan sahaja mampu bersaing malah boleh menjadi pemain terbaik dunia jika prestasi dipamerkan secara konsisten.

Saiz Bukan Ukuran!

Jaap Stam telah tampil membela Martinez untuk menafikan kutukan dari pengulas bola sepak, bagi Stam saiz Martinez bukan ukuran serta telah menggariskan kelebihan yang ada pada Martinez iaitu:

1. Kualiti bersama bola.
2. Kualiti ketika bertahan.
3. Bagus dalam komunikasi.

Bercakap kepada MEN, Stam telah berkata:

“Satu benda mudah, pada hari Martinez diikat Manchester United, aku sudah cakap mereka pasti akan bercakap mengenai ketinggiannya.”

“Di England, semua orang berfikiran seorang centre-back yang kau perlukan ada seorang yang besar dan tinggi, jika tidak kau tidak akan berjaya.”

“Perkara sebenarnya adalah kau perlu lihat kepada gambaran lebih besar bagaimana pengurus mahu bermain kerana itulah perkara paling penting.”

“Dia mahu main berasaskan penguasaan bola, bermakna kau perlukan pemain dibelakang yang sangat selesa ketika bersama bola.”

“Benda tentulah, kadang-kadang dia akan mendapat kejutan, tapi benda itu juga terjadi dekat pemain handalan, mereka pun buat silap juga.”

“Martinez telah menunjukkan kualiti bersama bola, dia tunjukkan kualiti ketika dia bertahan dan komunikasinya disekeliling adalah bagus. Dia hanya perlu teruskan kualiti ini.”

Selepas dikritik hebat oleh pengulas bola sepak dan media di England, Lisandro Martinez sendiri telah memberi reaksi balas akan tuduhan dia akan bergelut kerana saiznya itu.

Bercakap kepada TyC Sports, Martinez telah berkata:

“Aku tak peduli dengan kritikan, aku percayakan diri sendiri dan percayakan kemampuan aku.”

“Aku sentiasa bekerja keras. Itulah yang akan memberi keputusan yang aku mahukan. Secara jujurnya, ini sebenarnya mimpi menjadi kenyataan bermain di kelab gergasi seperti Manchester United.”

“Terutamanya beraksi di Premier League yang merupakan salah satu liga terbaik di dunia, aku sangat gembira.”

Graeme Souness yang sebelum ini sangat berdendam dengan Paul Pogba antara yang keras mengkritik apabila dengan yakin menyatakan Lisandro Martinez akan gagal di Premier League.

Tanpa beralas, Graeme Souness telah melabel Martinez sebagai seorang pemain yang tidak mempunyai kelebihan langsung dan seorang pertahanan yang tidak bijak.

“Aku fikir Martinez akan diuji dengan teruk di Premier League. Dia langsung tidak mempunyai sebarang keistimewaan.”

“Martinez terlalu mudah turun ke tanah, pertahanan yang bijak akan terus berdiri.”

Ternyata Graeme Souness salah lagi buat kali ke berapa, apabila Martinez membuktikan sebaliknya dan sudah mula disayangi penyokong Manchester United. Ternyata saiz Martinez bukan ukuran.

BACA:  Video Kompilasi Hantaran Bola Lisandro Gomez Buatkan Penyokong Man United Meleleh Air Liur