Video Kompilasi Hantaran Bola Lisandro Gomez Buatkan Penyokong Man United Meleleh Air Liur

Manchester United semakin hampir untuk mendapatkan pemain pertahanan Ajax, Lisandro Martinez, pada harga £46 juta selepas kedua-dua kelab dikhabarkan sudah mencapai kata persetujuan berkenaan yuran perpindahan.

Ajax terpaksa menerima hakikat bahawa mereka tidak lagi mampu untuk mengekalkan pemain terbaik mereka pada musim lalu selepas ketukan demi ketukan di pintu daripada United, atau lebih tepat lagi daripda bekas pengurus mereka musim lalu Erik ten Hag.

Ketibaan Martinez ke Old Trafford nanti bakal menyaksikan pasukan tersebut menjual pemain pertahanan sedia ada seperti Eric Bailly, Axel Tuanzebe dan Phil Jones, demi memastikan mereka tidak mempunyai penumpang di barisan pertahanan.

Tambahan pula, mereka sudah mempunyai pertahanan terbaik dunia, Harry Maguire, serta Raphael Varane dan Victor Lindelof – sekaligus memberikan ten Hag empat pilihan pertahanan tengah pada musim hadapan.

Ketua pegawai operasi United, Richard Arnold dan pengarah bola sepak, John Murtough, telah bekerja keras memastikan pembelian ini terhasil dan pada masa yang sentiasa memberikan perkembangan terkini kepada ten Hag yang sedang berada bersama pasukan di jelajah pra-musim di Australia.

Martinez dijangka akan terbang ke Manchester pada minggu ini untuk melengkapkan pemeriksaan kesihatan sebelum sekali lagi naik kapal terbang menuju ke Australia untuk bersama pasukan barunya.

Bab rumah sewa pula Martinez serahkan perkara ini kepada PA nya sendiri.

Sebelum ini, United berperang dengan Arsenal untuk mendapatkan pemain Argentina ini, namun Martinez secara peribadinya lebih suka untuk kembali bergabung dengan ten Hag yang membantunya menjadi pertahanan yang baik.

Selepas segala urusan perpindahan selesai, Martinez bakal menjadi pertahanan tengah paling pendek di EPL dengan ketinggian 175 sentimeter – jauh lebih rendah berbanding kapten Harry Maguire yang berketinggian 190 sentimeter.

Dia dijangka bakal menerima cabaran getir daripada penyerang di EPL di mana seramai lapan orang daripadanya berketinggian sekurang-kurangnya 187 sentimeter.

Penyerang baru Manchester City, Erling Haaland pula mempunyai ketinggian 195 sentimeter, hampir sama dengan penyerang Bournemouth, Kieffer Moore.

Pun begitu, Martinez dillihat mempunyai kepandaian dalam membaca perlawanan dan ketika menentang Haaland dalam perlawanan Liga Juara-Juara UEFA pada musim lalu, dia dilihat tidak mempunyai masalah untuk mengemudi barisan pertahanan.

Lagi pula, kelebihan utama yang ada pada Martinez adalah kebolehannya dalam melakukan hantaran yang memecah benteng lawan.

Dalam satu video kompilasi hantaran pemain ini, peminat Man United layak untuk berasa teruja kerana kualiti hantaran-hantaran Martinez adalah sangat baik berbanding beberapa pemain tengah di EPL sendiri.

Martinez dilihat begitu pandai menghidu pergerakan rakan sepasukannya di bahagian atas, dan menghantar bola yang cukup sifatnya buat mereka. Selain itu, pemain ini juga cukup pandai dalam menukar arah permainan sama ada dari kiri ke kanan atau sebaliknya.

Hantaran kaki kiri pemain ini cukup baik dan ada yang membandingkannya seperti Andrea Pirlo. Selain bermain di posisi pertahanan tengah, Martinez juga boleh berperanan sebagai pemain tengah bertahan atau dalam bahasa Inggeris disebut defensive midfielder.

Jika Cristiano Ronaldo masih bermain untuk pasukan Syaitan Merah ini pada musim hadapan, dia pasti akan menyukai Martinez dan terus menjadi sahabat karib kerana pada musim lalu, penyerang ini gagal mendapat suapan bola yang cantik dan bagus daripada pemain-pemain United.

Sememangnya diketahui ramai bahawa Ronaldo sangat berbahaya dalam kotak penalti sekiranya dia berjaya menerima hantaran yang cantik.

Video YouTube tersebut telah mengumpul lebih 230,000 tontontan dan di bahagian komen, ternyata penyokong Man United dilihat sangat teruja dan ghairah.

Antara komen-komen menarik adalah seperti;

“Hantaran dia bukan sahaja lebih baik daripada kebanyakan pertahanan tengah di dalam dunia, tapi juga lebih baik daripada ramai pemain tengah.”

“Seorang pertahanan boleh menghantar bola seperti Scholes…tolong bawa dia masuk cepat-cepat!”

“Gaya hantaranya mengingatkan aku kepada David Beckham. Dah lama dah tak tengok benda macam ni.”

Dengan pilihan yang ada, United dijangka akan dapat memperkemaskan lagi barisan pertahanan mereka yang dilihat sangat tidak bermaya dan lembik pada musim lalu walaupun dilatih oleh dua pengurus – Ole Gunnar Solskjaer dan juga Ralf Rangnick.

United membuka tirai pra musim 2022 dengan begitu bergaya apabila dengan bersahaja membelasah seteru kuat mereka, Liverpool, empat gol tanpa balas dalam perlawanan di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Selepas perlawanan, United terbang ke Australia dan bakal bertemu Melbourne Victory pada 15 Julai di Padang Kriket Melbourne, serta bertemu Crystal Palace di gelanggang yang sama pada 19 Julai nanti.

Syaitan Merah akan melengkapkan jelajah Asia-Pasifik mereka dengan menentang Aston Villa pada 23 Julai di Stadium Optus, Perth.

Seminggu kemudian, United akan bertemu Atletico Madrid di stadium Ullevaal, Oslo, Norway sebelum melengkapkan perlawanan pra musim mereka dengan perlawanan menentang Rayo Vallecano di Old Trafford pada 31 Julai.

Sumber : SB

BACA:  Manchester United Umum Perubahan Di Stretford End